INSPIRASI, KESIHATAN

Remaja lelaki 14 tahun berfikir ‘permainan’ ini tidak berbahaya, akhirnya 75 peratus penglihatan telah hilang!

Remaja lelaki 14 tahun berfikir ‘permainan’ ini tidak berbahaya, akhirnya 75 peratus penglihatan telah hilang!

Penunjuk laser atau pen laser adalah satu alat kecil yang apabila dipegang akan mengeluarkan satu pancaran cahaya dengan tujuan untuk memberi fokus kepada sesuatu benda atau perkara.

Pen laser biasa digunakan dalam pembentangan mesyuarat, pembelajaran atau apabila melihat bintang. Objek ini amat berguna bagi tujuan interaktif.

Pen laser disukai oleh kanak-kanak. Namun begitu, ia boleh membahayakan apabila cahaya yang difokuskan menjadi begitu kuat dan bertenaga sehingga mampu merosakkan penglihatan seseorang.

Ini telah terjadi kepada seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dari Tasmania, Australia yang matanya telah terbakar dari dalam apabila dia telah merenung pen laser ini buat satu jangka masa.

Haiwan peliharaan juga suka bermain dengan pen laser

Selepas beberapa saat terdedah kepada cahaya dari pen laser tersebut, remaja lelaki ini telah hilang 75% penglihatannya. Menurut seorang pakar mata, Ben Armitage dari Hobart, Tasmania, apabila mata remaja lelaki ini telah terdedah kepada cahaya laser tersebut, dia tidak merasa apa-apa kesakitan, tetapi retinanya telah terbakar dengan teruk. Ben berkata, “Ia telah berlaku dalam jangka waktu yang singkat.”

Hasil pemeriksaan mendapati pada mata remaja lelaki ini, pen laser tersebut telah hampir membakar bahagian makular yang terdapat di tengah retina. Bahagian ini hanya meliputi 5% daripada retina tetapi ia merupakan bahagian yang paling sensitif pada bahagian mata dan juga merupakan bahagian penting untuk tujuan memfokus dan penumpuan penglihatan yang tajam.

Ben Armitage berkata, “Malangnya budak lelaki ini telah mengalami kecederaan dan kerosakan kekal di belakang bebola matanya.”

Kredit : Ben Armitage

Selepas insiden tersebut, Ben Armitage melaporkan remaja lelaki ini hanya mempunyai baki penglihatan sebanyak 25%. Namun begitu, selepas mendapat rawatan pemulihan, retinanya yang telah membengkak akan mula menyusut dan penglihatannya boleh dipulihkan. Tetapi, bahagian yang terbakar pada retina itu akan terus kekal.

Pakar optometri dari Optometry Tasmania telah memberi amaran kepada para ibu bapa untuk tidak menghalakan penunjuk atau pen laser ke arah mata anak-anak, dan tidak menganggap pen laser ini sebagai satu bahan permainan.

Ketua eksekutifnya, Geoff Squibb berkata, “Sekiranya ibu bapa membeli pen laser dan membenarkan anak-anak bermain dengan pen laser ini, sebaiknya mereka perlu memerhatikan dan mengawal anak-anak mereka untuk tidak bemain dengan menghalakan cahayanya ke arah mata, kerana kita telah melihat kes yang boleh memberi kesan yang serius kepada penglihatan kanak-kanak.”

Secara kebetulan, banyak pen laser telah dijadikan sebagai pemegang kunci dan digunakan sebagai bahan permainan oleh kebanyakan kanak-kanak.

Kredit : Shutterstock

Pada bulan Januari 2018 di China, sebuah media telah melaporkan seorang budak lelaki dan rakan sekelasnya telah bermain pen laser di perkarangan kelasnya dengan menghalakan cahaya laser dari pen laser tersebut ke arah mata kanannya.

Daya penglihatan budak lelaki berusia 12 tahun ini kemudian telah menurun dan kabur. Sebulan selepas itu, budak lelaki ini telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan doktor telah mendapati terdapat tiga parut dengan kesan terbakar pada bahagian makular di mata kanannya. Penglihatan budak lelaki ini amat sukar untuk dipulihkan kerana kerosakan makular mata yang teruk itu.

Pen laser amat berbahaya. Ia mengambil masa selama beberapa saat sahaja apabila mata anda boleh terbakar akibat pancaran cahaya daripada pen laser. Dengan mengelip mata, ia tidak akan melindungi mata anda kerana pancaran laser boleh menembusi terus ke dalam mata.

Laser menghasilkan cahaya dengan daya tenaga penumpuan yang intensif dan kepanasan cahaya laser boleh menyebabkan pembakaran tisu anggota badan. Mata adalah bahagian anggota badan yang sangat sensitif kepada kerosakan yang boleh dibawa oleh cahaya laser berbanding anggota badan yang lain.

Di Amerika Syarikat, peraturan yang telah ditetapkan untuk satu penunjuk laser ialah tidak melebihi 5mW. Di Eropah, peraturan keselamatan bagi satu penggunaan pen laser tidak boleh melebihi 1mW, kerana pancaran laser mampu memberi kesan kerosakan kepada mata apabila ia didedahkan dalam masa tidak kurang 0.25 saat.

0.25 saat adalah bersamaan dengan masa yang diambil untuk mengelipkan mata secara semulajadi dengan sepenuhnya.

Kredit : Giphy

Produk pen laser yang terdapat di pasaran didatangkan dalam pelbagai warna yang berbeza. Berbanding cahaya laser yang berwarna merah, oren dan hijau, cahaya laser berwarna biru dan ungu adalah ancaman utama kepada mata manusia. Namun walau apa pun warna cahaya laser itu, sememangnya ia boleh mendatangkan bahaya kepada mata manusia apabila seseorang itu terdedah kepada pancarannya.

Lagi tinggi kuasa kepada penunjuk laser, lagi tinggi tenaga dan pendedahan cahayanya. Kesan yang akan dibawa akan menjadi lebih teruk. Dengan mengelip mata tidak akan melindungi mata dari pendedahan cahaya laser berkuasa tinggi ini.

Cahaya laser berwarna ungu memberi kesan yang kurang sensitif kepada mata, akan tetapi memberi ancaman yang lebih membahayakan kepada mata.

Kredit : Wikimedia Commons

Bagaimana kita boleh menggunakan penunjuk laser atau pen laser dengan selamat?

Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran Universiti California telah mencadangkan beberapa garis panduan keselamatan apabila menggunakan pen laser sebagai satu langkah berjaga-jaga :

1. Jangan menghalakan pen laser kepada bahan keluli atau permukaan berkaca. Permukaan yang berkilat akan memantulkan cahaya laser tersebut dan mampu menghala kepada mata seseorang.

2. Jangan melihat cahaya laser dengan menggunakan alat binokular, mikroskop dan sebagainya.

3. Sekiranya penunjuk laser digunakan semasa pembentangan, syarahan, pembelajaran dan sebagainya, seseorang itu perlu menunjukkan ia ke arah skrin sahaja. Tutup pen laser apabila ia tidak digunakan dan jangan sesekali menghalakan ia ke arah hadirin.

4. Jangan membeli pen laser dengan kuasa melebihi output 5mW.

5. Jangan membeli pen laser atau barangan dengan pancaran laser sebagai alat permainan buat kanak-kanak.

6. Jangan menghalakan pen laser atau penunjuk laser ke arah kereta yang sedang bergerak kerana ia boleh mengganggu tumpuan pemandu dan boleh menyebabkan kemalangan. (Juga terpakai kepada sebarang kenderaan lain dan pesawat terbang).

Apabila menggunakan pen laser pastikan kita tidak menghalakan ia kepada seseorang yang lain terutama ke arah kepala dan mata mereka.

Kredit : Shutterstock

Apakah output yang sesuai untuk penunjuk laser atau pen laser?

Walaupun kebanyakan negara di dunia telah menetapkan garis panduan dan limitasi kepada penunjuk laser, kuasa bagi sesetengah pen laser adalah berbeza-beza. Ada penunjuk laser yang dilabel dengan spesifikasi kuasa yang jelas, sementara yang lain hanya dilabel sebagai sejenis laser tanpa panduan yang jelas.

Sebagai contoh, penunjuk laser dengan tahap kuasa yang kurang daripada 5mW akan dilabel dengan Kelas 3a atau IIIa. Dengan penggunaan secara komersial penunjuk laser berwarna hijau mempunyai kuasa sehingga 300mW atau lebih. Penggunaan ini akan dilabel sebagai terkandung dalam Kategori 3b (Kelas 3b) atau Roman IIIb (Kelas IIIb). Manakala bagi mereka yang membeli penunjuk laser secara dalam talian, selalunya tidak akan diberikan garis panduan dan spesifikasi berlabel di atasnya.

Penunjuk laser yang dilabel sebagai Kelas IIIb mempunyai kuasa 300mW atau lebih dan ia dikategorikan sebagai berbahaya.

Persatuan Ophtalmologi Amerika Syarikat telah menyediakan satu garis panduan pada kuasa output penunjuk laser seperti berikut :

1. Pen laser dengan kuasa bateri duit syiling, kuasa outputnya adalah kurang 5mW.

2. Pen laser dengan kuasa bateri saiz AA atau AAA, mempunyai kuasa melebihi 5mW.

3. Sekiranya penunjuk laser berukuran seperti lampu suluh, ia akan menggunakan bateri bersaiz AA atau AAA, yang kuasanya perlu melebihi 5mW.

4. Sekiranya bateri yang digunakan boleh dicas semula, ia akan mempunyai kuasa output yang tinggi dan berkuasa.

5. Ada sesetengah penunjuk laser mempunyai ‘penutup’ di atasnya yang boleh mengurai kepada beberapa corak atau warna laser yang berbeza. Akan tetapi apabila ‘penutup’ ini dibuka, hanya satu pancaran laser yang berkuasa sahaja digunakan. Penggunaan penunjuk laser seperti ini memerlukan kuasa output melebihi 5mW.

6. Tumpukan perhatian apabila melihat label pada penunjuk laser supaya anda boleh mengira kapasiti output yang digunakan. Contoh perkataan, ‘berkuasa’ ‘kuasa yang tinggi’, ‘kuat’, ‘cerah’, ‘lebih cerah’,’amat cerah’,’berkuasa cerah’, ‘pembakaran’, ‘gred ketenteraan’, ‘fokus boleh ubah’, ‘bateri lithium’ dan sebagainya.

7. Periksa pada label atau melihat contoh gambar atau video yang menunjukkan penunjuk laser atau pen laser tersebut boleh membakar kertas, mencairkan plastik atau meletupkan belon dan sebagainya.

8. Jangan lupa memeriksa komen atau testimoni daripada pembeli lain apabila ingin membeli penunjuk laser secara dalam talian.

Diharap info ini dapat memberi panduan kepada anda. Apa yang paling penting, jauhi penunjuk laser atau pen laser daripada kanak-kanak dan anak kecil. Ia boleh mendatangkan bahaya yang akan memudaratkan masa depan.

Era Baru

Kategori:INSPIRASI KESIHATAN

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...