GLOBAL, KESIHATAN

11 jenama air botol terkenal dunia dilaporkan tercemar dengan partikel plastik

11 jenama air botol terkenal dunia dilaporkan tercemar dengan partikel plastik

Satu kajian secara besar-besaran yang dijalankan ke atas 9 buah negara mendapati botol air jenama terkemuka dunia telah tercemar dengan zarah kecil plastik yang dipercayai meresap masuk sewaktu proses pembungkusan.

Pakar pengkaji mikroplastik iaitu Sherri Mason dari Universiti New York telah melaksanakan kajian berkenaan dan mendapati berlakunya ‘pencemaran meluas’ bahan plastik pada botol air jenama berkenaan.

Kredit: Antea Group

Para penyelidik telah menjalankan ujikaji ke atas 259 botol air dari 19 lokasi berbeza di Brazil, China, India, Indonesia, Kenya, Lubnan, Mexico, Thailand dan juga Amerika Syarikat.

Hasil dapatan kajian menunjukkan kewujudan plastik pada 93% sampel termasuk beberapa jenama terkenal dunia seperti Aqua (Danone), Aquafina (PepsiCo), Dasani (Coca-Cola), Evian (Danone), Nestle Pure Life (Nestlé), San Pellegrino (Nestlé), Bisleri (Bisleri International), Epura (PepsiCo), Gerolsteiner (Gerolsteiner Brunnen), Minalba (Grupo Edson Queiroz) dan Wahaha (Hangzhou Wahaha Group).

Kredit: The Guardian

Daripada jumlah keseluruhan 259 botol yang diuji, hanya 17 botol sahaja disahkan bebas daripada sebarang pencemaran.

Serpihan mikro bahan plastik yang ditemui dalam botol air berkenaan termasuklah polypropylene, nylon dan polyethylene terephthalate (PET) yang digunakan untuk membuat penutup botol.

Dalam penyelidikan ini, para saintis telah menggunakan pewarna merah Nil yang akan melekat pada permukaan plastik dan menyebabkan partikel plastik menyala apabila terkena cahaya biru.

Kredit: Abigail Barrows

Ujar Mason kepada AFP, “Dalam kajian ini, 65% daripada partikel yang kami temui adalah serpihan dan bukannya gentian.”

“Saya berpendapat ianya berpunca daripada proses pembotolan air. Saya rasa bahan plastik yang kami temui adalah daripada botol, penutup dan juga proses pembotolan air tersebut.”

Menurut Abigail Barrows, terdapat beberapa faktor yang membolehkan plastik memasuki botol air dan salah satunya adalah kerana mikroserat plastik mudah dibawa melalui udara. Perkara ini boleh terjadi bukan sahaja di luar tetapi juga di dalam kilang. Berkemungkinan besar ia dibawa daripada kipas atau daripada pakaian pekerja yang mengendalikan proses pembotolan tersebut.

Kredit: New York Post

Secara puratanya, partikel plastik dalam purata saiz 100 mikron (0.10 milimeter) yang disebut sebagai ‘mikroplastik’ ditemui pada kadar 10.4 partikel plastik bagi setiap liter air. Sementara itu bagi partikel yang lebih kecil pula pada kadar 325 per liter.

Namun, laporan berkenaan menyatakan ketepuan partikel dalam setiap botol minuman yang tercemar adalah daripada ‘kosong sehingga lebih daripada 10,000 partikel plastik’.

Bagaimanapun, sejauh mana risiko pencemaran tersebut ke atas tahap kesihatan manusia masih belum dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci.

Kredit: Wired

“Terdapat perkaitan dalam meningkatkan jenis kanser tertentu kepada pengurangan bilangan sperma kepada peningkatan penyakit seperti autisme,” kata Mason lagi.

Sebelum ini, pihak Orb Media telah menjalankan kajian mengenai partikel plastik di dalam air paip dan hasilnya menunjukkan kewujudan partikel berkenaan dalam skala yang lebih kecil.

Sumber: NSTThe Guardian

Kategori:GLOBAL KESIHATAN

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...