INDIA – Seorang lelaki terlibat dalam kemalangan nyawa yang mengerikan apabila dia ‘disedut masuk’ ke dalam mesin MRI di sebuah hospital di Mumbai.

Rajesh Maru, 32 tahun dikatakan telah ‘ditarik masuk’ ke dalam mesin berkenaan akibat daya magnetik setelah dia memasuki bilik tersebut dengan membawa tangki oksigen.

Telegraph

Insiden ini dilaporkan berlaku pada 27 Januari lalu di Hospital Mumbai Nair semasa mendiang sedang melawat saudara di hospital tersebut.

Berdasarkan kepada siasatan awal, pihak polis mendapati Rajesh meninggal dunia setelah menyedut cecair oksigen yang bocor daripada tangki oksigen. Kebocoran ini berlaku akibat pelanggaran dengan mesin tersebut.

“Kami sudah menahan seorang doktor dan seorang pekerja baru di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan India kerana mengakibatkan kematian yang berpunca dari kecuaian,” kata wakil jurucakap polis Mumbai, Deepak Deoraj.

Magnetic resonance imaging (MRI) adalah mesin pengimbas imej magnetik yang menggunakan kuasa magnet tinggi bagi menghasilkan imej organ manusia. Oleh demikian, sebarang objek logam seperti barang kemas, pakaian berbutang dan sebagainya adalah dilarang untuk dibawa masuk kerana ia akan tertarik pada daya magnet yang kuat itu.

Hindustan Times

Bapa saudara mendiang mendakwa bahawa Rajesh sudah meminta kebenaran untuk membawa tangki oksigen berkenaan kepada salah seorang pekerja baru di hospital. Pekerja tersebut memberi kebenaran dan meyakinkan Rajesh bahawa mesin berkenaan telah ditutup.

Menurut laporan daripada Times of India, seluruh ahli keluarga teragak-agak dengan situasi berkenaan pada awalnya namun pekerja tersebut tetap meyakinkan mereka bahawa mesin sudah ditutup.

“Pekerja wad yang seharusnya menghalang insiden ini daripada berlaku telah meminta ahli keluarga masuk ke dalam bilik semasa mesin berkenaan sedang terpasang (berfungsi). Kami sangat terkejut dan kecewa,” kata Jitendra kepada AFP.

News Nation

Sebaik sahaja mendiang melangkah masuk ke dalam bilik berkenaan, kuasa magnet yang kuat telah menarik tangki berkenaan sekali gus mengheret Rajesh bersama. Tangan mendiang tersekat di dalam mesin bersama-sama tangki oksigen yang bocor.

Akibat kemalangan ini, seluruh badannya membengkak dan Rajesh turut mengalami pendarahan teruk ketika dia cuba diselamatkan oleh ahli keluarga dan pekerja wad berkenaan.

NDTV

Rajesh segera dikejarkan ke bilik rawatan kecemasan namun 10 minit kemudian, dia disahkan telah meninggal dunia.

Berikutan insiden itu, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi pampasan wang tunai kepada keluarga mangsa sebanyak RM30,670.

Kemalangan ini telah difailkan dan polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap tiga individu iaitu Dr Siddhant Shah, Vitthal Chavan (pekerja wad) dan Sunita Surve (pembantu wad). Buat masa ini, doktor dan pekerja wad berkenaan telah ditahan dan pihak hospital turut memaklumkan akan memberikan kerjasama dengan menyerahkan rakaman CCTV bagi menentukan punca sebenar kematian ini.

New Indian Express

Kemalangan melibatkan mesin MRI ini juga pernah berlaku sebelum ini. Sekitar tahun 2001, seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang sedang menjalani imbasan MRI di New York telah terbunuh apabila sebuah tangki oksigen melayang ke arah mesin berkenaan sekali gus memecahkan tengkoraknya.

Pada tahun 2014 di hospital New Delhi pula, dua pekerja hospital mengalami kecederaan setelah terhimpit selama empat jam di antara mesin MRI dengan tangki oksigen.

Sumber: NDTVCBS News

Era Baru

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds