Berita Harian hari ini melaporkan, pengarah dan pelakon yang terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Beliau akan didakwa atas empat tuduhan iaitu mengambil dadah, menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Kota Damansara, Khamis minggu lalu.

Ketika beliau dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, isteri beliau, Datin Diana Danielle turut hadir sebagai tanda sokongan moral.

Memetik laporan Berita Harian, pelakon yang membintangi pelbagai filem ini sempat mengucapkan, “Saya sayang awak, Diana” kepada isterinya.

Sebelum dibawa masuk ke dalam bilik reman, beliau sempat memberitahu media,  “Saya sayang keluarga saya, dan rindukan anak-anak saya.”

Selepas pertuduhan dibacakan, beliau mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Fazeedah Faiz, pegawai pendakwa, mencadangkan Farid dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM 5,000 bagi setiap pertuduhan namun peguamnya, Athari Bahardin, mencadangkan kadar itu diturunkan kepada RM 3,000 bagi setiap dakwaan.

Majistret kemudian membenarkan Farid Kamil diikat jamin dengan RM 3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau kelihatan tenang apabila pegawai pendakwa membacakan satu demi satu tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan mendatangkan kecederaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 (menampar anggota polis), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (mengambil dadah) dan 353 Kanun Keseksaan (tugas penjawat awam).

Sumber: Berita Harian, MalaysiaKini
Era Baru

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds