Seorang ibu dari Michigan telah memuat naik beberapa gambar tentang kepentingan mendidik anak lelakinya yang berusia enam tahun untuk belajar memasak sambil menjaga kebersihan. Ternyata, ramai yang mengagumi dan memuji sikap ibu berkenaan dalam usaha untuk memupuk disiplin dan mengajar anaknya untuk berdikari. Namun begitu, terdapat juga netizen yang menghentam ibu ini kerana melayan anaknya seperti seorang hamba!

Ibu tunggal bernama Nikkole Paulun yang berasal dari Monroe, Michigan ini gemar untuk berkongsi tips-tips keibubapaan menerusi Facebook.

Pada 7 Oktober 2016, Paulun telah memuatnaik gambar anaknya, Lyle sedang melakukan kerja rumah. Antaranya seperti menyediakan sandwich keju, membasuh pakaian serta membasuh pinggan-mangkuk.

Dalam pos yang menular dan meraih lebih daripada 63,000 kali perkongsian itu, Paulun menjelaskan bahawa dia sedang mendidik anaknya untuk belajar memasak dan membersihkan rumah. Hal ini kerana dia beranggapan tugasan di rumah bukan hanya perlu dilakukan oleh kaum wanita sahaja.

Menurut Paulun, anaknya harus memiliki pendidikan seperti itu bagi menjamin kehidupannya pada masa akan datang kerana apabila dewasa kelak, Lyle perlu tinggal sendiri dan melakukan pekerjaan tersebut tanpa bantuan daripada ibunya.

Malah, Paulun juga berpendapat perkara ini adalah penting supaya apabila anaknya sudah berkeluarga, dia akan mampu melakukan tugasan di rumah secara sama rata dengan isterinya.

Ibu kepada dua orang anak ini juga berharap agar Lyle dapat membesar menjadi seorang lelaki gagah yang mampu menukar tayar, mengerjakan tanah dan pada masa yang sama, melakukan kerja-kerja rumah.

Paulun turut menasihati para ibu bapa dengan menyatakan bahawa, “Lelaki yang percaya bahawa dia tidak perlu untuk memasak atau melakukan kerja rumah merupakan seorang lelaki yang dahulunya tidak pernah mendapat didikan sempurna daripada ibu bapanya”.

“Saya benar-benar mahu memastikan Lyle menjadi seseorang yang berdikari dan tidak dianggap sebagai pemalas,” kata Paulun kepada ABC News.

Paulun turut bercadang untuk mendidik anak perempuannya yang berusia setahun tentang kemahiran-kemahiran berkaitan lelaki seperti menukar tayar dan membajak tanah.

Perkongsian daripada Paulun ini turut mendorong ramai ibu bapa lain untuk mula berkongsi gambar anak-anak mereka yang sedang melakukan kerja rumah.

Jelas seorang netizen:

“Anak lelaki saya berumur setahun lebih dan suka membantu saya membuat kek dan memasak. Kita perlu mengajar mereka sejak kecil atau mereka tidak akan mahu melakukannya sampai bila-bila!!”

Seorang lagi netizen menulis, “Saya 100% setuju dengan apa yang awak katakan! Inilah cara untuk mendidik seorang lelaki yang budiman. Satu hari nanti isterinya pasti akan berterima kasih kepada awak!”

Akan tetapi, terdapat juga ramai netizen yang menentang tindakan Paulun ini.

“Awak tidak boleh jadikan kanak-kanak sebagai hamba atau melakukan kerja rumah yang awak sendiri tidak mahu lakukan. Saya setuju dengan tanggungjawab untuk mendidik mereka tetapi cukup-cukuplah,” tulis seorang wanita.

Paulun membidas kritikan wanita berkenaan dengan menyatakan bahawa Lyle bukanlah hambanya. Kebanyakan kerja rumah dilakukan sendiri dan anaknya hanya membantu sambil mendapat ganjaran atas pertolongannya.

Paulun turut kongsikan gambar Lyle sedang berbaring di atas sofa bagi menunjukkan bahawa anaknya sedang berehat sambil bermain permainan video setelah selesai melakukan kerja rumah.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Pusat Pendidikan Keibubapaan, “Kajian menunjukkan kanak-kanak yang tahu melakukan kerja rumah mempunyai tahap keyakinan diri yang lebih tinggi, lebih bertanggungjawab dan mampu menangani kekecewaan dengan baik sekali gus menyumbang kepada kejayaan di sekolah.”

Dalam erti kata yang lain, sedikit kerja rumah mampu membentuk perkembangan positif pada diri kanak-kanak.

Bagaimana dengan pendapat anda? Adakah kaedah yang diterapkan oleh Paulun ini merupakan kaedah yang baik ataupun tidak?

Sumber: NTD Inspired

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP Keluarga

Video Popular

Ad will display in 09 seconds