Aneh, Arkeologi, INSPIRASI

6 orang penumpang ini telah terselamat dalam tragedi Titanic tetapi kewujudan mereka telah dinafikan daripada catatan sejarah. Mengapa mereka dilupakan?

6 orang penumpang ini telah terselamat dalam tragedi Titanic tetapi kewujudan mereka telah dinafikan daripada catatan sejarah. Mengapa mereka dilupakan?

Satu lagi paparan kisah benar kapal mewah RMS Titanic yang tidak pernah didedahkan akan disiarkan dalam satu dokumentari baru pada tahun ini. Dokumentari ini akan merungkai apa sebenarnya yang telah berlaku kepada 6 orang penumpang berbangsa China yang telah terselamat dalam tragedi kapal hebat ‘yang tidak pernah karam’ RMS Titanic pada 15 April 1912.

Kredit : Youtube/theSundaily

Filem dokumentari yang bertajuk “The Six” ini akan menceritakan bagaimana enam daripada lapan orang penumpang berbangsa China yang berada di dalam kapal Titanic telah terselamat dalam tragedi tersebut.

Enam penumpang ini yang dikenali dalam rekod pelayaran kelas ketiga sebagai Lee Bing, Fang Lang, Chang Chip, Ah Lam, Cheong Foo dan Ling Hee telah terselamat dalam tragedi kapal karam RMS Titanic yang telah mengorbankan 1,500 orang penumpang yang lain.

Kredit : Youtube/theSundaily

Menurut penerbit dokumentari warga Britain, Arthur Jones, “Di antara 700 orang penumpang yang telah terselamat dalam malapetaka kapal Titanic ini, adalah enam orang penumpang berbangsa China yang tidak pernah memberitahu kisah mereka dalam tragedi itu. Mengapa mereka telah diketepikan dan terus dilupai?” Arthur Jones berada di Shanghai, China ketika merakamkan filem dokumentari ini melalui syarikat penerbitannya, LP Films yang berpusat di sana.

Arthur menambah, “Pihak media di seluruh dunia gemar menggembar-gemburkan apa sahaja kisah mengenai kapal Titanic, walaupun ia hanya kecil sebesar debu mengenai penumpang kelas kedua di dalam kapal tersebut. Tetapi mereka tidak pernah melaporkan apa-apa berita mengenai penumpang China yang terselamat.”

Laporan media pada waktu itu hanya menyebut ramai penumpang berbangsa Eropah dan Amerika Utara berada di dalam kapal mewah legenda ini, tetapi tidak mendedahkan bangsa minoriti yang lain termasuk lapan orang penumpang berbangsa China.

Kredit : Youtube/theSundaily

Arthur Jones juga menimbulkan persoalan tentang apa yang telah berlaku kepada enam orang penumpang kapal Titanic berbangsa China yang telah terselamat ini.

Arthur berkata, “Saya ingin mengetahui siapa mereka, bagaimana mereka boleh berada di atas kapal tersebut, dan apa yang telah berlaku kepada mereka selepas terselamat dari tragedi? Dan bagaimana ramai di antara mereka telah berjaya menaiki bot penyelamat?”

Dengan bantuan ahli sejarah Steven Schwankert, Arthur Jones telah melakukan penyiasatan untuk membongkar kisah sebenar apa yang telah berlaku kepada enam orang penumpang China yang telah terselamat ini.

Mereka telah mengembara ke beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Britain, China dan Hong Kong bagi menjejaki waris enam orang penumpang Titanic yang telah terselamat ini.

Ribuan orang telah cuba menghubungi atau dihubungi oleh pasukan pencari untuk menemui kaitan dengan enam orang penumpang Titanic ini. Arthur Jones turut melancarkan kempen ‘whoarethesix.com’ di media sosial untuk mendapatkan lebih informasi mengenai enam orang penumpang Titanic berbangsa China ini.

Kredit : Youtube/theSundaily

Salah seorang waris dan anak lelaki penumpang yang terselamat telah berjaya dijejaki di Wisconsin, Amerika Syarikat, sementara petunjuk yang lain telah membawa pasukan pencari ini sehingga ke perkampungan pedalaman di Guangzhou, China. Arthur Jones mengakui kerja mencari petunjuk dan waris penumpang yang terselamat ini bukan satu kerja yang mudah dan penuh dengan cabaran.

Menurut Arthur, “Mencari susur galur ginekologi bangsa China amat rumit dan sukar, tambahan nama mereka telah direkodkan dalam bahasa Inggeris seperti yang dicatatkan dalam rekod perkapalan, di mana nama mereka tidak konsisten atau sama dengan salinan nama sebenar mereka.”

Melalui rekod yang dicatatkan dalam senarai penumpang kapal Titanic, terdapat lapan orang penumpang lelaki berbangsa China yang telah berlepas dari pelabuhan Southampton, England dengan membeli satu tiket sehala. Mereka dipercayai telah bekerja dengan kapal kargo yang telah berlayar di antara negara China dan Eropah. Lapan penumpang Cina ini dikatakan dalam perjalanan ke Amerika Syarikat untuk memulakan kehidupan baru.

Kredit : Youtube/theSundaily

Semasa tragedi, empat daripada lapan orang lelaki China yang berada di dalam kapal telah berjaya meloloskan diri di dalam bot penyelamat terakhir, seorang telah diselamatkan oleh bot penyelamat yang lain, manakala seorang yang lain dijumpai telah terapung di atas satu papan kayu dipercayai pintu yang terapung di Lautan Atlantik yang sejuk. Dua orang lagi, Lee Ling dan Len Lam tidak berjaya diselamatkan.

Namun begitu, setelah mereka tiba di Amerika Syarikat selepas di selamatkan, enam orang lelaki China ini telah dinafikan untuk memasuki negara tersebut. Dengan segera mereka telah dihalang dan ditahan dari memasuki Amerika Syarikat menurut Akta Pengecualian Orang China 1882, yang telah menetapkan undang-undang tidak membenarkan kemasukan imigran dari negara China.

Menurut Arthur Jones, “Bagi penumpang Titanic yang terselamat dari negara lain terutama dari negara Eropah, telah disambut dengan tangan terbuka oleh kerajaan Amerika Syarikat. Tetapi enam orang lelaki berbangsa China yang terselamat ini langsung tidak diberi sokongan, dan mereka dikatakan telah dipersenda oleh pihak media yang membuat laporan.”

Arthur berkata, “Terdapat khabar angin yang mengatakan mereka telah berpakaian seperti wanita atau menolak kanak-kanak supaya dapat menaiki bot penyelamat. Dan ada yang berkata mereka menyembunyikan diri sehingga dapat menyelinap masuk ke dalam bot penyelamat. Apa yang kami dapat tahu dengan sahih ialah mereka membeli tiket menaiki kapal secara sah, dan tiada bukti mereka melakukan semua perkara ini sehingga berjaya menaiki bot penyelamat.”

Kredit : Youtube/theSundaily

Enam orang lelaki China ini tidak dihantar ke stesen imigresen di Pulau Ellis setiba di New York. Sebaliknya mereka telah dibawa ke tempat lain dan hilang secara misteri dalam masa 24 jam selepas menaiki satu kapal dengan nama dan kewujudan mereka telah dinafikan selepas itu. Tiada penumpang berbangsa China di dalam kapal mewah Titanic.

Itu adalah hakikat satu masa dahulu semasa ada pihak-pihak tertentu yang cuba menghapuskan bukti sejarah.

Arthur Jones berkata, “Enam orang lelaki berbangsa China ini telah menghidupkan kembali kisah Titanic apabila mereka meninggalkan kapal itu hidup-hidup. 24 jam kemudian catatan mengenai mereka telah ditarik keluar dan dinafikan. Ia bukan satu kemalangan. Tetapi satu perkara yang telah dibuat dengan sengaja. Ia merupakan satu budaya pada waktu itu yang telah menyebabkan perkara tersebut berlaku.”

Tonton trailer filem dokumentari “The Six” di bawah.

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...