PANMUNJOM – Jumaat lalu (27 April) menjadi titik bersejarah bagi kedua-dua negara Korea setelah pemimpinnya iaitu Kim Jong-Un (Korea Utara) dan Moon Jae-In (Korea Selatan) mengadakan pertemuan sulung dalam sidang kemuncak bersejarah di Zon Bebas Tentera (DMZ) di sempadan Panmunjom.

Kedua-dua pemimpin berkenaan dilihat bersalaman dan berpelukan mesra sebelum menyertai aktiviti penanaman pokok pain dengan menggunakan tanah dan air dari kedua-dua negara.

Jong-Un dan Jae-In memutuskan untuk mengambil bahagian dalam acara berkenaan dengan menanam pokok yang membawa mesej “Menanam Kedamaian dan Kemakmuran” sebagai tanda peringatan bagi hari penuh bersejarah itu.

Jong-Un kemudiannya menjemput Jae-In untuk bersama-sama melintasi garisan sempadan Korea Utara sambil berpegangan tangan. Kedua-dua pemimpin ini turut dilihat masuk semula ke negara Korea Utara bagi meneruskan perbincangan dalam sidang tersebut.

Detik ini menjadikan Kim Jong-Un sebagai pemimpin Korea Utara yang pertama menjejakkan kaki ke Korea Selatan sejak bermulanya perang Korea pada tahun 1953.

Dalam sidang berkenaan, kedua-dua pemimpin negara telah mengadakan perbincangan untuk beberapa perkara dan mencapai kata sepakat. Antaranya adalah:

  • Mengakhiri permusuhan antara kedua-dua negara
  • Mengubah DMZ yang selama ini memisahkan kedua-dua negara menjadi zon keamanan dengan menghentikan siaran propaganda
  • Mengurangkan penggunaan senjata bagi menghentikan ketegangan ketenteraan
  • Berusaha mengadakan perbincangan tiga hala yang melibatkan Amerika Syarikat dan China
  • Mengadakan pertemuan semula keluarga yang terpisah semasa perang Korea
  • Menyambung dan memodenkan keretapi serta jalan raya di sempadan kedua-dua negara
  • Menyertai acara sukan secara bersama termasuk Sukan Asia yang telah melabuhkan tirai pada awal tahun ini

Sumber: Astro Awani

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds