Kebanyakan manusia mahu hidup dengan mengamalkan nilai diri yang baik untuk dikenang dan mereka juga ingin meninggalkan warisan yang baik kepada pewaris setelah meninggal dunia. Namun, ada juga sesetengah manusia yang mempunyai sifat amat mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan kesan yang mereka telah lakukan kepada orang sekeliling.

Seorang wanita mengetahui tiada manfaat yang akan diperolehi daripada sifat mementingkan diri sendiri dan ketamakan harta benda serta wang ringgit, tetapi suaminya tidak pernah berfikir begitu. Jadi semasa suaminya sedang nazak tetapi masih dengan sikapnya yang sama, wanita ini menyedari sudah tiba masanya untuk memberi satu pengajaran.

Seorang lelaki telah menjalani kehidupan dengan bekerja keras sepanjang hidupnya. Dan di sepanjang kehidupannya juga, dia telah menyimpan wang yang banyak daripada hasil usaha kerasnya dan tidak suka membazirkan wang dengan membelanjakannya untuk tujuan apa-apa pun.

Oleh kerana lelaki ini telah bekerja keras untuk mendapatkan wangnya itu, dia berpendapat adalah lebih baik kesemua wang itu disimpan untuk dirinya sendiri dan tidak mahu meninggalkan barang sesen kepada sesiapa pun, walaupun untuk isterinya, yang mempunyai sifat amat berbeza daripada suaminya yang bersikap bakhil dan sentiasa tamak haloba.

Lelaki ini sayangkan wang lebih daripada segala-galanya, sehingga isterinya sendiri berasa rimas dan tidak tahan dengan sikapnya itu walaupun isteri ini sentiasa setia dan sabar berada di sisinya. Sikap bakhil dan sayangkan wang itu telah mencapai tahap paling melampau apabila pada satu hari suami ini telah bercadang untuk membawa kesemua wang itu bersama di dalam kubur kelak.

Sebelum meninggal dunia dan dalam keadaan nazak, lelaki ini telah meminta isterinya menunaikan hajat terakhir dalam wasiatnya dengan berkata, “Dengar baik-baik, apabila saya meninggal dunia, saya mahu kamu mengeluarkan kesemua wang simpanan saya dan letakkan ia di dalam keranda bersama dengan mayat saya. Kerana saya mahu membawa kesemua wang itu di akhirat kelak.”

Pada mulanya isterinya telah membantah dan tidak bersetuju dengan permintaan yang sangat mementingkan diri ini, tetapi kemudian suami ini telah berjaya meyakinkan isterinya untuk bersetuju mengebumikan wang itu bersama apabila dia meninggal dunia kelak.

Dan pada satu hari suami ini telah meninggal dunia. Isterinya berasa keliru dan bersikap berbelah bahagi sama ada mahu mengikuti wasiat itu atau pun tidak. Isteri ini boleh sahaja menyimpan kesemua wang itu untuk dirinya sendiri. Namun begitu, isteri ini mempunyai sikap dan prinsip untuk mengotakan janji yang telah dibuat, walaupun hajat terakhir suaminya itu bersifat mementingkan diri sendiri atau egois sampai ke penghujung.

Dalam keadaan berbelah bahagi, tiba-tiba isteri ini telah mendapat idea yang sangat bijak sambil boleh membuat dirinya menunaikan janji dan wasiat mendiang suaminya itu.

Semasa hari pengebumian, mayat suami ini telah terbujur kaku di dalam keranda untuk tatapan para pelawat yang menziarah dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati. Si isteri yang berpakaian hitam sedang duduk berkabung sambil ditemani rakan baiknya. Apabila tiba masa untuk menutup keranda dan memulakan upacara pengebumian, pengurus mayat telah diarah oleh isteri ini untuk berhenti seketika.

Isteri ini berkata kepada pengurus mayat, “Nanti… Tunggu sebentar!”

Isteri ini menghampiri keranda, melihat suaminya buat kali terakhir dan meletakkan sebuah kotak kasut bersebelahan mayat suaminya itu. Kemudian isteri ini memandang pengurus mayat sambil menganggukkan kepalanya. Pengurus mayat memahaminya dan mereka meneruskan urusan dengan menutup keranda dan mengebumikan lelaki ini.

Rakan karib isteri ini yang mengetahui kisah akan hajat terakhir dan wasiat suami bakhil yang mengarut ini telah menggelengkan kepalanya apabila melihat tindakan isterinya yang telah mengotakan janjinya itu. Lalu dia telah bertanya kepada isteri ini tentang kotak kasut itu, “Saya berharap kamu tidak melakukan tindakan gila dengan meletakkan kesemua wang simpanan suami bakhil kamu di dalam kotak kasut itu.”

Isteri yang setia ini berpaling kepada rakan karibnya dan berkata, “Ya, saya ini bukankah sudah berjanji dengannya. Saya seorang penganut Kristian yang taat. Saya tidak boleh berbohong. Saya perlu mengotakan janji saya untuk meletakkan kesemua wang simpanan itu di dalam keranda bersama dengannya.”

Rakan karib ini terkejut dan  bertanya lagi, “Maksud kamu, kesemua wang simpanan itu tidak ditinggalkan walau sesen pun dan kamu telah meletakkan kesemuanya di dalam keranda?”

Isteri ini menjawab, “Ya, sudah pastilah saya buat begitu. Saya kumpulkan kesemua wang simpanan itu dengan tiada tertinggal satu sen pun dan saya masukkan kesemuanya di dalam akaun semasa saya, dan saya menulis satu cek dengan nilai itu atas namanya.”

Satu tindakan yang amat bijaksana! Seorang isteri telah menunaikan janji dan wasiat suaminya yang terlalu mementingkan diri sendiri sambil dia menyimpan kesemua wang itu untuk dirinya. Diharap si suami dapat mencari bank ini di alam akhirat sana untuk menunaikan cek itu. Banyak juga jumlahnya itu. Rugi jika tidak dapat ditunaikan.

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds