Beberapa hari lalu, seorang netizen telah kongsikan mengenai satu kisah yang sedih melibatkan anaknya. Menurut lelaki ini yang dikenali sebagai Hazrezal Ahmad, anak perempuannya telah diejek oleh rakan sebaya yang mengatakan dia seorang miskin kerana tidak memiliki alat tulis dari jenama terkenal Australia, Smiggle.

Dalam perkongsian di Facebook pada 10 Januari lalu, Hazrezal menceritakan bagaimana anaknya pulang dari sekolah dengan wajah yang sedih dan mengadu, “Babah, kawan-kawan saya cakap saya orang miskin”.

Apabila ditanya secara lanjut tentang mengapa rakan-rakan di sekolah menggelar sebegitu, anaknya menjawab:

“Kawan-kawan dalam kelas ramai yang ada barang Smiggle. Apabila mereka lihat saya tiada barang Smiggle, mereka kata saya orang miskin”.

Smiggle merupakan satu jenama yang telah ditubuhkan pada tahun 2003 di Melbourne dan mula meraih populariti beberapa tahun kebelakangan. Malah, Smiggle juga mempunyai lebih daripada 320 premis di beberapa negara termasuk Malaysia.

Jenama terkenal ini turut dijadikan sebagai barangan kegemaran khususnya bagi kanak-kanak perempuan kerana ia menampilkan produk dengan warna yang ceria. Antara produk keluaran Smiggle adalah alat tulis dan juga beg sekolah.

Namun, Smiggle bukanlah satu jenama barangan yang murah.

Smiggle/Facebook

Selepas mendengar luahan hati anaknya itu, Hazrezal ternyata sedih dengan perlakuan dan mentaliti kanak-kanak sebaya anaknya.

“Saya bukan sedih kerana dihina miskin, tetapi sedih apabila kanak-kanak sekolah pun mempunyai sikap menilai kawan-kawan hanya dengan melihat barang apa yang kawannya miliki”.

Tambah Hazrezal lagi. ibu bapa mempunyai hak untuk membelikan apa jua barangan yang dimahukan oleh anak-anak namun mereka harus memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak supaya tidak mempunyai pemikiran yang tidak betul.

“Anak-anak yang mengata kawan mereka miskin kerana tiada Smiggle, sebenarnya ibu bapa merekalah yang miskin. Mereka ini jenis miskin minda,” tambah Hazrezal lagi.

Inside Retail

Baginya, punca kepada kelakuan anak-anak seperti ini adalah disebabkan oleh sikap ibu bapa itu sendiri.

“Apabila masuk ke kedai, terkejut tengok harga mahal. Selepas itu beritahu anak tak perlu beli kerana mahal, orang kaya sahaja yang boleh beli barang macam ini. Selepas beberapa waktu, ibu bapa tetap membelikan. Anak yang melalui proses tadi secara tidak langsung akan faham bahawa hanya orang kaya sahaja boleh beli. Jadi, apabila mereka melihat kawan tiada Smiggle, mereka sangka kawan mereka miskin”.

Jelasnya, perkara ini adalah salah kerana ia boleh mempengaruhi anak-anak dalam membuat keputusan dan penilaian yang salah apabila dewasa kelak.

Mid Valley

Perkongsian tersebut mendapat lebih daripada 7,400 ‘like’ dengan 3,229 kali perkongsian. Malah, netizen turut berkongsi pandangan mereka terhadap perkongsian Hazrezal menerusi komen-komen yang positif dan juga negatif.

“Jangan ajar anak kita untuk menghakimi orang lain, ajar mereka bagaimana untuk lebih menghargai dan menyayangi orang lain. Saya tidak pernah mendengar Smiggle. Saya hanya tahu SuperSave dan DIY”.

Terdapat juga segelintir pengguna Facebook yang mengkritik tindakan Hazrezal yang meletakkan ‘kesalahan’ pada ibu bapa lain. Sebaliknya, Hazrezal patut menggunakan situasi berkenaan sebagai peluang untuk mendidik anaknya sendiri tentang kebenaran dan bagaimana untuk menghadapi realiti kehidupan.

“Awak sebagai bapa patut didik anak awak dan beritahu bahawa kawan-kawannya tidak berniat untuk melukakan hatinya. Jadilah orang dewasa yang bertanggungjawab. Bukan kutuk balik ibu bapa yang belikan Smiggle sebagai mereka yang berfikiran cetek. Anda sama sahaja seperti mereka”.

Berikan pandangan anda pula mengenai isu ini di ruangan komen di bawah.

Sumber: SAYS

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Share
Kategori: Pendidikan

Video Popular

Ad will display in 09 seconds