Bagaimana perasaan anda apabila berada di tempat monyet ini? Ia menunggu di dalam lubang kecil yang gelap, bersendirian dan hampir dilupakan selama 25 tahun.

Sehinggalah pengasas Yayasan Teman Hidupan Liar Thailand (WFFT) bernama Edwin Wiek telah menerima e-mel daripada seorang warga Bangkok yang berasa bimbang dengan nasib monyet ini yang telah dilihatnya tinggal dan dikurung di dalam lubang yang sangat kecil dan kotor di satu kawasan setinggan. Dengan sedikit maklumat, satu pasukan WFFT telah pergi ke tempat itu untuk melihat sendiri apa yang telah berlaku.

Edwin berkata, “Saya pernah melihat haiwan yang menderita dikurung selama 17 tahun, tetapi kini saya boleh mengatakan keadaan monyet ini mungkin berada dalam senarai 10 teratas dalam kes terburuk.”

Edwin menambah, “Kami menemui keadaan Joe yang jauh lebih buruk dari dalam gambar asal yang telah dilihat sebelum itu.”

Edwin menerangkan tempat tinggal yang dipanggil sebagai rumah Joe itu lebih layak dipanggil lubang neraka. Tempat itu merupakan satu kandang kecil dan sempit yang terletak di antara dua bangunan, yang berukuran kurang dari 3 kaki panjang. Joe tidak diberi air, dan tempat itu hampir gelap secara keseluruhannya dengan sedikit cahaya yang keluar dari tingkap diperbuat daripada wayar besi. Joe hidup di situ dengan dipenuhi kekotoran dan najis. Dari foto itu juga menunjukkan monyet ini duduk di atas lantai yang penuh dengan sampah dan sisa pepejal yang amat kotor.

Apabila pasukan penyelamat haiwan ini memulakan kerja membuka kurungan itu, mereka telah mendapati tempat itu dipenuhi dengan tikus.

Lebih buruk lagi, pemilik Joe telah memberitahu WFFT yang monyet ini telah hidup di situ sejak dari tahun 1991, satu tempoh masa yang amat lama menghadapi penderitaan yang hampir dilupakan. Edwin berkata, “Apabila saya bertanya kepadanya, sudah berapa lama ia berada di situ, saya betul-betul menjadi sangat terkejut.”

Pasukan penyelamat haiwan ini telah terus memulakan kerja menyelamat serta merta dengan membuka dinding lusuh yang menutupi kandang Joe. Apabila pasukan ini mahu menarik Joe keluar, tempat tinggal selama 25 tahun ini amat sempit dan mereka terpaksa merangkak untuk masuk ke dalam dan mengambil Joe.

Edwin Wiek berkata, “Keadaan Joe amat kotor dan lemah, oleh kerana kandangnya sangat kecil hingga ia tidak boleh berjalan atau memanjat langsung dan tisu ototnya sudah hampir tiada. Keadaan giginya amat teruk dan ia mengalami masalah kekurangan air.”

Mujur, pasukan ini telah dapat menjejaki pemilik Joe dan meminta keizinannya untuk membawa Joe ke pusat perlindungan. Pemilik ini berasa gembira melihat Joe telah diselamatkan. Dia memberitahu WFFT bahawa Zoo Bangkok pernah menawar untuk mengambil dan memelihara spesies beruk ini beberapa tahun yang lalu tetapi dengan syarat dia perlu membayar 100 dolar (RM390) sebulan sebagai wang jagaan, yang tidak mampu dibayar olehnya.

Sementara nasib malang Joe mungkin lebih dahsyat dari kes yang lain, kisah bagaimana ia terkurung mungkin sesuatu yang unik. Pemerdagangan hidupan liar amat berleluasa di Thailand dan di negara Asia yang lain. Spesies monyet dan hidupan liar yang lain sering dibunuh untuk mendapatkan daging, bulu dan dijadikan bahan untuk perubatan tradisional. Ibu haiwan liar sering dibunuh dengan anak kecil mereka diambil untuk dijual di pasaran gelap seperti yang terjadi kepada Joe.

WFFT menjadi pertubuhan yang aktif dalam menyelamatkan hidupan liar serta spesies terancam dari penderaan dan  penganiayaan manusia.

Dengan pelbagai pengalaman melihat penderitaan hidupan liar lain yang pernah diselamatkan, Edwin melihat renungan sayu Joe dari lubang kecil di tepi dinding kandangnya itu sebagai yang paling diingatinya.

Edwin menulis, “Saya menyedari selama bekerja dan tinggal di Thailand, monyet malang ini sedang menunggu di dalam kandang itu, untuk diselamatkan oleh seseorang. Sepatutnya saya mengetahui mengenai kewujudannya lebih awal.” Edwin berasa dirinya mempunyai perasaan yang bercampur baur semasa menyelamatkan monyet ini.

Tambah Edwin, “Saya berasa malu menjadi manusia, apabila melihat manusia tidak pernah serik memperlakukan haiwan dengan perangai buruk mereka, tetapi pada masa yang sama saya juga berbangga menjadi manusia yang boleh melakukan perubahan positif menangani kes penderaan haiwan yang amat dahsyat seperti ini.

Tetapi apa yang paling penting bagi Joe ialah kebebasan yang sudah lama tidak dikecapinya. Joe perlu mengambil masa untuk pulih sepenuhnya. Ia mula dilihat menjadi lebih gembira dan menyesuaikan diri dengan kandang barunya, sambil dapat bergerak bebas buat pertama kali selepas berada di dalam tempat yang sempit selama berdekad lamanya.

Menurut Edwin, “Joe sudah boleh berjalan tetapi masih tidak boleh memanjat dan bergerak cergas, ia terlalu lemah dan tiada pengalaman untuk melakukan perkara demikian. Joe dilihat telah mandi dan membersihkan dirinya buat pertama kali dengan air yang bersih serta berkomunikasi dengan jiran-jiran monyetnya yang lain, yang tidak pernah dilihatnya buat sekian lama.”

Sementara Joe telah menghabiskan hampir keseluruhan hidupnya di dalam kurungan kandang yang kotor, WFFT melaporkan yang spesies beruk ini boleh hidup sehingga 35 tahun, dan mereka berharap Joe boleh hidup selama itu untuk mengakhiri hidupnya dengan gembira dan aman.

Kredit imej : Wildlife Friends Foundation Thailand

Sumber : thedodo.com

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds