Tiada siapa benar-benar tahu tentang asal-usul kucing manja berwarna jingga ini namun kehadirannya telah mengubah kehidupan ramai orang.

Kira-kira bulan lalu, kucing yang diberikan nama Tombi ini ditemui berkeliaran di sebuah sekolah rendah yang terletak di Izmir, Turki. Namun, Tombi tidak kelihatan seperti kucing jalanan lain. Sebaliknya, Tombi memiliki personaliti yang menarik.

Kredit: Özlem Pınar Ivaşcu

Kucing ini sangat mesra dengan manusia dan suka ‘menjenguk’ para pelajar bagi mendapatkan perhatian.

Pada awalnya Tombi hanya merayau di sekitar bangunan sekolah. Namun, lama-kelamaan Tombi mula menjadi lebih berani untuk memasuki kelas dan melepak bersama pelajar-pelajar lain di dalam kelas.

Kredit: Özlem Pınar Ivaşcu

Nampaknya kucing comel ini juga mahu menimba ilmu pengetahuan demi masa depan yang lebih cerah! Hehehe….

Menurut seorang guru bernama Özlem Pinar Ivaşcu kepada The Dodo, “Tombi tiba-tiba masuk ke kelas kami. Murid-murid juga sangat sukakannya”.

Kredit: Özlem Pınar Ivaşcu

Sejak kejadian itu, Tombi secara rasminya menjadi sebahagian daripada kelas tersebut.

Walaupun ramai yang berpendapat tindakan membenarkan kucing berkenaan memasuki kelas boleh mengganggu tumpuan para pelajar, Ivaşcu merasakan Tombi dapat memberikan kesan positif kepada para pelajarnya.

Tingkah laku Tombi yang penuh dengan sifat ingin tahu membuatkan para pelajar menjadi lebih teruja untuk menuntut ilmu. Oleh demikian, Ivaşcu mengambil tindakan untuk melantik Tombi menjadi ‘pembantu’ di dalam kelasnya.

Kredit: Özlem Pınar Ivaşcu

Tambah Ivaşcu lagi, sebelum ini, para pelajar akan berlari dan membuat bising dalam kelas semasa waktu rehat. Tetapi Tombi telah mengubah kelakuan pelajar-pelajar ini. Mereka suka bermain dengan Tombi dan menjadi lebih fokus dalam pelajaran.

“Mereka datang awal ke sekolah dan mereka juga menjaga kebajikan Tombi. Ini adalah perkara yang baik untuk mereka dan juga Tombi,” kata Ivaşcu.

Kredit: Özlem Pınar Ivaşcu

Daripada kucing jalanan yang tiada arah tuju, kehidupan Tombi kini menjadi jauh lebih baik. Tombi bukan sahaja mempunyai tempat tinggal yang selesa dan selamat tetapi kebajikannya dari segi makanan dan minuman juga terjaga.

Malah, Tombi juga kini tidak lagi hidup sendirian. Tombi berjaya membentuk perhubungan baharu dengan ramai manusia.

Bagaimanapun, kisah bahagia antara Tombi dan para pelajar mungkin bakal berakhir dengan tragedi setelah salah seorang penjaga pelajarnya membuat aduan berkenaan risiko kesihatan yang dibawa oleh Tombi.

Kredit: Özlem Pınar Ivaşcu

Berikutan itu, pihak pentadbiran sekolah terpaksa meminta untuk melepaskan Tombi pergi dari sekolah tersebut. Perkara ini jelas membuatkan semua orang sedih, begitu juga Tombi.

“Saya telah menempatkan Tombi di dalam sebuah rumah selama tiga hari namun Tombi tidak gembira dengannya. Tombi enggan makan. Jadi, saya dan suami ambil keputusan untuk bawa Tombi ke rumah kami namun Tombi tetap kelihatan tidak gembira”.

Kredit: Özlem Pınar Ivaşcu

Mendengarkan khabar tersebut, semua pelajar yang pernah menjadi ‘rakan’ Tombi memutuskan untuk menulis surat kepadanya bagi menggembirakan hati Tombi.

Kredit: Özlem Pınar Ivaşcu

Ivaşcu kemudiannya telah kongsikan kisah Tombi di media sosial dan ia terus tersebar secara meluas sehingga mencuri perhatian daripada stesen televisyen.

Penularan kisah ini menyebabkan ramai yang menyatakan sokongan kepada Ivaşcu. Malah lebih mengejutkan lagi, penjaga yang pernah membuat laporan mengenai Tombi telah berubah fikiran dan meminta agar Tombi dikembalikan semula ke sekolah berkenaan.

Kredit: Özlem Pınar Ivaşcu

Akhirnya, Tombi kembali ceria dapat menemui semula rakan-rakan manusia kesayangannya. Sebaik sahaja memasuki kelas, Tombi menjadi dirinya semula, seekor kucing yang periang dan manja.

Tombi juga dibawa ke klinik haiwan bagi mendapatkan vaksin supaya kesihatannya terjamin.

Kredit: Özlem Pınar Ivaşcu

Semoga Tombi terus bahagia di samping mereka yang sayangkannya.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona Ria

Video Popular

Ad will display in 09 seconds