Alam perkahwinan menuntut pasangan yang telah berjanji untuk hidup bersama berusaha dengan gigih untuk mengekalkan perhubungan dan komitmen dalam jangka waktu yang lama dan sebaiknya hingga kekal ke akhir hayat.

Namun ada pasangan yang tidak dapat mengekalkan perhubungan berumahtangga dan kemudiannya mengambil keputusan melafaz dan memfailkan perceraian. Selalunya atas sebab perbezaan yang sudah tidak dapat dielakkan, perhubungan dengan orang lain, mahupun sudah tiada lagi rasa cinta dan kasih sayang.

Bagi pasangan ini, sebab yang diberikan untuk mereka memfailkan perceraian adalah sangat unik dan amat berbeza sama sekali. Sebuah mahkamah di Arab Saudi telah meluluskan perceraian yang dipohon oleh seorang wanita atas alasan pengabaian suami yang bukan ke atas dirinya tetapi ke atas ibu dan ahli keluarganya.

Kes wanita ini telah menjadi perhatian ramai kerana ia telah menjadi satu duluan keputusan kes terbaru bagi wanita mendapatkan perceraian dengan alasan selain daripada alasan biasa yang diberikan.

Menurut sumber Saudi Gazzette, pasangan suami isteri ini sebenarnya tidak mempunyai masalah dalam perhubungan perkahwinan mereka. Akan tetapi, apa yang merunsingkan dan mengganggu fikiran wanita yang meminta perceraian daripada suaminya ini ialah cara lelaki ini melayan ibu dan ahli keluarganya.

Wanita ini telah memberitahu mahkamah bahawa suaminya yang berusia 29 tahun, amat mengambil berat akan dirinya. Dirinya dilayan bagai puteri dan dimanjakan dengan segala keperluan dan keinginan kemewahan yang melimpah luah. Suaminya sering membelikannya hadiah yang mahal dan tidak pernah lupa membawanya berjalan mengelilingi dunia.

Akan tetapi, wanita ini tidak menyukai dan berasa amat tidak selesa apabila melihat cara suaminya melayan orang yang sepatutnya menjadi kepentingan paling utama dalam kehidupannya iaitu ibu yang telah melahirkannya ke dunia.

Wanita ini tidak sedikit pun merasa bangga dan megah apabila suaminya telah memilih dirinya lebih dari kebajikan ibu sendiri.

Dalam permohonannya mendapatkan perceraian, wanita ini telah memberitahu mahkamah, “Saya tidak dapat mempercayai seorang lelaki yang boleh membuat isterinya berasa gembira, sementara sentiasa mengabai dan menafikan permintaan kecil ibunya.”

Wanita ini berpendapat seorang lelaki yang tidak boleh menjaga kebajikan dan bertanggungjawab ke atas ibunya sendiri bukan seorang lelaki yang boleh dipercayai.

Wanita ini berkata lagi, “Pada bila-bila masa di masa hadapan, lelaki yang seperti ini boleh sahaja berpaling tadah dan melupakan saya.”

Kredit : pinterest

Menurut laporan, lelaki ini berasa amat terkejut dan telah memberitahu mahkamah bahawa dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan isterinya kembali. Kemudian lelaki ini telah bertanya kepada isterinya, “Bukankah saya telah meninggalkan keluarga saya semata-mata untuk bersama kamu?”

Dan kemudian wanita ini telah menjawab, “Ya, dan atas sebab itu ia menjadi alasan bagi saya mahu mendapatkan perceraian dari kamu!”

Akhirnya mahkamah telah meluluskan perceraian tersebut dan wanita ini telah diarahkan untuk memulangkan mas kahwin dan hantaran perkahwinan mereka kepada lelaki ini.

Apa pendapat anda? Adakah anda bersetuju dengan pendirian wanita ini? Bagaimana jika situasi wanita ini dialami oleh anda sendiri?

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds