KOTA BHARU – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan akan ditutup sebaik sahaja segala hutang syarikat pelaburan strategik berkenaan berjaya diselesaikan.

Menurut Pengerusi 1MDB iaitu Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, firma berkenaan diyakini dapat melangsaikan semua hutang yang tertunggak melalui pelan rasionalisasi yang kini sedang giat dijalankan.

Beliau yang juga merupakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan turut memaklumkan bahawa segala hasil pendapatan daripada projek mega kerajaan akan digunakan untuk melangsaikan segala hutang firma tersebut. Antara projek mega kerajaan yang disebutkan adalah:

  • Pembinaan bandar Tun Razak Exchange (TRX)
  • Menara The Exchange 106 yang bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia
  • Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
  • Transit Aliran Massa Kedua (MRT 2)

Kredit: The Skyscraper Center

“Tidak lama lagi, penghuni yang memiliki tempat di bandar TRX akan membayar sewa dan kita juga akan menjual plot tanah. Bandar Malaysia yang akan dibangunkan nanti juga akan menjadi canggih dengan adanya semua pengangkutan awam seperti kereta api laju, ECRL serta MRT”.

Tambah beliau semasa sesi sidang media yang dijalankan selepas menyampaikan Amanat Cabaran Ekonomi kepada mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK):

“Melalui wang ini kita akan membayar hutang… hasil diperoleh bukan membabitkan sehari dua, sebaliknya akan memakan masa lebih 10 tahun untuk menjana pendapatan daripada pembangunan jangka panjang terbabit”.

“Sebaik saja habis hutang, tidak perlu lagi wujud 1MDB”.

Kredit: New Straits Times

Jelas beliau lagi, penubuhan 1MDB oleh kerajaan adalah bertujuan untuk menjalankan perniagaan namun seperti syarikat-syarikat lain, bukan semuanya akan mendapatkan hasil keuntungan yang dikehendaki.

“Sudah tentu ada syarikat yang untung dan rugi… Apabila rugi kita akan tutup. Namun, semua hutang perlu dibayar dulu”.

Tahun lalu, berdasarkan kepada Surat Ikatan Penyelesaian dengan Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan International Petroleum Investment Co (IPIC), pihak 1MDB dikatakan sudah membuat pembayaran penuh kepada IPIC bagi hutang pada 31 Disember 2017.

1MDB perlu membayar sejumlah RM2.43 bilion kepada IPIC sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian yang dipersetujui pada April tahun lalu. Di samping itu, firma berkenaan turut telah melangsaikan hutangkan kepada pihak Affin Bank dengan membayar sebanyak RM230 juta pada tahun 2015.

Kredit: Free Malaysia Today

Pada tahun 2016 pula, 1MDB telah menyelesaikan sebanyak RM950 juta kepada kerajaan, RM2 bilion kepada Marstan Investment NV dan RM589 juta kepada EXIM Bank.

Sehingga Oktober tahun lalu, The Edge melaporkan bahawa hutang syarikat berkenaan masih berjumlah RM32.5 bilion!

Sumber: BH OnlineUtusan OnlineThe Edge

Era Baru

Share
Kategori: Korporat NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds