KUALA LUMPUR – Baru-baru ini sebuah laporan yang dijalankan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), sebuah agensi antarabangsa yang mengkaji tentang kemiskinan dan kesihatan kanak-kanak di bandar mendapati bahawa hampir semua kanak-kanak dalam kajian (99.7 peratus) yang tinggal di rumah pangsa kos rendah dikatakan hidup dalam kemiskinan relatif, sementara 7 peratus hidup dalam kemiskinan mutlak.

Kajian yang dijalankan melibatkan hampir 1,000 isi rumah di bawah skim perumahan Program Perumahan Rakyat. Laporan itu mendapati kumpulan tersebut dilaporkan menderita akibat kadar kemiskinan dan kekurangan zat makanan dan jumlah yang terlibat adalah lebih tinggi berbanding dengan purata negara.

Sumber: MMO

Laporan itu menyatakan bahawa hampir 48 peratus dari isi rumah ini sering tidak mampu untuk membeli makanan dan 12 peratus daripada anak-anak dari isi rumah ini makan kurang daripada tiga kali sehari.

Di samping itu, kira-kira 22 peratus daripada kanak-kanak ini mengalami tumbesaran terbantut, iaitu dua kali lebih tinggi daripada purata di Kuala Lumpur.

Menurut Malay Mail Online, ketua penyelidik, Muhammed Abdul Khaled, berkata isu ini harus dipandang serius dan dianggap sebagai krisis jika ia melebihi 20 peratus. Petikan dari kenyataan Unicef mengenai laporan itu mengatakan,

“Kemiskinan kanak-kanak di bandar dan keadaan rumah pangsa kos rendah yang serba kekurangan menunjukkan bagaimana kemiskinan merosakkan peluang anak-anak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pendidikan awal dan membuatkan mereka lebih terdedah kepada kekurangan zat makanan. “

Sumber: Mark Henley Photography

Sementara itu, menurut The Edge Property, wakil dari Unicef di Malaysia Marianne Clark-Hattingh pula berkata,

“Malaysia telah membangun dengan pesat sejak tiga puluh tahun lalu dalam membasmi kemiskinan. Walau bagaimanapun, kajian ini menunjukkan bahawa tidak semua orang mendapat manfaat yang sama dan ada antara mereka, terutamanya kanak-kanak yang ketinggalan dalam pembangunan ini.”

Selain itu, The Edge Property juga mengatakan bahawa, kanak-kanak yang di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur dilihat kurang mendapat akses kepada makanan yang berkhasiat walaupun mereka tinggal di kawaan yang mudah diakses.

Ramai antara mereka yang tidak berpeluang untuk pergi ke pra-sekolah, tinggal di kawasan-kawasan yang tidak sepatutnya dan kurang peluang untuk belajar dan bermain berbanding dengan kebanyakan kanak-kanak lain di Malaysia. Kenyataannya adalah, kanak-kanak miskin ini ada di antara kita tetapi mereka sering tidak kelihatan.

Fakta ini sangat menyedihkan, kanak-kanak ini seharusnya diberikan peluang untuk hidup dalam keadaan yang lebih baik seperti kanak-kanak lain di Malaysia.

Diharapkan agar pihak berwajib akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasi masalah ini kerana kanak-kanak itu adalah aset negara pada masa hadapan.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds