Sejak berusia satu tahun lagi, Nursamawati Mahmud telah mengalami kecacatan fizikal yang menjadikannya tidak sempurna seperti wanita lain. Namun, walaupun dilahirkan dalam keadaan sebegitu, beliau tidak sesekali menjadikannya sebagai alasan untuk tidak membantu kedua-dua ibu bapanya.

Wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berusia 33 tahun ini banyak menghabiskan masa di rumah dalam melayari internet dan media sosial dengan harapan dapat membantu menambah pendapatan keluarganya.

Kredit: Astro Awani

Tiada siapa menyangka wanita yang lebih mesra dengan panggilan Kak Long ini memiliki kemahiran hebat dalam menggunakan lidahnya untuk mengendalikan telefon pintar dan juga komputer riba.

Ketiadaan fungsi tangan dan kaki jelas tidak mampu menghalangnya untuk membantu keluarga dalam mengembangkan perniagaan mereka.

“Saya bukan sahaja melayari Facebook, Instagram dan WeChat untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan, namun kelebihan dimiliki saya gunakan untuk memperkenalkan produk sos dan kicap jenama Mahmudah keluaran keluarga kami bagi menambah pendapatan keluarga.”

Menurut Kak Long lagi, sejak mempromosikan perniagaan berkenaan secara meluas menerusi media sosial, jualan produk jenama keluaran keluarganya itu berjaya ditingkatkan kepada 4,000 botol sebulan semenjak tahun 2015. Malah, semakin lama permintaan pelanggan terhadap produk ini semakin menggalakkan.

Kredit: Kosmo

Anak sulung daripada lima beradik ini telah disahkan mengalami kecacatan fizikal sejak bayi sehingga mengakibatkan tangan dan kakinya mengerekot serta tidak mampu bergerak dengan sempurna.

Oleh demikian, Kak Long terpaksa bergantung sepenuh masa kepada ibu bapanya, Saudah Shaari, 55 tahun dan Mahmud Hussin, 60 tahun.

Kredit: The Star

Tambah Kak Long lagi, “Saya wujudkan akaun dengan nama Kak Long Nursamawati untuk mengakses laman sosial. Pada mulanya rasa sakit lidah tapi lama-kelamaan dah biasa dan semakin cepat saya menaip di papan kekunci dan memuat naik gambar sos dan kicap serta menerima tempahan.”

Di Facebook sahaja, Kak Long mempunyai lebih daripada 1,000 kenalan dan pelanggan yang sentiasa tidak lupa untuk memberikan semangat dan dorongan kepadanya.

Sementara itu, ibunya menyifatkan anaknya sebagai seorang yang cekal dan tabah walaupun menyedari akan kekurangan pada dirinya.

Menurut Saudah, “Kak Long sentiasa mahu melihat perniagaan saya berjaya. Walaupun jualan kami sedikit terjejas tahun ini akibat persaingan, dia tidak berputus asa dan sentiasa dengan telefon pintar untuk mempromosikannya”.

Tambah Saudah lagi, Kak Long juga sentiasa menjadi tempat rujukan oleh adik-adiknya berkenaan soal pembelajaran walaupun Kak Long tidak pernah bersekolah.

Kredit: The Star

“Kak Long seorang yang rajin membaca buku adik-adiknya sehingga dia pandai. Itu kelebihan dia yang orang lain tak ada. Kami bersyukur dikurniakan anak seperti Kak Long yang sentiasa menunjukkan sikap bertanggungjawab kepada keluarga”.

Sesungguhnya wanita bernama Nursamawati Mahmud ini adalah wanita inspirasi kita semua. Ayuh kita doakan agar keluarga Kak Long memperoleh keberkatan dan semoga perniagaan mereka akan terus berkembang maju!

Sumber: BH Online dan Utusan Online

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular

Ad will display in 09 seconds