SUNGAI BESAR: Barisan Nasional Selangor akan mempertimbangkan polisi di mana para pemborong dikehendaki untuk membayar 20 sen kepada pelanggan mereka yang membawa sendiri beg beli belah yang boleh dikitar semula semasa membeli barangan, jika Barisan Nasional kembali menawan negeri Selangor pada PRU ke 14.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata kempen kerajaan Selangor iaitu “Hari Tanpa Beg Plastik dan Polistirena” disifatkan gagal kerana tiada pengurangan drastik direkodkan terhadap penggunaan beg plastik semenjak kempen itu dilancarkan pada 1 Januari tahun lalu.

Beliau berkata gedung pasaraya dan pemborong memainkan peranan yang besar dalam mengurangkan penggunaan beg plastik dengan memberi 20 sen kepada pelanggan mereka yang membawa sendiri beg kitar semula. Usaha ini akan menggalakkan lebih ramai pengguna untuk menggunakan beg kitar semula berbanding membelanjakan 20 sen bagi mendapatkan beg plastik daripada kedai pemborong.

 

Pengerusi Barisan Nasional Selangor juga ada mempersoalkan dana yang dikutip oleh kerajaan Selangor menerusi jualan beg plastik di pasaraya dan premis-premis makanan. “Kempen itu gagal. Kita masih dapat lihat banyak sampah dan beg plastik. Lagipun, pengguna mahu tahu ke manakah duit hasil penjualan beg plastik itu disalurkan. Adakah kembali kepada pengguna?

“Kita tidak seharusnya terus menghukum mereka yang tidak membawa beg sendiri. Justeru, adalah lebih adil jika polisi ini dilaksanakan”, katanya.

Noh berkata jika Barisan Nasional menang pada PRU akan datang, pihaknya akan mengkaji semula polisi kerajaan negeri yang sedia ada dan meneliti serta mencari jalan untuk memperbaikinya, dalam usaha menggalakkan orang ramai untuk memelihara persekitaran.

Tambahnya lagi, kempen itu juga gagal kerana sifat tidak bertanggungjawab sesetengah individu dan kurangnya kesedaran untuk menjaga dan memelihara persekitaran.

Difahamkan bahawa sejumlah RM1.87 juta berjaya dikutip daripada pengguna di Selangor menerusi caj 20 sen terhadap pembelian beg plastik semasa kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ dilaksanakan. Kutipan berkenaan walau bagaimanapun hanya melibatkan pasaraya dan premis makanan yang telah memaklumkan kepada kerajaan negeri, melalui persatuan perdagangan masing-masing, dalam kutipan antara bulan Januari dan Mei.

Daripada jumlah itu, 63.98 peratus daripada koleksi itu diperolehi daripada pengendali pasar raya, manakala selebihnya, oleh pengendali premis makanan.

Sumber: New Straits Times

Share
Kategori: BISNES Ekonomi NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds