Setiap tahun, beribu-ribu kanak-kanak dilaporkan hilang di seluruh dunia. Penculik sememangnya adalah mereka yang ‘pakar’ dalam psikologi kanak-kanak sehingga mereka dengan mudahnya dapat mempengaruhi kanak-kanak.

Mereka begitu senang membina hubungan dengan kanak-kanak yang kemudiannya digunakan untuk memanipulasi mereka.

Berikut adalah 12 tanda amaran yang dapat membantu anda dalam mengesan penculik kanak-kanak!

Ia juga merupakan helah yang biasa digunakan oleh penculik ketika berinteraksi dengan kanak-kanak sebelum mereka diculik.

Adalah penting untuk kita memerhatikan tanda-tanda ini supaya kejadian culik dapat dielakkan.

1. Minta bantuan kanak-kanak

Salah satu helah paling biasa yang digunakan penculik adalah mereka akan meminta bantuan kanak-kanak dengan mengatakan mereka memerlukan bantuan untuk mencari anjing atau kucing mereka yang hilang.

Mereka juga berlakon seolah-olah mereka tidak boleh membuka pintu kereta kerana tangan mereka penuh dengan barang.

2. Kanak-kanak seperti mahu membebaskan diri

Kebiasaanya jika melihat kanak-kanak menangis dan cuba untuk melepaskan tangan mereka, anda akan berfikir bahawa kanak-kanak itu adalah seorang yang nakal dan tidak menurut kata.

Tetapi jika kanak-kanak itu menjerit kuat seperti histeria, anda perlu datang kepadanya dan bertanya adakah semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.

3. Sering memerhatikan kanak-kanak di taman permainan

Melihat seseorang yang sering duduk di taman permainan dan memerhatikan kanak-kanak adalah sesuatu yang mencurigakan.

Ambil gambar mereka dan pastikan mereka sedar anda telah sedar akan kehadiran mereka. Ini bertujuan supaya dapat menakutkan mereka jika mereka mempunyai niat yang tidak baik.

4. Memberi gula-gula atau mainan kepada kanak-kanak

Kanak-kanak sangat mudah terpengaruh dan mempercayai seseorang. Mereka tidak akan ragu-ragu untuk mengikut seseorang yang menawarkan gula-gula atau mainan kepada mereka.

Orang dewasa biasanya tidak memberikan hadiah kepada kanak-kanak yang mereka tidak kenali atau mengajak mereka ke kereta.

5. Berlakon menjadi kawan kepada ibu bapa

Melalui media sosial, penjenayah dapat mengetahui butir-butir peribadi seseorang seperti nama saudara-saudara atau rakan kerja ibu bapa, mainan yang mereka peroleh ketika ulang tahun mereka dan sebagainya.

Dengan menggunakan semua maklumat ini, mereka dapat menipu kanak-kanak dengan berlakon sebagai kawan atau rakan sekerja ibu bapa.

Mereka boleh mengatakan bahawa ibunya sedang berada di hospital dan mereka perlu melawatnya sekarang.

6. Menggunakan kanak-kanak lain

Kadang-kadang penculik menggunakan kanak-kanak lain sebagai umpan dan menghantar mereka untuk mengenali sasaran mereka.

Kanak-kanak biasanya diberitahu bahawa penculik biasanya seorang lelaki yang garang atau berwajah bengis, berkaca mata hitam dan berjanggut. Namun begitu, hakikatnya lebih daripada itu kerana penculik juga boleh ‘muncul’ dalam rupa seorang wanita yang cantik atau kanak-kanak yang kelihatan polos.

7. Mengajak kanak-kanak menaiki kereta mereka atau minta tolong untuk menunjukkan jalan

Jika anda melihat kereta dipandu perlahan di sepanjang jalan dan berhenti di sebelah kanak-kanak, anda harus tahu bahawa ini adalah tanda amaran.

Jika pemandu meminta kanak-kanak untuk menunjukkan jalan dan mengajak mereka masuk ke dalam kereta, kemungkinan besar itu adalah penculik.

Seorang pemandu biasanya akan meminta bantuan orang dewasa untuk menunjukkan jalan atau dengan menggunakan GPS.

8. Mengajak kanak-kanak menaiki motosikal bersama mereka

Terdapat kes di mana kanak-kanak diculik selepas mereka ditawarkan untuk menaiki motosikal kerana mereka  pasti teruja dengan tawaran tersebut.

Sekiranya anda melihat situasi sedemikian, gunakan akal fikiran anda: mengapa penunggang motosikal mengajak kanak-kanak yang tidak dikenalinya menaiki motosikal dengan mereka?

9. Berpura-pura menjadi pengeluar filem atau jurugambar

Ada penculik yang berlakon dengan memberitahu kanak-kanak bahawa mereka adalah pengeluar filem atau jurugambar.

Melalui karier tersebut mereka boleh meyakinkan kanak-kanak dengan janji yang mereka taburkan seperti menjadikan kanak-kanak terkenal dan berjaya.

Logiknya pengeluar filem atau jurugambar yang profesional tidak akan mencari bakat baharu di jalanan atau di taman-taman permainan.

10. Berpakaian seragam pihak berkuasa

Orang yang berpakaian seragam lebih mudah untuk menipu mangsa, jangan kata kanak-kanak, orang dewasa juga boleh tertipu dengan muslihat mereka.

Jika anda curiga dengan mereka yang berpakaian seragam, anda boleh memimta pengenalan diri mereka untuk membuktikan mereka benar-benar pihak berkuasa. Jika mereka gugup atau kelihatan takut, kemungkinan besar mereka adalah penipu.

11. Kanak-kanak memanggil mereka dengan panggilan formal

Jika anda melihat kanak-kanak memanggil orang dewasa yang ada bersama dengan mereka panggilan “encik” atau “cik”, berkemungkinan besar kanak-kanak itu tidak mengenali orang tersebut.

12. Perbezaan penampilan yang ketara antara kanak-kanak dengan orang dewasa yang bersama mereka

Perhatikan jika ada perbezaan yang sangat ketara dalam penampilan seorang kanak-kanak dengan orang dewasa yang ada bersama mereka. Amaran ini mungkin tidak terlalu jelas tetapi jika diteliti betul-betul mungkin orang dewasa tersebut adalah seorang penculik.

Oleh itu, diharapkan semua orang mengambil perhatian mengenai helah-helah penculik ini.

Pengambilan langkah pencegahan mampu mengelakkan anda daripada terlibat dengan penculikan yang tidak diingini.

Sumber: Bright Side

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular

Ad will display in 09 seconds