Hisashi Nishizawa dan Mai Nakahara hanyalah satu pasangan kekasih biasa yang berasal dari Jepun. Pasangan ini telah diperkenalkan oleh rakan, dan selepas itu mereka telah jatuh cinta lalu keluar berjanji temu selama 2 tahun. Selepas ulang tahun kedua itu, Hisashi telah melamar Mai dalam suasana romantik dan mereka telah mengambil keputusan untuk berkahwin.

Pada tahun 2006 mereka telah merancang perkahwinan tersebut dalam masa setengah tahun selepas lamaran Hisashi.

Semasa sedang membincangkan butir-butir perkahwinan mereka, Mai memandang Hisashi dengan wajah yang keliru dan pelik sambil bertanya, “Kamu ini siapa?”

Hisashi merasa amat terkejut apabila Mai secara tiba-tiba telah terlupa akan kewujudannya.

Sejak dari insiden tersebut, beberapa perkara pelik terus terjadi. Mai secara tiba-tiba telah berubah menjadi orang lain. Mai sering menjerit di waktu malam, dan telah mula tidak dapat mengingati ahli keluarga dan rakan-rakannya sendiri. Tunang Mai, Hisashi berasa sangat bimbang dengan perubahan ini lalu telah membawa Mai ke hospital untuk pemeriksaan dan mencari punca mengapa kelakuannya telah berubah. Pihak hospital tidak dapat mencari punca, sebaliknya telah memindahkan Mai untuk mendapatkan rawatan mental di hospital sakit mental.

Semasa berada dalam rawatan di hospital tersebut, Mai telah tidak sedarkan diri dan akhirnya koma apabila secara tiba-tiba degupan jantung dan fungsi paru-parunya telah terhenti. Mai kemudian telah dikejarkan ke Hospital Universiti Okayama untuk pemeriksaan lanjut. Doktor masih tidak dapat mengesan punca penyakit Mai dan mereka berkata Mai mungkin akan berada dalam keadaan koma buat jangka masa yang agak lama.

Pada masa ini rancangan perkahwinan Hisashi dan Mai telah dibangkitkan. Perancang perkahwinan telah menghubungi Hisashi untuk membincangkan perkahwinan yang sepatutnya dijalankan pada awal tahun 2007. Rakan-rakan dan ahli keluarga telah menasihatkan Hisashi supaya membatalkan perkahwinan tersebut, tetapi Hisashi telah berkeras dengan pendiriannya dan berkata, “Saya akan menunggunya!”.

Mereka yang berada di sisi Hisashi berasa amat kagum dan tersentuh dengan sikapnya yang setia. Sifat kesetiaan yang bukan calang-calang pasangan lain boleh melakukannya. Keluarga Mai telah mengupah jururawat persendirian untuk menjaga Mai, tetapi Hisashi mengambil usaha sendiri dengan penuh tanggungjawab menjaga Mai. Hisashi akan bangun pagi dua jam lebih awal setiap hari untuk melawat Mai, bercakap dengannya dan menjaganya selepas pulang dari kerja.

Selepas lima bulan berada dalam keadaan koma, Mai Nakahara telah disahkan oleh doktor menghidapi satu penyakit yang dipanggil ‘Anti-NMDA receptor encephalitis’ iaitu satu keadaan penyakit yang telah menyerang sistem imun, sistem perlindungan badan yang menghalang jangkitan bakteria, sehingga menjejaskan fungsi otak, kesan dari tumor ovari.

Penyakit ini amat jarang terjadi kepada manusia dengan kebarangkalian 0.33 orang dalam 1 juta orang. Apabila penyakit ini mula menyerang, penghidapnya akan mengalami halusinasi, sesak nafas dan hilang keupayaan untuk menunjukkan reaksi dan emosi. Selepas dapat mengenal pasti penyakit ini, para doktor telah menjalankan pembedahan membuang tumor. Pembedahan tersebut telah berjaya, namun Mai masih terus berada dalam keadaan koma.

Walaupun Mai masih tidak sedarkan diri, Hisashi Nishizawa masih tidak berganjak daripada menjaga tunangnya, Mai. Melihat kepada ketabahan dan kesetiaan Hisashi, ibu Mai berasa amat tersentuh. Ibu Mai berkata kepada Hisashi, “Saya berasa amat bersyukur kamu sentiasa menjaga dan berada di sisi Mai, tetapi saya masih berharap kamu berputus asa sahaja dengan Mai dan pergilah mencari teman wanita yang lain!”

Mendengar perkataan ibu Mai ini, Hisashi menjadi sedih dan telah merayu kepada ibu Mai, “Saya memohon kepada makcik, sila berikan restu dan membenarkan saya supaya dapat terus berada di sisi Mai dan menjaganya. Sehingga saya dapat melihat senyumannya dan mendengarnya memanggil nama saya. Saya tidak akan berputus asa…”

Setelah berada dalam koma selama 529 hari, dengan menjalani pembedahan dan rawatan perubatan yang intensif serta penjagaan penuh kasih sayang dan kesetiaan Hisashi Nishizawa, Mai telah mula menunjukkan tanda-tanda perubahan untuk pulih dan akhirnya telah mulai sedar, walaupun pada ketika itu Mai hanya dapat memberi respon kepada suara tetapi masih tidak dapat mengingati apa-apa. Orang yang paling gembira dengan perkembangan itu ialah Hisashi.

Pada tahun 2011, Mai telah menunjukkan banyak perubahan dengan mendapat kembali keupayaannya menunjukkan emosi dan mengingati namanya serta beberapa orang sekeliling yang disayanginya.

Mai kemudian telah dibenarkan pulang ke rumah selepas berada di hospital selama 1000 hari, iaitu hampir 3 tahun. Mai mula mengenali beberapa orang ahli keluarganya. Tetapi, Mai masih keliru dan tidak dapat mengingati seorang lelaki yang sering berada di sisinya, Hisashi Nishizawa.

Walaupun berasa sedih, Hisashi tidak pernah berasa berputus asa. Kemudian pada satu hari, dengan berkat kesabaran Hisashi, memori Mai terhadap Hisashi telah tiba-tiba datang apabila Mai melihat satu buku poket lama dengan perkataan “Majlis Perkahwinan” yang bertarikh 11 Mac 2007.

Akhirnya, Mai Nakahara telah dapat mengingati siapa insan tidak dikenali bernama Hisashi Nishizawa yang sering berada di sisi dan kehidupannya setelah sekian lama. Melihat kepada gambar mereka bersama di dalam buku poket itu telah mengingatkan kembali akan memori perhubungan mereka. Hisashi adalah kekasih hatinya!

Hisashi menjadi orang yang paling gembira dengan memori Mai yang telah dapat dikembalikan itu. Setelah itu, Mai telah berusaha bersungguh-sungguh untuk pulih dari penyakitnya, dengan sokongan dan bantuan tidak berbelah bahagi Hisashi.

Pada bulan Jun 2014, setelah lapan tahun menundakan upacara perkahwinan, pasangan ini telah membuat keputusan untuk meneruskan majlis perkahwinan di tempat yang sama mereka telah membuat perancangan itu, ‘Averiru State Guest House’ di Okayama.

Akhirnya pada tanggal 21 Disember 2014, pasangan Hisashi dan Mai telah melangsungkan ‘perkahwinan ajaib’ mereka dengan disaksikan kedua ibu bapa mereka, kaum keluarga, para sahabat dan kakitangan hospital yang telah menjaga Mai selama hampir 6 tahun.

Walaupun kakinya masih lemah dan tidak boleh berjalan dengan baik, Mai tetap berusaha untuk melangkah menuju ke pangkuan Hisashi di upacara perkahwinan tersebut sambil diiringi kedua ibu bapanya.

Hisashi Nishizawa berkata, “Saya tidak dapat membayangkan jika saya bertindak dengan kembali kepada kehidupan yang asal dan biasa. Apabila melihat Mai pulih dengan menunjukkan perkembangan yang baik setiap hari, sedikit demi sedikit, saya merasakan yang tempoh lapan tahun itu tidaklah terlalu lama.”

Manakala Mai Nakahara pula berkata, “Saya berasa amat bersyukur. Saya mahu membina keluarga bahagia bersama suami saya, Hisashi.”

Kini, pasangan Hisashi dan Mai telah dikurniakan seorang cahaya mata. Keluarga dengan tiga ahli ini kini hidup lebih bahagia setelah mengalami pahit getir dan kesukaran selama 8 tahun. Cinta Hisashi dan Mai bertambah mendalam selepas menghadapi dugaan dan dikurniakan seorang anak.

Kisah cinta Hisashi dan Mai telah dijadikan inspirasi dalam filem “The 8 Years Engagement” lakonan Sato Takeru dan Tsuchiya Tao yang diterbitkan pada tahun 2017.

Lihat video menyayat hati majlis perkahwinan Hisashi dan Mai di bawah.

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular

Ad will display in 10 seconds