KULAI – Sepasang suami isteri meluahkan kekecewaan mereka apabila gambar arwah anak mereka telah disalah guna oleh pihak tertentu bagi mengutip sumbangan palsu.

Sekitar Julai tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun telah meninggal dunia setelah menderita penyakit kanser tulang. Walau bagaimanapun, gambar kanak-kanak ini telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan keuntungan.

Kredit: Berita Harian Online Malaysia

Muhamad Aqil mula menderita penyakit tersebut seawal usia 12 tahun. Dia telah menjalani 12 sesi kemoterapi dan 10 sesi radioterapi namun usianya tidak panjang apabila Aqil disahkan meninggal dunia pada tanggal 14 Julai 2017 setelah hampir setahun melawan penyakit itu.

Susulan pemergian Aqil, terdapat satu pihak yang tidak bertanggungjawab telah memuat naik gambar-gambar arwah ketika masih hidup di laman Facebook. Didapati pihak berkenaan telah menggunakan satu akaun dengan nama sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu.

Dalam entri yang dimuat naik oleh pihak tersebut pada 5 Julai 2017, didapati ada pihak yang menggunakan akaun palsu telah meminta bantuan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada satu akaun di bawah nama Azman.

Berita ini sampai ke pengetahuan ahli keluarga arwah dan mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kredit: MOHD AZREN JAMALUDIN/NST ONLINE

Namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa memandangkan akaun Facebook tersebut masih lagi aktif digunakan.

Kemudian pada Rabu lalu (7 Mac 2018), ahli keluarga arwah Aqil sekali lagi mendapati terdapat satu lagi pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan gambar anak mereka bagi tujuan penipuan.

Menurut ibu Aqil iaitu Asmah Jamien, 46 tahun, “Saya baru hendak melapangkan fikiran (selepas kehilangan permata hati) apabila tiba-tiba melihat gambar arwah digunakan untuk menipu dan mengaut keuntungan”.

Tambah Asmah lagi, “Saya menyedarinya pada Rabu dan kali ini gambar arwah dimuat naik di akaun Facebook palsu menggunakan nama Berita Harian Online Malaysia”.

Kredit: Berita Harian Online Malaysia

“Ketika kejadian pertama dulu, gambar arwah disertakan rayuan derma untuk disalur atas nama Azman dengan nombor akaun bank yang tiada kaitan dengan keluarga kami. Kali ini, atas nama Puan Nurul pula”.

Asmah dan suaminya, Muhamad Zaki, 48 tahun bagaimana pun telah bertanya kepada pihak Berita Harian mengenai butiran akaun tersebut dan ianya sah sebagai akaun palsu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya nombor akaun bank dan nama penderma milik kami. Ia tiada kaitan dengan keluarga kami dan saya mohon orang ramai supaya berhati-hati, tidak tertipu dengan kenyataan yang dimuat naik”.

Penipuan melalui media sosial merupakan kegiatan yang semakin berleluasa sejak mutakhir ini. Semoga mereka yang terlibat dalam penipuan ini segera diberkas dan dikenakan tindakan sewajarnya.

Sumber: Harian Metro

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds