Sejak 17 tahun lalu, Cassie Gretschel telah membeli trak keluaran Tonka untuk adik lelakinya yang berusia 25 tahun, Max pada setiap sambutan Hari Natal. Max adalah seorang yang kelainan upaya daripada segi fizikal dan mental dan trak ini hanyalah satu-satunya mainan yang digemarinya.

Menurut Gretschel, mencari trak tertentu adalah misi yang mustahil. Trak Police Hummer keluaran Tonka dihasilkan pada tahun 2000 dan sejak itu pengeluarannya telah dihentikan. Namun dia dan keluarganya cuba mencari mainan tersebut di eBay untuk memastikan Max akan mendapatkan satu set mainan pada setiap tahun sempena Hari Natal.

Max dilahirkan dengan sifat kelainan upaya iaitu Cerebral Palsy dan scoliosis. Disebabkan itu, Max sangat menggemari trak keluaran Tonka kerana ia adalah mainan yang mudah dikendalikan dan sesuai untuk mereka yang kelainan upaya.

“Kami memiliki banyak trak. 12 masih berfungsi dan kami menyimpan beberapa set sebagai gantian sekiranya kami perlu memperbaiki kerosakan trak tersebut.” kata Gretschel.

Gretschel menggunakan media sosial Reddit untuk membeli daripada mana-mana pengguna Reddit sekiranya mereka memiliki trak keluaran Tonka tersebut.

Dia memuat naik gambar Max berserta koleksi trak dan menerangkan kepentingan dan kesukaran untuk mencari trak tersebut buat adiknya.

Terharu dengan kisah Gretschel, ramai pengguna Reddit tampil untuk membantu. Beberapa pengguna Reddit bersedia untuk menghantar mainan trak yang mereka miliki walaupun ia mungkin tidak serupa dengan keluaran Tonka.

Tidak lama selepas itu, pengguna Reddit menghantar mesej kepada Tonka melalui email dan mesej secara peribadi untuk bertanyakan sekiranya mereka dapat membantu Gretschel.

Menurut pemilik Tonka, Jessica Gonzalez, sebaik sahaja mereka menerima email pertama, semua staf berusaha mencari mainan tersebut dengan segera. Katanya lagi: “Kali ini agak sukar kerana itu adalah mainan lama dan kami perlukan lebih banyak masa untuk mencarinya.”

Akhirnya Tonka berjaya mengumpulkan trak hummer dan melakukan beberapa pelarasan sesuai mengikut permintaan istimewa Max seperti tiada roda getah, tuil yang berfungsi dan warna yang terang. Mereka berharap Max akan menyukai hadiah Hari Natal tersebut.

Akui Gretschel, dia tidak menyangka pencariannya itu akan menjadi tular dan ramai netizen yang sudi menghulurkan bantuan. Apa yang lebih mengagumkan ialah kesudian Tonka membantunya mencari semula set mainan trak yang sudah lama itu untuk adiknya.

Ramai netizen kagum dengan kegigihan Gretschel melayani permintaan adiknya yang kelainan upaya itu. Mereka juga menyatakan rasa terima kasih kepada Tonka kerana turut membantu Gretschel. Bagi mereka, Tonka adalah syarikat mainan yang hebat!

Era Baru

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona

Video Popular

Ad will display in 09 seconds