Johnson & Johnson diperintahkan untuk membayar ganti rugi bernilai RM143 juta berikutan kes seorang lelaki yang mengatakan dia mendapat kanser akibat memakai bedak yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut. Penuntut pampasan itu mengatakan bahawa dia percaya talkum tersebut telah dicampur dengan asbestos.

Stephen Lanzo III yang merupakan pemilik bank dibayar sebanyak RM116 juta sebagai pampasan ganti rugi pada hari Khamis oleh juri New Brunswick, N.J. Manakala, isteri Lanzo iaitu Kendra pula mendapat RM27 juta.

Lanzo, 46, berkata beliau telah menggunakan produk talkum dari syarikat Johnson & Johnson selama lebih daripada 30 tahun. Dia mendakwa akibat tersedut serbuk dari produk yang mengandungi asbestos yang menjadi punca kanser, dia dijangkiti mesothelioma iaitu sejenis kanser membunuh yang menyerang lapisan paru-paru.

Kes Lanzo adalah kes yang pertama kali dibicarakan di New Jersey. Juri mendapati Johnson & Johnson bertanggungjawab sebanyak 70 peratus daripada ganti rugi tersebut manakala 30 peratus lagi ditanggung oleh pembekal talkum Perancis iaitu Imerys.

Bukan hanya itu sahaja, Johnson & Johnson bakal dikenakan tindakan undang-undang kerana ramai orang mendakwa produk talkumnya juga menyebabkan kanser ovari.

Sukar dipercayai talkum adalah penyebab kanser kerana ia mengandungi mineral yang terdiri daripada magnesium, silikon dan oksigen. Namun talkum sering dilombong berhampiran kawasan sumber asbestos, yang telah lama terbukti menyebabkan kanser mesothelioma yang membawa maut.

Johnson & Johnson dan syarikat lain mengatakan bahawa sejak tahun 1970-an, mereka tidak menggunakan asbestos dalam produk serbuk bayi mereka dan produk lain. Johnson & Johnson juga menafikan dakwaan tuntutan mahkamah dan berkata produknya seperti Serbuk Bayi Johnson tidak mengandungi asbestos atau bahan lain yang menjadi penyebab kanser.

Semasa perbicaraan, pengacara Johnson & Johnson mendakwa, Lanzo berkemungkinan mendapat kanser mesothelioma dari sumber lain, seperti yang dilaporkan media. Menurut laporan tersebut, rumah di Montclair, N.J., di mana Lanzo dibesarkan mempunyai saliran paip yang dibungkus dengan asbestos dan sekolah-sekolah awam juga dirawat dengan saliran paip yang sama.

“Walaupun kami kecewa dengan keputusan ini, namun juri telah mengadakan perbincangan lanjut untuk mengadakan perbicaraan ini dan kami akan memberikan komen tambahan sehingga kes itu selesai sepenuhnya,” kata jurucakap Johnson & Johnson, Carol Goodrich dalam satu kenyataan.

Juri akan memulakan fasa kedua perbicaraan untuk mempertimbangkan ganti rugi punitif pada hari Selasa.

Johnson & Johnson menghadapi tuntutan mahkamah untuk kes yang serupa dari 6,610 plaintif di seluruh negara, lapor Reuters. Sebahagian besar tuntutan ini adalah berdasarkan dakwaan bahawa syarikat itu gagal memberi amaran kepada wanita berkemungkinan mendapat kanser ovari adalah tinggi jika mereka menggunakan produknya untuk kebersihan feminin.

Sumber: Daily News

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds