Setiap individu mahukan hidup yang gembira di samping dikurniakan dengan kesihatan yang baik. Namun, boleh anda bayangkan perasaan apabila secara tiba-tiba, anda dikhabarkan dengan satu berita mengejutkan tentang tahap kesihatan yang merosot sehingga menghalang anda untuk menjalani kehidupan normal seperti insan lain.

Kredit: IAS Paper

Dengan kekangan kesihatan, segala aktiviti seperti bercuti menikmati keindahan alam, menyertai sukan lasak, menikmati makanan yang lazat dan sebagainya pasti akan terbatas. Perubahan secara drastik ini pasti akan membuatkan sesiapa sahaja menjadi pilu.

Inilah yang terjadi kepada seorang gadis berusia 20 tahun bernama Atirah. Di usia yang masih muda, Atirah telah disahkan menghidap kanser ovari tahap tiga tanpa disedarinya.

Menurut perkongsian oleh Atirah menerusi akaun Twitter miliknya, tragedi tersebut mula berlaku pada bulan Mei tahun lalu. Jelasnya, keadaan pada waktu itu disedari dengan penampakan perutnya yang sedikit membuncit.

Namun, Atirah hanya mengendahkan perkara tersebut kerana menyangkakan berat badannya semakin bertambah.

Atirah turut mengimbas semula detik di mana setiap kali selepas makan, dia akan mengalami kesukaran untuk bernafas. Malah, perutnya juga kelihatan semakin mengembung dan menjadi keras.

Risau dengan keadaan tersebut, Atirah memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya yang menyangkakan anaknya itu sedang mengalami masalah kembung perut akibat angin.

Ibu Atirah kemudian mencadangkan supaya Atirah minum air halia bagi menghilangkan masalah kembung perut tersebut. Walau bagaimanapun, keadaan perutnya tetap tidak surut malah terasa keras seperti ada objek di dalam perutnya setiap kali ditekan.

Atirah masih lagi mengabaikan perkara tersebut memandangkan dia agak sibuk sepanjang tempoh tersebut untuk menyiapkan tugasan kuliah.

Hanya selepas dia pulang ke rumah sempena cuti perayaan, barulah kedua-dua ibu bapanya membawa Atirah ke klinik berdekatan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kredit: Twitter @atiraww

Selepas menjalani imbasan, pihak hospital masih tidak dapat mengesahkan keputusan terperinci memandangkan ketumbuhan sebesar 20 sm itu sudah menutupi sebahagian perutnya.

Satu-satunya pilihan yang perlu dilalui adalah pembedahan yang mungkin mendatangkan pelbagai risiko lain yang membawa maut.

Berita ini benar-benar membuatkan seluruh keluarga Atirah menjadi sedih. Malah, kesedihan tersebut benar-benar memberi kesan sehinggakan mereka sekeluarga tidak bersemangat untuk membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri.

Kredit: Twitter @atiraww

Berikutan khuatir dengan tahap kesihatan dirinya, Atirah mengambil keputusan untuk menangguh pembelajarannya bagi mengubati penyakit itu.

“Saya putuskan untuk ambil cuti khas. Umi suruh utamakan kesihatan. Redha. Doktor pun cakap benda yang sama. Paper boleh repeat tapi kesihatan lebih penting”.

Pada tanggal 7 Ogos 2017, Atirah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani pembedahan berkenaan. Empat jam selepas menjalani pembedahan, Atirah mula sedarkan diri dan dikunjungi rakan-rakan yang mahu menyatakan sokongan di samping memberi semangat kepadanya.

Ibu bapanya turut menghadiahkan sejambak bunga kepada anak mereka bagi menguatkan semangatnya dalam menghadapi ujian berkenaan.

 

Kredit: Twitter @atiraww

Antara perkara yang paling mengejutkan Atirah adalah apabila mendapati kesan pembedahan pada perutnya ditampal dengan menggunakan ‘stapler’ dan bukannya dijahit.

Menurut doktor, faktor umur yang masih muda menyebabkan luka pembedahan tidak boleh dijahit bagi memudahkan sel-sel untuk bercantum semula.

“Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar. Doktor cakap ovari sebelah kiri kena buang sebab ketumbuhan membesar dari situ”.

Kredit: Twitter @atiraww

Setelah sebulan menjalani pengalaman pembedahan yang mengerikan, Atirah dikejutkan lagi dengan berita mengenai keputusan diagnostik yang menyatakan bahawa dia sebenarnya telah menghidap Kanser Ovari Dysgerminoma Tahap 3.

Pada masa yang sama, ibu Atirah turut berkongsi pengalamannya yang pernah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak dua kali dan ianya amat menyakitkan!

“Kesan ubat kimo membuatkan aku sentiasa muntah. Pernah sekali hampir 17 kali muntah dalam sehari. Satu badan lemah, menggigil. Rasa tidak mahu ke hospital lagi”.

Selain itu, rawatan kimoterapi turut mendatangkan kesan sampingan lain. Atirah bukan sahaja kehilangan berat badan tetapi wajahnya juga semakin cengkung selain mengalami keguguran rambut, kening dan bulu mata.

Keadaan ini membuatkannya menjadi murung dan mula menjauhkan diri daripada orang lain.

 

Kredit: Twitter @atiraww

“Kadang sebak juga seorang diri tengok kawan seronok belajar, melepak dan mengambil swafoto”.

Tidak lama kemudian selepas tamat menjalani rawatan kimoterapi, keputusan hospital keluar dan menyatakan bahawa Atirah telah berjaya menghalang kanser tersebut daripada terus membesar! Walau bagaimanapun, Atirah menyedari dirinya masih lagi belum sembuh sepenuhnya.

Rawatan kimoterapi tersebut bertujuan untuk mencegah serangan kanser tetapi bagi menjamin kesihatan yang berterusan, Atirah berjanji akan lebih peka dalam bab pemakanan untuk kekal sihat.

Pengalaman perit yang dilaluinya ini dikongsikan kepada orang ramai dan Atirah sempat berpesan agar sentiasa berhati-hati kerana kanser boleh menyerang tanpa mengira faktor umur mahupun genetik.

“Terutamanya jika anda sejarah keluarga yang pernah menghidap kanser, hati-hati. Elakkan ambil kolagen dan makanan segera. Dari pengalaman saya, saya selalu makan rumpai laut (kolagen), sebab itu benda (kanser) aktif dan membesar dengan cepat”.

Kredit: Twitter @atiraww

Tambah Atirah lagi, semangat dan dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan merupakan penyumbang terbesar untuknya tabah menghadapi dugaan tersebut. Redha dengan ujian yang diberi, Atirah hanya beranggapan sakit yang dilaluinya adalah sebagai penghapus dosa.

Walaupun pernah dilanda dugaan berat, Atirah kini tampil sebagai seorang individu baharu yang lebih kuat dan yakin diri serta positif.

Sumber: Twitter @atiraww

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular

Ad will display in 09 seconds