NASIONAL

3 individu berpangkat Datuk terlibat dalam penipuan Forex ditahan

3 individu berpangkat Datuk terlibat dalam penipuan Forex ditahan

KUALA LUMPUR – Dalam serbuan yang dijalankan berasingan di empat lokasi sekitar ibu kota pada Sabtu lalu (10 Februari), tiga individu berpangkat Datuk telah ditahan pihak polis setelah disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing atau forex.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, kesemua suspek yang berusia antara 35 hingga 49 tahun itu berjaya dicekup selepas pihaknya menerima 116 laporan yang melibatkan kerugian sebanyak RM6.2 juta.

Kredit: Sinar Online

Ujar beliau, “Dalam serbuan itu, kami merampas 13 kereta mewah, tiga motosikal berkuasa tinggi, 10 jongkong emas masing-masing seberat 100 gram, pingat penganugerahan Datuk, pelbagai dokumen dan beg serta jam tangan berjenama”.

“Sebanyak 116 laporan diterima sejak Ogos 2016 hingga Februari 2018, membabitkan kerugian berjumlah RM6.2 juta berhubung kegiatan sindiket ini dengan 30 kertas siasatan sudah dibuka”.

BH TV/NST Online

Tambah beliau lagi, “Kami menganggarkan lebih 70,000 mangsa dengan kerugian sebanyak RM1 bilion terbabit dalam sindiket ini”.

Di samping itu, pihak polis turut memaklumkan bahawa sebanyak 38 akaun bank milik 17 individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan turut dibekukan dengan nilai simpanan sebanyak RM624,000.

“Kami turut membeku aset iaitu banglo bernilai RM5 juta milik seorang suspek dan sebuah kereta Ferrari dianggarkan bernilai RM1.5 juta. Semua aset dan barangan yang dirampas serta dibekukan dalam kes ini dianggarkan bernilai RM10.5 juta”.

KL Post

Jelas Amar Singh lagi, sindiket yang bergerak secara aktif sejak tahun 2013 itu menggunakan modus operandi dengan mempromosikan pelaburan melalui laman sesawang dan menawarkan pulangan lumayan sebanyak 12% setiap bulan.

“Suspek memperdaya mangsa supaya membuat pelaburan perniagaan berkonsepkan pertukaran mata wang asing atau forex dengan mengadakan seminar di hotel”.

Penipuan ini berjaya berjalan dengan lancar memandangkan suspek turut menggunakan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain sering membabitkan penganjur atau pengurusan atasan yang bergelar Datuk.

Free Malaysia Today

Ketiga-tiga suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Bagaimanapun, pihak polis kini sedang berusaha untuk memburu dalang utama yang merupakan pasangan suami isteri iaitu Datuk Pandeyan Maruthamuthu, 65 tahun dan Datin Gouri C. Faskuny, 56 tahun bagi sindiket penipuan pelaburan forex berkenaan.

“Mereka dipercayai melarikan diri ke negara jiran pada Ahad lalu, sebaik sahaja serbuan dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan”.

Sumber: BH Online,  Sinar Online

Era Baru

Kategori:NASIONAL

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...