Apabila mendengar kisah cinta yang boleh membuat diri anda berasa terpegun seperti berada di awang-awangan, mungkin ada yang berkata,”Bohonglah! Kisah cinta sebegini hanya berlaku di dalam filem cinta.”. Di dunia nyata, kisah cinta luar biasa jarang sekali berlaku.

Wira cinta dalam kisah cinta ini telah membuktikan betapa perasaan cinta yang indah itu mampu mengatasi segala halangan dan ketakutan menghadapi dunia. Dan cinta sejati tanpa mengira pelbagai perbezaan dalam segala segi itu sememangnya wujud di dunia ini.

Bagaimana kisah cinta ini bermula?

Kredit :  Dr P.K Mahanandia/facebook

Ini adalah kisah cinta di antara Pradyumna Kumar Mahanandia dan Charlotte Von Schedvin dan semuanya bermula sebelum mereka bertemu lagi. Semasa di India, tempat di mana Pradyumna dilahirkan, keluarganya sudah biasa mengikut tradisi dengan melawat penilik nasib atau peramal masa depan apabila seorang bayi dilahirkan.

Seorang penilik nasib telah meramal, bayi lelaki ini akan memecah tradisi dan adat kebiasaan dengan mengahwini seorang gadis dari golongan bangsawan yang berada di luar negara dan terletak jauh dengan berbintang Taurus, boleh bermain flut serta mewarisi tanah hutan yang sangat luas.

Pertemuan pertama

Kredit :  Dr P.K Mahanandia/facebook

Kehidupan Pradyumna semasa kecil amat sukar. Pradyumna berasal daripada keluarga berkasta paling rendah yang tidak dihiraukan oleh golongan masyarakat India yang lain. Menurut Pradyumna, “Saya sering dilayan dengan buruk oleh orang lain, lebih buruk daripada anjing dan binatang ternakan. Apabila saya melalui kuil, orang ramai akan melontar batu kepada saya.”

Semasa zaman remaja, Pradyumna menggunakan bakat melukis yang dianugerahkan kepadanya untuk mencari rezeki di sekitar jalanan di bandaraya Delhi. Pada waktu inilah Pradyumna telah bertemu dengan seorang pelancong remaja dari Sweden bernama Charlotte Von Schedvin. Tiba-tiba, Pradyumna teringat akan ramalan seorang penilik yang sering diperkatakan ibu bapanya dan dia mula bertanya kepada Charlotte semasa sedang melukis potret gadis ini.

Pradyumna bertanya, “Apa tanda zodiak kamu?”, Charlotte menjawab, “Taurus.”

Tanya Pradyumna lagi, “Adakah kamu bermain alat muzik flut?” Charlotte menjawab, “Ya, flut dan piano.”

Apabila ditanya soalan ketiga, Charlotte menjawab, keluarganya memiliki sejumlah tanah hutan di negaranya dan hati Pradyumna berasa amat berdebar-debar dengan kesemua kebetulan ini, semuanya seakan benar.

Kemudian Pradyumna berkata kepada Charlotte, “Kamu telah ditakdirkan untuk menjadi isteri saya.”

Selepas pertemuan pertama, kedua insan ini telah mula jatuh cinta dan telah terlibat dalam perhubungan cinta yang romantis. Akhirnya kedua-dua pasangan merpati dua sejoli ini telah disatukan dalam satu majlis perkahwinan tradisional menurut adat India di kampung halaman Pradyumna.

Terpaksa berpisah

Kredit :  Dr P.K Mahanandia/facebook

Kisah cinta yang agung tidak akan menjadi sebegitu indah sekiranya tidak disusuli oleh perpisahan. Dalam masa pasangan suami isteri ini sedang asyik bercinta, Charlotte telah dipanggil ahli keluarganya dan terpaksa pulang ke negara asalnya di Sweden. Pradyumna telah berjanji untuk mengikuti isterinya ke Sweden dalam jangka masa terdekat.

Pasangan ini telah berpisah selama 16 bulan dan sering menulis dan berutus surat di antara satu sama lain. Pradyumna menyedari dirinya tidak boleh berjauhan dengan isterinya buat jangka masa yang lebih lama lagi. Lalu, Pradyumna telah bertindak dengan menjual segala harta yang dimilikinya, tetapi wang yang dikumpul masih tidak mencukupi untuk membeli satu tiket kapal terbang ke Sweden.

Akhirnya, Pradyumna telah membuat keputusan untuk membeli sebuah basikal terpakai dengan harga 60 rupee (RM3.60), mengucapkan selamat tinggal kepada semua ahli keluarganya dan telah mengayuh basikal menuju ke Sweden dengan bekalan 200 rupee (RM12.00) di dalam poketnya.

Perjalanan kayuhan cinta

Kredit :  Dr P.K Mahanandia/facebook

Perjalanan bersejarah Pradyumna telah bermula pada 22 Januari 1977. Perjalanan kayuhan berbasikal ini telah mengambil masa selama 5 bulan dengan merentasi beberapa buah negara dan menghadapi pelbagai halangan. Selama jangka masa itu, Pradyumna telah mengayuh basikal sejauh 72 kilometer setiap hari. Setelah tiba di Sweden, Pradyumna telah melakukan kayuhan berbasikal merentasi benua sejauh lebih 10,000 kilometer.

Pradyumna berkata, “Saya berasa sangat letih. Kaki saya terasa sangat sakit, tetapi keinginan saya untuk melihat dan bertemu Charlotte telah menolak saya untuk mara lebih jauh ke hadapan. Bakat melukis telah menyelamatkan saya. Saya melukis potret orang ramai yang saya temui di sepanjang perjalanan. Mereka membayar lukisan potret itu dengan wang, makanan atau pun tempat untuk berteduh dan berehat pada waktu malam.”

Kredit :  Depositphotos

Pada waktu itu, kebanyakan negara tidak mempunyai peraturan kemasukan dengan visa seperti hari ini. Oleh itu, perjalanan Pradyumna menjadi lebih mudah. Akan tetapi semasa Pradyumna sudah memasuki sempadan Sweden, pihak Imigresen Sweden telah menahan Pradyumna dan tidak membenarkan dirinya memasuki negara itu.

Pradyumna telah menjelaskan kepada pihak berkuasa yang dia ingin menemui isterinya yang berbangsa Sweden dan mula bercerita tentang kisah cinta mereka. Akan tetapi, tiada siapa yang mahu mempercayainya kerana ia bagai satu kisah cinta dongeng dan terlalu luar biasa. Tetapi, kemudian pihak berkuasa telah memanggil Charlotte dan beliau telah memberi kesahihan kepada semua kisah cinta yang benar tersebut dan mereka telah melepaskan Pradyumna untuk menemui Charlotte.

Pradyumna telah ditanya sama ada adakah generasi kini masih boleh melakukan perjalanan dan pengembaraan yang sama sepertinya pada hari ini, dan beliau menjawab, “Ya boleh, jika anda benar-benar mahukannya, segalanya akan menjadi tidak mustahil. Sudah tentu, pada masa kini, perjalanan itu akan menjadi lebih sukar, tetapi segalanya tidak mustahil boleh dilakukan. Perasaan takut dan ragu-ragu akan sentiasa bermain di dalam fikiran. Dan perasaan itu perlu wujud untuk menjadikan kehidupan kita menjadi bertambah rumit dan menarik.”

Pertemuan semula

Kredit :  Dr P.K Mahanandia/facebook

Pradyumna menjejakkan kaki di Boras, Sweden pada 28 Mei 1977, dan akhirnya telah bertemu semula dengan Charlotte selepas berpisah selama dua tahun.

Kata mereka semasa melihat satu sama lain selepas dua tahun terpisah, “Kami tidak dapat berkata apa-apa. Kami hanya menangis sambil memeluk erat di antara satu sama lain.”

Demi kebahagiaan Charlotte, ibu bapa Charlotte yang berasal daripada golongan bangsawan telah bertindak untuk melupakan segala peraturan dan protokol aristokrat, yang tidak membenarkan keluarga mereka mengahwini bangsa lain yang berlainan warna kulit. Pasangan ini telah berkahwin semula pada tahun 1979 , menurut undang-undang Sweden.

40 tahun kemudian

Kredit :  Dr P.K Mahanandia/facebook

Empat puluh tahun telah berlalu sejak mereka bertemu semula. Walaupun masa telah berlalu dan mereka kekal bersama dengan kisah cinta luar biasa, Pradyumna berkata beliau masih tidak mempercayai boleh mencapai kebahagiaan ini seumur hidupnya.

Pradyumna masih tidak mempercayainya dan meragui sekiranya beliau boleh menawan hati Charlotte jika ia berlaku pada masa kini, zaman di mana semua orang di dunia boleh disatukan dan berhubung melalui internet.

Tetapi Pradyumna tidak pernah berasa ragu dalam satu perkara. Katanya, “Takdir hidup anda ialah sesuatu yang perlu dilakukan dengan naluri dan tangan anda sendiri.”

Apabila ditanya tentang rahsia perhubungan cinta mereka yang mampu bertahan lama, pasangan ini menjawab mereka tiada apa-apa rahsia. Perkara utama dalam mengekalkan perhubungan cinta itu ialah kejujuran, memahami di antara satu sama lain dan saling hormat menghormati.

Kredit :  Dr P.K Mahanandia/facebook

Kisah cinta sejati antara Pradyumna dan Charlotte adalah contoh betapa cinta itu boleh menjadi sesuatu yang sangat indah apabila satu pasangan menghadapi segala halangan dan cabaran demi mengekalkan hubungan cinta dan kasih sayang sehingga ke akhir.

Apabila seseorang itu dilamun cinta dan memiliki tujuan untuk dicapai, tiada halangan yang menjadi kesukaran kepada mereka untuk menempuhi apa sahaja di sepanjang perjalanan menuju ke arah tujuan itu.

Kekurangan wang, jarak negara yang amat jauh, perasaan prasangka yang keterlaluan, perbezaan warna kulit dan darjat, semuanya tidak menjadi halangan yang besar kepada pasangan ini seperti ia tidak wujud.

Kredit :  Dr P.K Mahanandia/facebook

Ramai yang mengagumi kisah cinta artis terkenal Sweden kelahiran India Dr. Pradyumna Kumar Mahanandia dan isteri tercinta, Charlotte Von Schedvin. Adakah kisah cinta anda atau yang lain adalah lebih hebat daripada kisah cinta mereka? Kongsi bersama kami.

Era Baru

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona Ria

Video Popular

Ad will display in 09 seconds