Dalam tempoh beberapa minggu lagi, sebuah stesen angkasa lepas seberat 8.5 tan dijangka akan jatuh terhempas ke bumi dan mengeluarkan wap bertoksik yang mungkin akan menakutkan anda kerana Kuala Lumpur merupakan antara bandar yang diramalkan menjadi salah satu lokasi yang terlibat.

Kredit: 9News

Menurut pakar, stesen angkasa lepas kebanggaan negara China yang dinamakan Tiangong-1 itu mula hilang kawalan pada tahun 2016 sejak pertama kali dilancarkan pada September 2011. Justeru, ia dijangka akan mula memasuki lapisan atmosfera Bumi pada bulan hadapan.

Walaupun para saintis tidak dapat memberikan jawapan tepat tentang lokasi di mana stesen berkenaan akan terhempas, Perbadanan Aeroangkasa Amerika memaklumkan bahawa ‘terdapat kemungkinan bahawa hanya debris kecil’ sahaja akan terhempas ke Bumi.

Serpihan daripada stesen angkasa lepas berkenaan dijangka akan jatuh dalam kawasan yang telah diramalkan dan kebarangkalian untuk serpihan ini terhempas ke kawasan yang dipenuhi manusia adalah sangat kecil.

Kredit: 9News

Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan di mana stesen angkasa lepas berkenaan mengandungi bahan bertoksik tinggi yang berbahaya dikenali sebagai hydrazine. Berikutan itu, pihaknya bertindak mengeluarkan amaran awal kepada orang ramai agar tidak menyentuh atau menghidu wap daripada serpihan-serpihan berkenaan.

Kredit: SpaceNews

Bahan kimia berkenaan yang digunakan sebagai bahan api roket dipercayai boleh mengakibatkan kanser kepada manusia. Antara simptom jangka pendek akibat pendedahan kepada hydrazine adalah kegatalan pada mata, hidung dan tekak selain pening, mual dan juga koma.

Jika seseorang terdedah kepada hydrazine dalam jangka masa yang lama, kesannya boleh menyebabkan kerosakan pada hati, buah pinggang dan sistem saraf pusat.

Berdasarkan kepada penyelidikan oleh pakar daripada Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), serpihan stesen angkasa lepas tersebut mungkin akan mula memasuki atmosfera bumi antara 24 Mac dan 19 April.

“Setiap dua tahun kejadian seperti ini pasti akan berlaku tetapi Tiangong-1 adalah besar, jadi kami perlu sentiasa memerhatikannya,” kata Jonathan McDowell, pakar astrofizik dari Universiti Harvard.

Beberapa bulan kebelakangan, stesen angkasa lepas berkenaan dilaporkan menuju ke arah Bumi dengan anggaran jarak 1.5 km dalam tempoh seminggu. Namun sejak Oktober lalu, ia mula bergerak laju dengan jarak 6 km dalam seminggu.

Kredit: Futurism

“Jika ramalan kiraan kami tersalah dalam masa 1 jam, ia akan menyebabkan impak pada kawasan seluas 27,000 km!”, tambah McDowell lagi.

Terdahulu, ESA telah menyenaraikan beberapa bandaraya yang berpotensi menjadi zon pendaratan stesen angkasa lepas berkenaan. Antaranya adalah Kuala Lumpur, Singapura, Bangkok, Beijing, New York, Manila dan Tokyo.

Kredit: Daily Mail

Namun dalam satu kenyataan terbaru, pertubuhan penyelidikan tersebut melaporkan lokasi yang bakal dilanda insiden ini berkemungkinan besar akan berlaku di utara China, negara Timur Tengah, Itali, utara Sepanyol, negeri-negeri di utara Amerika Syarikat, New Zealand, Tasmania, Amerika Selatan dan juga Afrika Selatan.

Sumber: 9NewsDaily Mail 

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 10 seconds