Seorang penuntut tahun akhir Sarjana Muda Seni Halus Lakonan dan Pengarahan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) gigih menjalankan perniagaan sehingga beliau berjaya memiliki kedai gunting rambut sendiri dengan hanya bermodalkan RM30 sahaja. Hasilnya, beliau memperolehi pendapatan hampir RM10,000 sebulan.

Kegigihannya menjadikan beliau dipilih untuk bertanding dalam Pertandingan Ikon Usahawan antara universiti di Malaysia dan keputusannya akan diketahui pada Mac ini.

Menurutnya, beliau memang mahu menyediakan servis menggunting rambut kepada pelajar. Pada tahun 2014 (semester 1), beliau merebut peluang dengan menawarkan servis pengguntingan rambut di hadapan biliknya dengan caj RM5 untuk seorang.

Pada ketika itu, beliau masih tidak jelas lagi akan cara perniagaan sebenar. Setiap kali bertemu dengan pelajar lelaki, beliau pasti akan menguar-uarkan servisnya.

Sungguhpun malu kerana diperlekehkan oleh sesetengah pelajar, namun beliau tidak putus asa. Pada mulanya, beliau membeli mesin rambut, gunting dan sikat di pasar malam dengan harga RM30, dan sambutannya agak kurang menggalakkan membuatkannya mengubah servis daripada bilik ke bilik pula.

Nasibnya berubah setelah diberi peluang menggunting rambut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Mohamad Shafiq Kamaruddin.

Kemudian, Shafiq menawarkan kepadanya sebuah kedai di USM untuk dijadikan kedai gunting rambut. Sejak daripada itulah, beliau memiliki kedai sendiri iaitu Bampishh Barbershop.

Rakannya turut membantu mempromosikan kedainya, ditambah lagi dengan sokongan keluarga membuatkan beliau semakin yakin. Beliau juga mula belajar gaya potongan terbaru yang mengikut peredaran masa kini di laman YouTube untuk menjaga kepuasan pelanggan.

Tetapi, menjadi pelajar dalam masa yang sama menguruskan sebuah perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini kerana beliau sendiri mengalami masalah untuk menguruskan diri.

Jika sibuk dengan tugasan dan kelas, beliau akan tutup kedainya dalam masa seminggu. Tidak lama kemudian, beliau mula menggaji pekerja. Keuntungan yang dimiliki membolehkannya berniaga seluar jeans dan beg tangan di media sosial.

Selain itu, beliau turut menjadi stokis untuk produk kosmetik. Ternyata beliau memiliki minat yang mendalam dalam bidang perniagaan. Nasihatnya, apa sahaja bidang yang diceburi, adalah penting untuk tidak mudah putus asa.

Beliau juga dikhabarkan akan membuka satu cawangan Bampishh Barbershop di Seri Iskandar, Perak  pada bulan Ogos akan datang.

Tonton video di bawah:

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds