Bagi yang tidak tahu, seramai 1 daripada 700 bayi dilahirkan dengan keadaan Sindrom Down dan akan melalui pelbagai kesukaran sepanjang hidup mereka. Antaranya ialah kelewatan tumbesaran dan kelemahan dalam kemahiran kognitif.

Namun begitu, masih ramai antara kita yang tersalah anggap mengenai anak-anak Sindrom Down ini dan tidak sedar bahawa mereka juga mampu melayari kehidupan yang produktif dan penuh dengan kebahagiaan.

John Cronin, 21 tahun yang merupakan penghidap Sindrom Down membuktikan bahawa insan sepertinya juga mampu mencipta kejayaan dalam hidup setelah berjaya menubuhkan sebuah syarikat menjual stoking secara atas talian bersama bapanya, Mark X Cronin.

Kredit: John’s Crazy Socks

Segalanya bermula setelah John tamat persekolahannya dan mula menunjukkan minat untuk menceburi bidang perniagaan.

Setelah merangka perancangan yang teliti, kedua-dua bapa dan anak ini akhirnya memutuskan untuk menjalankan perniagaan menjual stoking memandangkan John mempunyai minat mendalam terhadap stoking.

Dengan keazaman yang tinggi, mereka berjaya memulakan perniagaan ini dan ia berjaya menjadi perniagaan yang stabil!

Dalam tahun pertama mereka, John dan Mark berjaya memperolehi sejumlah RM5.47 juta dengan menjual lebih daripada 1,500 pasang stoking pelbagai rekaan.

Kejayaan ini adalah hasil titik peluh John yang mementingkan kepuasan pelanggan. Untuk setiap pesanan yang ditempah, John akan menyelitkan gula-gula dan juga nota terima kasih kepada para pelanggannya.

Kredit: John’s Crazy Socks

Jika pelanggan tersebut tinggal di kawasan berhampiran, John sendiri yang akan menghantar tempahan stoking tersebut ke rumah pelanggan.

John dan Mark juga mempunyai 12 orang pekerja sepenuh masa di mana 8 daripadanya merupakan golongan kelainan upaya (OKU). Selain itu, mereka turut menyumbangkan sebanyak 5% daripada jumlah keuntungan yang diperolehi kepada Olimpik Istimewa bagi membantu golongan OKU lain.

Kredit: John’s Crazy Socks

Kebanyakan stoking yang dijual oleh syarikat John’s Crazy Socks ini merupakan hasil rekaan John sendiri. Ternyata, John mempunyai citarasa dan tahap kreativiti yang tinggi dalam memastikan hasil rekaannya benar-benar menarik hati pelanggan.

Kisah inspirasi perjuangan John ini mendapat liputan luas daripada berita penyiaran seperti BBC Two, Time dan juga The Today Show. Ramai yang begitu mengagumi keazaman dua beranak ini dalam menjayakan perniagaan mereka.

Ujar Mark, “Kami sangat komited dengan visi yang kami mahu capai.”

Sementara itu, John pula mahu menjadikan dirinya sebagai contoh kepada golongan sepertinya.

“Ia tidak mustahil. Saya ada Sindrom Down dan ia tidak pernah menghalang saya.”

Kisah yang amat memberi inspirasi. Diharap lebih ramai individu yang akan menghargai usaha golongan istimewa ini dan menjadikan John sebagai idola untuk berjaya dalam hidup. 

Tonton video di bawah:

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds