Kerajaan Filipina telah mengambil keputusan untuk menutup salah satu destinasi percutian terbaiknya, Boracay, buat enam bulan berikut untuk memperbaiki pencemaran dan kerosakan yang berlaku di pulau itu.

Jurucakap Presiden Harry Roque berkata pada Rabu yang lalu bahawa penutupan pulau itu akan bermula dari 26 April sehingga tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Berikutan lawatannya ke pulau itu pada bulan Februari, Presiden Rodrigo Duterte menyifatkan pulau itu salin tidak tumpah seperti “pelimbahan”.

“Apabila anda masuk ke dalam air, ianya berbau. Kerana semuanya keluar dari Boracay,” katanya.

Kredit: nomadichands.com

Pada tahun 2017, TripAdvisor telah menamakan Boracay sebagai salah satu daripada 25 buah pulau terbaik di dunia dan ia juga ditempatkan dalam senarai 10 pulau terbaik di Asia.

Pada tahun lalu sahaja, pulau itu dilaporkan telah menarik dua juta pelancong yang membawa hasil tahunan sebanyak 56 billion peso (kira-kira RM4.43 billion).

Salah satu sumber utama pendapatan Boracay adalah dari industri pelancongan. Dengan 500 buah hotel dan 17,000 orang pekerja, berita penutupan pulau ini semestinya menjejaskan sektor pekerjaan yang terlibat.

Di samping itu, berita buruk ini turut sama memberi kesan kepada 19,000 orang pekerja lain termasuklah para vendor, salon tatu, pusat aktiviti pelancongan, pembekal pengangkutan, tukang urut pantai dan pekerja aktiviti pelancongan yang lain.

Kredit: SCMP

Walau bagaimanapun, Duterter menyatakan bahawa pihak hotel, restoran dan perniagaanlah yang patut dipersalahkan kerana mereka sewenang-wenangnya membuang sisa buangan di persisiran pantai yang pada mulanya begitu bersih dengan air yang jernih.

Dikatakan banyak premis telah dibina terlalu dekat dengan kawasan pantai. Beberapa premis juga dengan senang hatinya membuang sisa kumbahan mereka secara terus ke laut, kata jurucakap Jabatan, Ricky Alegre.

“Terdapat beberapa kawasan tertentu di sana (yang mana)… sesetengah premis dengan secara haramnya telah menyalurkan sistem saliran air kumbahan mereka ke garisan air laut,” kata Alegre.

Baru-baru ini, daripada 150 buah pertubuhan perniagaan di Boracay yang diperiksa oleh pihak kerajaan, hanya 25 buah pertubuhan perniagaan sahaja yang benar-benar menghubungkan sistem saliran air kumbahan mereka ke tempat yang sepatutnya, katanya.

“Anda akan didenda atas sebab pengabaian yang serius kerana telah menjadikan Boracay tidak ubah seperti kolam ikan mahupun kolam pembentung,” kata Duterte. “Sama ada anda akan membersihkannya sendiri ataupun saya akan menutup pulau ini secara kekal. Tiba masanya nanti, tiada seorang pelancongpun akan melancong di sana.”

Kredit: The New York Times

Berikutan daripada berita yang tidak dijangka ini, AirAsia dilaporkan akan membuat perubahan jadual penerbangan mereka untuk pelanggan yang telah menempah tiket ke Boracay dalam tempoh enam bulan.

Jadual penerbangan tambahan akan ditambah ke destinasi riadah popular di Filipina seperti Palawan, Bohol, Cebu dan Davao.

Pelanggan yang terjejas dengan perubahan ini dan memiliki tempahan penerbangan bermula 26 April hingga 26 Oktober 2018 akan dimaklumkan melalui e-mel dan SMS.

Pelanggan yang terlibat boleh memilih salah satu daripada pilihan pemulihan perkhidmatan seperti yang berikut: menukar destinasi penerbangan, mengalihkan tarikh penerbangan, menyimpan akaun kredit untuk kegunaan akan datang atau mendapatkan bayaran balik penuh tiket penerbangan.

Untuk pertanyaan lanjut, sila layari support.airasia.com

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds