Untuk sekian lama, tiada siapa yang pernah melihat ‘bunga legenda’ ini yang dikatakan hanya tumbuh dan berbunga sekali dalam tempoh 3,000 tahun dengan butiran mengenai bunga ini telah diperkatakan dalam beberapa kitab purba Buddha lama.

Akan tetapi sejak beberapa tahun yang lalu, bunga bersifat mistik ini telah menjadi tajuk perbualan dan berita di serata dunia apabila beberapa orang telah menemuinya tumbuh dan berkembang mekar di beberapa tempat di dunia.

Bunga kecil yang cantik ini amat sukar dilihat dengan mata kasar melainkan anda menggunakan kanta pembesar, dan apabila berbunga mekar, aroma harum bunga ini akan memenuhi persekitaran.

Anda perlu memerhatikan keadaan sekeliling untuk mencari bunga yang sangat halus ini. Ia sangat unik dan jarang dapat ditemui dan keindahan bunga ini menjadikannya begitu berharga.

Bunga Udumbara atau ‘Youtan Poluo‘ yang bermaksud “bunga bertuah dari syurga” dalam bahasa Sanskrit, telah dilihat tumbuh dan ditemui di beberapa tempat di dunia.

Bunga legenda ini berbau harum, berdaya tahan dan amat terkenal kerana ia boleh tumbuh dan berbunga di atas sebarang permukaan atau objek seperti besi, kayu, plastik dan lain-lain.

Seorang petani, Encik Ding dari timur laut wilayah Liaoning, China mula menemui bunga udumbara pada tahun 2007, yang telah tumbuh di atas batang paip di kebunnya, apabila sekelompok 38 kuntum bunga ini dilihat sedang mekar di atasnya.

Sekali lagi pada tahun 2007, beberapa kelibat bunga udumbara telah dilihat di Taiwan, dengan penduduk tempatan mempercayai bahawa dengan kemunculan bunga ini, ia memberi ‘petanda tuah’.

Seorang artis dari Taiwan yang telah menemui bunga ini di rumahnya berkata, “Ia satu keajaiban! Ia sangat kecil, dan ia sangat sukar dilihat dengan mata kasar tanpa menggunakan mikroskop, namun baunya yang harum memenuhi seluruh balkoni rumah.”

Kemudian pada tahun 2010, The Telegraph melaporkan seorang rahib bernama Miao Wei dari pergunungan Lushan telah menemui sekelompok kuntum bunga ini semasa beliau sedang mencuci bahagian bawah mesin basuhnya.

Pada mulanya Miao Wei berfikir ia adalah telur serangga, tetapi pada keesokan harinya ia mula berbunga dan mekar menjadi bunga putih yang cantik dan mempunyai bau yang harum.

Tetapi penampakan paling menarik akan fenomena ini telah berlaku 20 tahun yang lalu di Kuil Chonggye-sa di Seoul, Korea Selatan pada tahun 1997, apabila bunga udumbara ini dilihat tumbuh di atas dahi patung Buddha.

Foto-foto dan video yang diambil semasa kejadian ini berlaku telah menjadi berita sensasi di seluruh dunia. Menurut sejarah dalam kitab Buddha purba, tahun 1997 ditandakan sebagai tahun lunar ke 3024 semenjak kelahiran agama Buddha di India.

Menurut kitab Buddha purba, kali terakhir bunga udumbara dilihat mekar dan direkodkan dalam kitab ialah sebelum kelahiran bersejarah Gautama Buddha

Bunga udumbara mempunyai makna spiritual yang mendalam menurut kepercayaan penganut ajaran Buddha dan di dalam kitab Buddha telah dinyatakan, yang ia hanya akan berbunga dalam masa 3,000 tahun dan dipercayai sebagai pemberitahuan akan kepulangan penyelamat yang akan menyinari dunia.

Legenda dalam kitab agama Buddha menyatakan akan kedatangan penyelamat ini yang akan menawarkan keselamatan dan perasaan belas kasihan untuk semua umat manusia tidak kira apa pun fahaman agama mereka.

Selama beberapa tahun ini, bunga udumbara telah berbunga di merata tempat di dunia

Ramai yang telah dapat merakamkan kejadian luar biasa ini, dan ada yang mengatakan bunga ini adalah telur serangga atau kepompong kupu-kupu

Bagaimanapun, perbezaan antara kedua-duanya amat nyata dan mudah. Dari segi sains, telur serangga akan kendur dan layu selepas larva menetas, tetapi bunga mistik ini tidak akan layu untuk jangka masa yang agak lama, ia akan tumbuh dan berbunga, yang akhirnya akan menyebarkan bau harum yang agak unik, untuk jangka masa yang agak lama. Terdapat bunga udumbara akan berbunga mekar selama setahun.

Seorang pengumpul dan penafsir kitab Buddha, Huilin Yinyi berkata bunga legenda ini adalah petanda keajaiban dan kemunculan unik paling berharga. Katanya,”Bunga udumbara adalah satu produk kemakmuran dan satu fenomena yang luar biasa, ia adalah bunga cakerawala dan tidak wujud di dunia nyata yang biasa. Sekiranya Tathagata atau Raja Roda Emas muncul di dunia manusia, bunga ini akan muncul kesan daripada keberkatan dan kebaikan yang dibawanya.”

Bunga ‘ajaib’ ini boleh ditemui dan berbunga di atas daun, tingkap, pagar, batang paip dan di mana-mana sahaja

Fenomena yang agak ‘menghairankan’ ini sebenarnya telah membawa kepada  perbualan dan perdebatan golongan dalam bidang sains dan agama, dan mereka memberikan pendapat masing-masing mengenai kewujudan dan kemunculan bunga ini.

Apa pun yang berlaku, fenomena ini sememangnya amat jarang sekali berlaku di dunia, terpulang kepada pendapat dan kepercayaan masing-masing untuk memperkatakan tentang kemunculan bunga ‘ajaib’ ini selepas 3,000 tahun.

Adakah anda pernah melihat kelibat bunga udumbara ini berbunga dan mekar di mana-mana? Jika anda menemui bunga mistik ini, jangan lupa merakamnya dan berkongsi bersama kami.

Lihat video di bawah.

Sumber: NTD

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds