PETALING JAYA — Bagi mempersiapkan diri dengan adegan lasak semasa sesi pengambaran filem Black Panther, pelakon terkemuka dalam filem itu telah mempelajari pelbagai seni mempertahankan diri. Salah satu daripadanya adalah seni mempertahankan diri masyarakat Melayu iaitu silat yang telah dipelajari oleh pelakon utama, Chadwick Boseman, yang memainkan watak adiwira T’Challa.

Menurut laporan Straits Times (Singapura), Boseman berkata bahawa seni yang berasal dari Kepulauan Melayu itu memerlukan tahap disiplin yang tinggi.

Keputusan memilih silat untuk dipertontonkan di dalam filem berkenaan setelah kajian dibuat berdasarkan adegan perlawanan yang dicampurkan sedikit dengan beberapa seni mempertahankan diri dari benua yang lain.

“Terdapat beberapa koreografi termasuklah capoeira (Brazil), seni tinju Dambe (Afrika Barat), seni tinju masyarakat Senegal, lawan kayu Zulu dan sedikit campuran seni muay Thai dan silat harimau bagi menghasilkan filem ini,” jelas Boseman.

Silat Harimau adalah satu daripada ratusan jenis silat yang dikatakan menyerupai pergerakan harimau – merendahkan posisi diri, terdapat lompatan dan tendangan.

Boseman ada memuat naik sebuah klip video di laman Instagramnya pada hujung bulan Mei tahun lalu di mana beliau kelihatan cekap mempraktis pergerakan yang sama seperti silat.

Pelakon gandingannya, Lupita Nyong, yang juga merupakan penerima Anugerah Academy turut mendalami silat bagi menjiwai watak Nakia. “Seni mempertahankan diri yang ditonjolkan di dalam filem War Dog of Wakanda”, jelasnya menerusi artikel yang dimuat naik pada laman web Marvel. Menurutnya lagi, latar belakang pengarah Ryan Coogler juga membantu gaya persembahan pelakon-pelakonnya.

“Beliau mempunyai jiwa seorang perwira yang dapat membantu saya menjiwai watak. Kadang kala, saya berfikir seperti, “Saya mana tahu pergerakan perwira”. Jadi, seseorang sepertinya dilihat sangat-sangat membantu”, tambahnya lagi.

“Saya masih dalam proses memperbaiki pergerakan silat saya. Jika melompat, saya perlu berusaha keras untuk lompat lebih tinggi daripada apa yang saya rasa saya mampu lakukan. Saya perlu berguling, dan dah lama saya tidak berguling. Ia amat seronok!”, akhirinya.

Black Panther, yang mula ditayangkan di Malaysia pada 15 Februari dipuji sebagai “penukar permainan” oleh pengkritik Hollywood yang merayakan klasik Marvel untuk variasi pelakonnya.

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds