Adakah anda masih ingat pencapaian terbaik yang anda lakukan sewaktu berusia 11 tahun? Mungkin ada yang sudah tahu memasak atau menggosok baju sekolah sendiri di usia semuda itu tetapi ada juga yang masih berseronok bermain dan hanya mengharapkan bantuan ibu bapa.

Tetapi, anak kecil ini ternyata merupakan seorang anak yang luar biasa hebat!

Di usia 11 tahun, gadis muda dan comel ini sudah mempunyai kerjaya sebagai jurusolek profesional dan pernah bekerja dengan ramai artis serta model terkenal khususnya bagi acara pertunjukan fesyen!

Sejak berusia tiga tahun, gadis kecil bernama Natthanan yang berasal dari Thailand ini mula tertarik dengan alat solek. Natthanan gemar bermain-main dengan barangan solekan ibunya dan mula mendandan dirinya sendiri.

Apabila mencapai usia empat tahun, Natthanan mula mempelajari mengenai teknik solekan daripada internet. Dari situlah kemahirannya semakin lama semakin berkembang.

Atas dasar ingin mendorong minat anaknya, ibu Natthanan mula memuat naik beberapa video kanak-kanak itu sedang memakai solekan dan sejak itu, Natthanan mula menjadi perhatian ramai.

Bagaimanapun, netizen tidak lepas daripada memberikan pelbagai reaksi positif dan juga negatif. Segelintir daripada menganggap cara solekan anak ini melucukan, ada yang memuji bakatnya malah ada juga yang mengeji.

“Kecil-kecil lagi sudah bersolek, adakah ini yang sepatutnya dilakukan oleh anak sekecil ini?”

Kritikan dan hentaman netizen benar-benar melukakan hati Natthanan. Baginya, ia tidak salah dan dia hanya melakukan apa yang diminatinya. Setiap kali memikirkan tentang pandangan netizen yang memintanya untuk berhenti bereksperimen dengan solekan, Natthanan menjadi sedih.

Ibunya turut bersedih melihat keadaan anaknya itu. Tetapi, ibunya mengambil keputusan untuk tidak membiarkan pandangan orang lain menghentikan cita-cita anaknya.

Jadi, dia telah mengajar anak kesayangannya itu cara solekan yang betul selain mendaftarkan Natthanan ke kelas belajar menyolek.

Sejak memasuki kursus tersebut, Natthanan mula memahiri teknik-teknik dan asas solekan. Dengan minat yang mendalam, Natthanan menjadi semakin mahir dan bijak menggunakan alat solekan.

Pada usia 9 tahun, Natthanan sudah menjadi jurusolek yang sangat dikenali di seluruh Thailand. Hasil pendapatan yang diperolehinya akan digunakan untuk membeli produk-produk solekan yang berkualiti bagi memastikan hasil solekan yang bagus.

Natthanan menjadi cukup terkenal sehinggakan ramai yang berebut-rebut ingin mendapatkan perkhidmatannya. Malah, dia juga berpeluang memasuki televisyen! Dalam rancangan tersebut, Natthanan diminta untuk menunjukkan kemahirannya dan ramai yang terpegun dengan bakat anak kecil ini.

Di samping itu, gurunya yang menyedari potensi besar dalam diri anak itu turut bertindak menghubungi sebuah sekolah solekan di Amerika Syarikat bagi membolehkan Natthanan belajar mengenai solekan dengan lebih mendalam.

Natthanan juga pernah diberi peluang untuk menata rias wajah model-model di acara London Fashion Week. Bertuahnya anak kecil ini!

Daripada ramai jurusolek, Natthanan merupakan salah seorang yang mendapat perhatian media antarabangsa di London. Ternyata, mereka amat kagum dengan bakat gadis semuda itu.

Sebaik sahaja pulang ke tanah airnya, dia dijulang dan dipuji ramai kerana berjaya mengharumkan nama Thailand di persada antarabangsa. Kejayaan Natthanan setelah mengharungi pelbagai tohmahan dan kecaman ramai ternyata berbaloi.

Kini, Natthanan mempunyaia lebih daripada 700,000 pengikut di laman sosial. Malah, ramai juga yang menonton video tutorial yang disiarkannya.

Hebat!

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kerjaya Pesona

Video Popular

Ad will display in 09 seconds