Ini bukan dikatakan tabiat, tetapi lebih kepada mengikut fesyen terkini untuk tidak memakai stoking semasa menyarung apa juga jenis kasut kegemaran anda. Kasut di sini bermaksud sebarang jenis kasut tertutup dan tidak mendedahkan kaki seperti kasut bersarung, kasut sukan dan sebagainya.

Mungkin anda juga salah seorang yang suka menyarung kasut dengan kaki yang terdedah dan tidak dilitupi oleh stoking, atas sebab ia nampak lebih hebat dan selesa. Atau anda dengan sengaja berbuat begitu kerana malas untuk memakai stoking. Dan sepatutnya bermula hari ini, anda perlu berfikir dan mempertimbangkan kembali keputusan untuk tidak memakai stoking atas sebab-sebab di bawah.

1. Kaki anda akan berbau lebih kuat

Kredit : TokyoJapan2013

Jika pakaian yang terkuap dan tidak terdedah kepada cahaya matahari itu akan berbau, begitu juga dengan kaki anda. Apabila kaki terkuap dengan peluh dan tidak terdedah di dalam kasut, bakteria akan senang membiak dan tindakbalas dengan suhu akan menyebabkan bau yang tidak menyenangkan.

Tanpa pemakaian sebarang stoking yang akan menyerap peluh di kaki anda dan membuatnya menjadi kering, sudah pasti kaki anda akan berbau dengan bau yang tidak menyenangkan apabila anda menanggalkan kasut selepas memakainya seharian.

Anda mungkin tidak perasan kaki anda itu berbau, tetapi orang lain akan dapat menghidunya.

2. Membiarkan kaki terkuap dan lembap akan mendedahkan anda kepada komplikasi kesihatan

Kredit : eMedicineHealth

Mungkin anda tidak menyedarinya, tetapi ia boleh membawa kepada penyakit kaki makan air atau ‘Athlete’s Foot’. Penyakit ini boleh memberi mudarat dan akan membuat kaki anda berasa tidak selesa. Biasanya apabila seseorang mendapat penyakit ini, kulit kaki akan menjadi merah, gatal, bersisik dan merekah, terutamanya di bahagian celah kaki.

Penyakit kaki makan air ialah satu penyakit yang disebabkan oleh jangkitan kulat yang membawa kurap dan biasanya ia ditemui di kawasan yang gelap, panas dan lembap seperti kepada kaki yang memakai kasut tanpa stoking seharian.

Tanpa stoking, kaki anda tidak dapat menyerap peluh serta kelembapan kaki dan ia tidak dapat mengering. Untuk pengetahuan anda, kaki mempunyai 250,000 kelenjar peluh, yang merupakan tempat paling sesuai untuk pembiakan kuman dan bakteria.

Seorang ahli podiatrik, Dr Emma Stevenson berkata kaki kita biasanya akan mengeluarkan setengah pint peluh setiap hari. Ini bermakna, ia satu jumlah yang sudah cukup untuk membasahkan kasut anda.

3. Kurap yang menyebabkan penyakit kaki makan air boleh menular ke bahagian badan yang lain

Kredit : Fugacil

Bermula daripada kepala hingga ke pangkal paha, kurap boleh merebak ke bahagian badan ini, terutamanya apabila anda tidak mengenal pasti masalah ini dengan segera.

Jangkitan bakteria yang juga dikenali sebagai ‘Jock Itch’ ini biasanya akan menyerang kulit kepala, bahagian kemaluan, hujung peha dan bahagian punggung. Oleh itu, sekiranya anda tidak mahu berasa tidak selesa kesan daripada kegatalan, kulit bersisik dan kemerahan di bahagian sensitif tersebut, pastikan kaki anda berada dalam keadaan yang sihat dan dijaga dengan baik.

4. Jangkitan kulat kaki daripada orang lain boleh merebak kepada anda apabila sedang mencuba kasut yang baru

Kredit :Liebscher&Bracht

Walaupun anda tidak mengalami masalah kaki berbau atau lain-lain jangkitan kulat kaki, anda masih boleh mendapat penyakit ini daripada orang lain, terutama sekali apabila anda tidak memakai stoking ketika mencuba kasut baru di kedai kasut.

Ia seperti anda memakai topeng muka bagi melindungi diri daripada bakteria di udara, memakai stoking itu perlu bagi melindungi kaki anda daripada dijangkiti bakteria dan kulat.

Tanpa stoking, bermakna kaki anda tidak mempunyai sebarang perlindungan terhadap bakteria dan fungi yang berada di kasut dan kaki anda.

5. Tanpa memakai stoking, kasut anda lebih cepat kotor dan berkulat

Kredit :Bustle

Anda tentu membelanjakan sekurang-kurangnya RM100 untuk membeli sepasang kasut bersarung atau kasut sukan. Amat memalukan apabila anda melihat kasut tersebut kelihatan kotor dan berkulat akibat dipenuhi peluh dari kaki.

Lebih memburukkan keadaan, apabila anda memakai sepasang kasut yang sama dengan kerap, ia akan sentiasa lembap dan selalunya masa untuk peluh mengering adalah selama 48 jam selepas anda membuka kasut. Jadi kasut anda itu sudah semestinya kelihatan kotor, berkulat dan berbau.

Jadi, untuk menjaga kesihatan kaki, anda dinasihatkan supaya memakai stoking pada setiap kali menyarung kasut.

Sekiranya anda tidak mahu memakai stoking penuh yang tidak menampakkan kaki kerana mahu berfesyen, anda mempunyai pilihan untuk memakai stoking paras buku lali atau apa juga jenis pelindung kaki yang lain.

Apa yang penting, pastikan anda memakai stoking atau pelindung kaki bagi mengelakkan kaki dijangkiti bakteria dan berbau.

Era Baru

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds