GAYA HIDUP, Resipi

Chef Wan kongsi 5 petua rahsianya untuk memasak Gulai Udang Nanas dan Ikan Bakar Portugis. Sedapnya!!

Chef Wan kongsi 5 petua rahsianya untuk memasak Gulai Udang Nanas dan Ikan Bakar Portugis. Sedapnya!!

Siapa tidak kenal dengan tukang masak nombor satu negara iaitu Datuk Chef Wan! Sejak dahulu lagi, Chef Wan dikenali ramai kerana celotehnya yang menghiburkan selain kepakarannya dalam menyajikan hidangan tempatan, masakan Barat, pencuci mulut dan sebagainya.

Kredit: Celebs Blogger

Baru-baru ini, Chef Wan telah mengadakan sesi memasak di sebuah restoran makanan laut iaitu Uncle Ali The Fishmonger yang terletak di Bukit Jelutong. Dalam sesi berkenaan, Chef Wan telah menyediakan dua resipi kegemarannya iaitu Gulai Udang Nanas dan juga Ikan Bakar Portugis!

Emmm, membaca nama resipi sahaja sudah boleh buat ramai yang kecur liur!

Kredit: Uncle Ali The Fishmonger

Selain mengadakan sesi masakan bertemakan makanan laut segar, Chef Wan turut sempat memberikan beberapa tips menarik bagi menghasilkan hidangan yang padu dengan keenakan rasa! Tak sabar nak tahu apa tips yang ingin diberikan pakar memasak ini…

#1 Sentiasa pastikan rempah ditumis sehingga pecah minyak

Kredit: SAYS

Petua pertama ini merupakan salah satu petua penting dalam memasak hidangan tempatan. Menurut Chef Wan, langkah ini amat penting bagi memastikan sesuatu masakan itu dimasak dengan sempurna.

Jelas Chef Wan lagi, jika anda menggunakan mesin pengisar elektrik untuk mengisar bahan-bahan tumis, anda harus menumis rempah anda dengan menggunakan api besar. Hal ini demikian kerana bahan yang dikisar menggunakan mesin mengandungi banyak air berbanding bahan yang ditumbuk atau digiling sendiri. Justeru, dengan menumis pada api besar, kandungan air akan tersejat dengan lebih cepat.

Anda harus menumis bahan sehingga warnanya menjadi sedikit gelap, rempah mula mengeluarkan bau harum dan minyak mula terpercik di dalam periuk atau kuali.

#2 Jangan terlebih masak makanan laut

Kredit: SAYS

Chef Wan menegaskan kepada orang ramai supaya jangan sesekali memasak makanan laut dengan terlalu lama kerana ia akan menyebabkan hidangan menjadi liat dan hilang kemanisannya.

Bagi mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku, pastikan anda terus menutup api sebaik sahaja makanan laut anda hampir masak, kira-kira ¾ masak. Haba daripada masakan tersebut akan memastikan lauk anda dimasak sehingga sempurna.

#3 Gunakan hasil tanaman sendiri dalam masakan

Kredit: SAYS

Chef Wan turut sempat mengajak orang ramai untuk mengamalkan aktiviti bercucuk tanam dan menggunakan hasil tanaman sendiri dalam masakan.

“Kalau boleh, gunakan dedaun daripada pokok-pokok yang ditanam sendiri, barulah fresh dan organik! Lagi pun, boleh jimat sikit belanja dapur. Ambil apa yang perlu, tak payah membazir beli di kedai”.

#4 Gunakan gula Melaka bagi mendapatkan rasa asli masakan Nyonya

Kredit: Uncle Ali The Fishmonger

Salah satu petua turun-temurun yang diamalkan dalam keluarganya setiap kali memasak Gulai Udang Nanas adalah dengan menggunakan gula Melaka dan bukannya gula pasir.

Jelas Chef Wan, gula Melaka memiliki rasa yang lebih halus dan asli.

#5 Masukkan kicap pekat manis di dalam perapan sambal ikan bakar

Kredit: Uncle Ali The Fishmonger

Chef Wan juga mencadangkan supaya menambah sedikit kicap pekat manis pada sambal yang ingin dilumurkan di atas ikan sebelum dibakar. Tambahan perasa ini boleh memberikan sedikit warna yang cantik pada hasil hidangan ikan bakar. Malah, kicap pekat manis ini juga akan melazatkan lagi hidangan tersebut.

Sumber: SAYS

Kategori:GAYA HIDUP Resipi

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...