Walaupun sudah beberapa minggu penyanyi terkenal, Yunalis Zarai atau Yuna melangsungkan perkahwinan dengan pengarah Adam Sinclair, kisah perkahwinan pasangan merpati dua sejoli ini masih tetap menjadi bualan hangat orang ramai khususnya netizen.

Dari cerita tentang pelamin ala-ala kayangan yang begitu eksklusif sehinggalah yang terbaru, kontroversi berkenaan busana pengantin rekaan Hatta Dolmat yang menjadi kritikan ramai.

Dikatakan ada seorang netizen mengulas mengenai busana yang digayakan oleh Yuna ketika majlis bertandang bagi pihak lelaki itu memiliki rekaan yang ketinggalan zaman.

Individu berkenaan yang menggunakan nama i_knowfashion telah memuat naik beberapa gambar Yuna di akaun Instagram miliknya dengan kapsyen:

“Saya tidak katakan pakaian tersebut tidak cantik. TETAPI, gaun ini dengan tambahan fabrik di bahagian tepi adalah fesyen tiga tahun lepas”.

“Saya terkejut melihat Hatta Dolmat, seorang pereka fesyen terkenal hanya mampu menghasilkan gaun seperti ini. Beliau sepatutnya mencipta trend terkini dan tidak mengikut gaya yang sedia ada”.

Jelas pemilik akaun berkenaan lagi, fesyen busana tersebut sudah terlalu biasa bagi pengantin berhijab dan tidak mempunyai ciri-ciri yang unik serta eksklusif sesuai dengan imej Yuna sebagai penyanyi bertaraf antarabangsa!

Seolah-olah bengang dengan isu yang dibangkitkan oleh netizen tersebut, Yuna yang terkenal dengan sikap lantang bersuara di media sosial mula membalas kritikan tersebut menerusi ruangan komen.

Pada pendapat beliau, netizen tersebut tidak wajar melemparkan kritikan sedemikia rupa atas usaha keras Hatta Dolmat dalam memberikan yang terbaik untuk menghasilkan busana itu.

Benar semua individu mempunyai hak masing-masing dalam menyuarakan pendapat. Tetapi kadangkala, segelintir individu dengan sewenang-wenangnya menghamburkan kata-kata yang mungkin boleh mengecilkan hati ramai pihak.

Yuna bahagia dan gembira menggayakan busana tersebut. Mengapa anda pula yang sakit hati melihat gaun Yuna yang ‘ketinggalan zaman’? Renung-renungkan~

Sumber: NST

Share
Kategori: Berita Hiburan

Video Popular

Ad will display in 09 seconds