Hampir semua orang di dunia mengetahui kewujudan Tembok Besar China yang masyhur, tetapi kebanyakan orang tidak mengetahui India juga memiliki khazanah binaan tembok cantik yang hampir sama dan sudah berusia hampir 600 tahun.

Ia dikenali sebagai Tembok Besar India yang mengelilingi kubu pertahanan purba Kumbhalgarh.

Kubu pertahanan purba Kumbhalgarh

Kubu pertahanan Kumbhalgarh terletak di Rajastan, di barat India. Tapak warisan dunia ini telah dibina pada abad ke 15 oleh Rana Kumbha, pemerintah kerajaan Mewar dari tahun 1433 hingga 1468 Masihi. Kubu pertahanan ini kemudian telah dibaik pulih dan diperluaskan pada abad ke 19.

Menurut legenda pada tahun 1443, pada mulanya Rana Kumbha tidak berjaya dalam percubaannya untuk membina dinding pada kubu pertahanan ini. Rana Kumbha kemudian telah meminta bantuan seorang sami yang menasihatkannya untuk mengadakan satu upacara korban secara sukarela bagi tujuan memecahkan halangan pembinaan kubu tersebut.

Dinding tembok kubu pertahanan Kumbhalgarh

Sami ini juga telah menasihatkan supaya Rana Kumbha perlu membina sebuah kuil dengan berpasakkan kepala para sukarelawan yang bersedia untuk menjadi korban dan membina tembok pada kubu pertahanan itu sebagai memperingati mereka yang telah berkorban secara sukarela. Sudah tentu  tiada siapa yang sanggup berkorban dan berani menyahut cabaran yang tidak masuk akal ini.

Namun begitu, pada satu hari seorang penziarah telah datang bertemu dengan raja ini dan menawarkan diri untuk menjadi korban demi melindungi kubu pertahanan tersebut.

Pada hari ini, di pintu masuk utama kubu yang dinamakan Hanuman Pol, terdapat makam dan kuil yang telah dibina bagi memperingati jasa besar dan pengorbanan penziarah yang tidak dikenali itu.

Semasa pembinaan kubu dan tembok ini, Maharana Kumbha akan membakar sebuah lampu yang besar yang diperbuat daripada 50 kilogram mentega dan 100 kilogram kapas pada setiap malam  bagi memberi keselesaan kepada para pekerja yang membina kubu tersebut pada waktu malam.

Kubu pertahanan Kumbhalgarh

Dengan dikelilingi tiga belas puncak menara yang tinggi, tembok ini telah ditambah sejauh 36 kilometer dengan ukuran lebar kubu pertahanan sepanjang 15 hingga 25 kaki. Kubu ini diperbuat daripada jubin batu yang cantik bersama perhiasan bercorak di atasnya.

Apabila musuh dari luar datang menyerang kerajaan, pemerintah Mewar dapat meninjau persekitaran di bawah melalui kubu pertahanan ini.

Kumbhalgarh

Kubu pertahanan ini amat kebal dan tidak dapat ditembusi secara langsung sehinggalah seorang pengkhianat telah meracun bekalan air ke kubu tersebut yang telah membawa kemenangan kepada pemerintah Moghul, Akhbar Khan bersama kemaraan angkatan tentera dari Delhi, Amer, Gujerat dan Marwar.

Kubu pertahanan Kumbhalgarh – tembok besar kedua terpanjang selepas Tembok Besar China

Tembok besar Kumbhalgarh telah dibina selama hampir satu abad.

Apabila tiba di Kumbhalgarh, terdapat tujuh pintu masuk ke kubu dengan binaan yang kukuh. Di dalam kubu ini terdapat lebih 360 kuil purba. Kebanyakannya adalah kuil Hindu dan Jain. Dari puncak istana, anda akan dapat melihat Pergunungan Aravalli sepanjang beberapa kilometer. Gurun Thar juga dapat dilihat dari tembok besar ini. Satu pemandangan dengan pandangan menakjubkan.

Tembok Besar India ialah tembok kedua terbesar di dunia selepas Tembok Besar China. Namun begitu, kewujudan tembok besar dengan seni binaan yang cantik ini tidak berapa dikenali oleh dunia luar. Atas sebab itu, ia boleh menjadi destinasi pelancongan baru yang lebih menarik.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia Kebudayaan Pesona

Video Popular

Ad will display in 09 seconds