Isu pekerja ditindas terutamanya yang melibatkan pekerja mahir bukanlah isu baharu yang berlaku di negara ini. Malah, menurut beberapa perkongsian dari bekas pegawai terdahulu di media sosial, mereka juga pernah melalui sendiri pengalaman budaya ‘jijik’ korporat sebelum mereka akhirnya memilih untuk meletakkan jawatan.

Terbaharu seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat kimia mendedahkan bagaimana dia terpaksa bertindak kejam semasa proses memberhentikan pekerja lain.

Biarpun pada awalnya dia berasa malu untuk mengakuinya, namun itulah hakikat yang berlaku dalam dunia korporat yang mahu dikongsikan olehnya kepada orang ramai.

Lelaki yang tidak dikenali namanya itu nampaknya tidak keseorangan apabila post di Facebook Humans Of Kuala Lumpur menjadi tular dan mendapat hampir 80 ribu suka.

“Saya pernah menjadi Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat kimia. Tetapi saya malu untuk memberitahu anda perkara-perkara yang pernah saya lakukan dalam korporat. Apabila kita ingin memberhentikan orang-orang yang bekerja dalam pekerjaan korporat, kami bukannya menawarkan severance package tetapi kami menyukarkan kehidupan mereka.” katanya.

“Kami menghina mereka dalam mesyuarat, kami memberitahu mereka bahawa mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik, kami menyusun semula organisasi dan mengurangkan kekananan mereka dan meletakkan orang-orang muda sebagai bos mereka. Akhirnya, orang yang kuat tidak boleh ‘tahan’ dan mereka akan meninggalkan jawatan mereka sendiri. Inilah yang mereka ajarkan kepada saya dalam korporat dan inilah yang saya lakukan.”

Menurut bekas COO tersebut, amat malang sekali apabila syarikat tersebut tidak pernah kekurangan orang yang sukarela melakukan budaya ‘jijik’ itu dengan menjatuhkan rakan seperjuangan mereka sendiri. Hal ini kerana, mereka sebenarnya tidak sedar bahawa satu hari nanti mereka juga akan diperlakukan sedemikian oleh orang lain pula.

Katanya lagi, “Sekiranya anda berada di peringkat pertengahan pengurus, ia adalah selamat kerana anda beroperasi secara murni. Namun, sebaik sahaja anda sampai ke peringkat senior manager, itulah titik permulaan politik. Ramai orang cemburu terhadap anda, mereka ‘menikam anda dari belakang’ dan mereka akan melakukan apa sahaja untuk menyingkirkan anda.” Itulah sisi ‘jijik’ dunia korporat dan sebenarnya orang itu sendiri memiliki akhlak yang tidak baik.

Lelaki ini akhirnya memilih untuk berhenti dari dunia korporat. Keputusannya muktamad dan dia tidak sedikit pun berasa menyesal. Malah dia berasa bersyukur kerana diberi peluang kedua dalam hidupnya.

Apabila ditanya mengapa dia berhenti dari dunia korporat, dia menjawabnya dengan tenang dan seolah-olah beban yang dipikul di bahunya selama ini terlerai semuanya.

Pada suatu malam, dia melihat album gambar lama keluarganya dan menyedari bahawa dia telah mensia-siakan masa dia bersama keluarganya sejak 20 tahun lalu.

Dia hampir tidak dapat mengingati bagaimana anak-anaknya membesar dan pada masa yang sama, isterinya semakin tua. “Ia seperti saya baharu sahaja sedar daripada koma dan saya hilang ingatan. Saya berasa terlalu menyesal dan pada ketika ini saya memutuskan untuk melakukan perkara yang betul dalam hidup saya.” katanya.

Selepas meninggalkan pekerjaan korporatnya, dia mengendalikan perniagaan kimia sederhana secara sendirian. Menurutnya lagi, pada hujung minggu pula, dia akan berniaga di pasar lambak untuk menjual barang-barang milik mereka sekeluarga yang tidak diperlukan lagi dan perniagaan itu telah beroperasi selama dua tahun.

“Saya sebenarnya menyimpan lebih banyak wang sekarang berbanding ketika saya berada di korporat kerana saya juga belajar untuk menguruskan kewangan saya dengan lebih baik dan menyedari wang yang dibelanjakan dahulu adalah untuk kemewahan yang tidak perlu. Sebagai contoh, saya fikir saya tidak boleh hidup tanpa Astro kerana saya sering menonton EPL (bola sepak Liga Perdana Inggeris) pada setiap hujung minggu. Namun, apabila saya tidak lagi melanggan Astro demi menjimatkan wang, saya menyedari bahawa saya tidak terlepas banyak perkara.” katanya.

Lelaki yang dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu seorang lelaki dan dua orang perempuan ini juga bercadang untuk pindah ke pangsapuri yang lebih kecil apabila anak bongsunya menuntut di universiti kelak.

Katanya, sebaik sahaja anda menyingkirkan perkara-perkara yang tidak diperlukan dari hidup anda, anda akan lebih mudah untuk fokus pada perkara-perkara yang lebih penting.

“Semasa bekerja dalam bahagian korporat, saya melaporkan kepada lembaga dan mempunyai 10 orang bos. Tetapi sekarang saya hanya mempunyai seorang bos. Isteri saya! Inilah kehidupan saya sekarang, lebih mudah tetapi saya lebih bahagia.” katanya menutup bicara.

Sumber: Facebook | Humans of Kuala Lumpur

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Korporat

Video Popular

Ad will display in 09 seconds