Dahulu, kita sering dibayangi dengan gambaran bahawa individu yang berjaya dan kaya mempunyai kehidupan yang lebih menyenangkan. Buktinya, mereka seringkali dilihat menghabiskan masa dengan bercuti ke serata dunia, menikmati hidangan di hotel mewah dan mempunyai hobi yang hanya ‘orang-orang kaya’ mampu lakukan.

Berbeza sungguh kehidupan mereka dengan pekerja-pekerja bawahan yang harus bekerja lebih masa dan berhadapan dengan pelbagai situasi yang memberi tekanan.

Walau bagaimanapun, tanggapan berkenaan seolah-olah telah berubah pada masa kini. Hari ini, kita melihat individu yang melalui kehidupan yang sangat sibuk sehingga terpaksa bekerja lebih masa adalah individu yang lebih berjaya manakala individu yang mempunyai banyak masa terluang pula dilihat sebagai pemalas!

Dalam erti kata lain, semakin sibuk kehidupan seseorang, semakin tinggi ‘status’ dan pandangan orang lain terhadapnya.

Kredit foto: 1design Shop

Pada zaman serba moden ini, masyarakat lebih cenderung untuk bekerja lebih masa dan mengorbankan perkara lain seperti meluangkan masa bersama keluarga mahupun berehat dengan harapan dapat meraih pendapatan yang lebih lumayan.

Namun sebenarnya, bekerja dengan terlalu keras tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan kejayaan sebaliknya, ia boleh memberikan tekanan dan akan mengurangkan tahap IQ anda serta mendorong kepada pengurangan kualiti kerja.

Melakukan banyak pekerjaan dalam satu masa seringkali dipercayai mampu membuatkan anda lebih cekap dan produktif. Hakikatnya, tidak sama sekali. Melakukan banyak tugasan pada satu masa bukan sahaja menyebabkan hasil pekerjaan tidak berkualiti tetapi turut menyedut tenaga dan minda anda untuk terus berfungsi dengan baik.

Kredit foto: Virgin Pure

Menurut Toodia.my, secara puratanya rakyat Malaysia bekerja 15 jam lebih daripada waktu bekerja seminggu dan statistik ini dikatakan melepasi negara lain seperti Singapura, Hong Kong dan juga Australia. Walaupun bekerja lebih masa, Malaysia turut mencatatkan peratusan tertinggi dalam kerugian produktiviti.

Di samping itu, apabila anda terlalu sibuk dengan lambakan urusan pekerjaan, otak anda akan dipenuhi dengan pelbagai maklumat yang tidak mampu diproses dengan mudah. Sebab itu kadangkala anda akan menjadi ‘blank’.

Tinjauan yang dijalankan oleh AIA Vitality menunjukkan majoriti pekerja di Malaysia yang kuat bekerja akan mengalami tekanan dan cenderung untuk menjalani kehidupan yang tidak sihat.

Kredit foto: Big Think

Antara hasil tinjauan lain daripada kajian ini adalah:

  • 56% pekerja tidak mempunyai waktu tidur yang mencukupi iaitu kurang daripada tujuh jam.
  • 64% pekerja Malaysia kurang aktif dan hanya menghabiskan kurang daripada 150 minit untuk melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam.
  • 84% pekerja dilaporkan menghidap penyakit sistem rangka otot yang berpunca daripada tekanan tinggi dan pengalaman gaya hidup tidak sihat.
  • 53% pekerja mempunyai risiko menghidap masalah kesihatan mental.

Kredit foto: Nourish 2 Nurture

Justeru, untuk menemui kebahagiaan dalam melakukan pekerjaan sekali gus meningkatkan prestasi serta kualiti kerja, ikuti tiga langkah mudah di bawah sebagai panduan untuk anda berikan yang terbaik kepada organisasi sekali gus mengelakkan anda daripada menjadi pekerja yang tidak berkualiti.

#1 Fokus kepada tugasan mengikut keutamaan.

Kerja tidak akan pernah selesai tanpa perancangan yang rapi. Bahagikan tugas dan susun mengikut tarikh untuk dihantar.

Bukankah lebih baik jika anda dapat selesaikan tugasan yang perlu dihantar segera supaya hasilnya menjadi sempurna dan membolehkan anda mempunyai masa untuk membetulkan segala kesilapan.

#2 Minimakan tugasan.

Dalam melakukan penjadualan tugas, anda akan dapati banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Untuk mendapatkan hasil tugas yang berkualiti sekali gus mengekalkan motivasi anda dalam pekerjaan, lakukan tugasan yang anda mahiri terlebih dahulu.

Bagi tugasan yang sedikit sukar, hadkan masa yang lebih panjang untuk menyiapkannya. Dengan kaedah ini, anda tidak akan membazirkan masa melakukan kerja yang tidak bermanfaat.

Kredit foto: Top Rank Blog

#3 Singkirkan tugasan yang tidak penting.

Langkah ketiga merupakan langkah yang paling penting. Ajukan soalan ini kepada diri anda:

“Adakah tugasan ini begitu penting?” dan “Apa akan berlaku jika saya tidak melakukan tugas ini?”

Jika ianya tidak mempunyai keutamaan, ketepikan dahulu tugasan berkenaan. Sebaliknya, fokus pada tugasan lain yang lebih penting. Setelah siap, anda pasti akan mendapatkan semula masa untuk menyiapkan tugasan yang kurang penting itu.

Kredit foto: Design Taxi

Jika anda ikuti langkah-langkah di atas, anda pasti akan berasa lebih berpuas hati bukan sahaja dengan pekerjaan tetapi seluruh kehidupan anda. Dengan kaedah ini, anda boleh meningkatkan peluang untuk meraih kejayaan kerana masa yang terluang tidak dihabiskan pada pekerjaan yang tidak penting dan memakan masa lama.

Sumber: LifeHackToodia.my

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds