Sejak sekian lama, kaum minoriti di China iaitu masyarakat Uyghur menghadapi pelbagai bentuk penindasan dan pengawasan. Kini, kaum ini dikatakan menjadi sasaran bagi penyeludupan organ secara paksaan!

Ketika berucap dalam Parlimen United Kingdom pada 13 Disember yang lalu, presiden Kongres Uyghur Sedunia iaitu Dolkun Isa telah menyatakan kebimbangan mengenai sasaran yang ditetapkan oleh rejim China kepada warga Uyghur berkaitan dengan isu pemerdagangan dan penyeludupan organ.

Menurut presiden kepada pertubuhan antarabangsa khusus untuk kaum Uyghur yang dibuang itu, “Kami sangat terganggu dengan laporan oleh kerajaan China yang sedang mengumpulkan sampel darah daripada penduduk Uyghur di Turkestan Timur”.

Turkestan Timur adalah nama yang digunakan oleh warga Uyghur bagi menyokong penentuan nasib sendiri untuk tanah air mereka yang terletak di Xinjiang, barat laut China.

Pada 13 Disember lalu, Human Rights Watch telah mengeluarkan satu laporan yang mendedahkan kerajaan China di Xinjiang telah mula mengumpul sampel DNA, cap jari, imbasan mata dan sampel darah daripada penduduk tempatan yang berada dalam lingkungan umur 12 tahun hingga 65 tahun. Tujuan pengumpulan sampel ini dikumpul atas alasan untuk kepentingan program kesihatan awam.

“Pada masa yang sama, pengumpulan sampel darah membolehkan kerajaan China memiliki pangkalan data genetik masyarakat Uyghur bagi melakukan pemerhatian, kawalan dan juga penindasan terhadap mereka.”

“Maklumat genetik ini juga memudahkan pengumpulan organ dan membolehkan mereka membuat perbandingan jenis darah dan keserasian mangsa Uyghur yang berpotensi,” jelas Dolkan Isa lagi.

Amaran yang dikeluarkan oleh Isa dilakukan setelah dua bulan jurucakap rejim China iaitu China News Service (CNS) mendedahkan bahawa China Southern Airlines telah membuka satu lorong ekspres pada Mei 2016 untuk mengangkut organ manusia ke dan dari Xinjiang bagi tujuan pembedahan.

Selama ini, masyarakat Uyghur telah lama menanggung penderitaan akibat penindasan oleh China yang bertujuan untuk menghancurkan agama, budaya dan bangsa mereka. Malah, peningkatan aktiviti yang berkaitan dengan penyeludupan organ dan penindasan ini didorong oleh gerakan pemisah Uyghur.

Menurut Wang Zhiyuan pula, jurucakap bagi Pertubuhan Penyiasatan Penganiayaan Falun Gong Sedunia, berita dari Xinjiang tersebut merupakan satu lagi ‘rahsia gelap pemindahan organ yang belum didedahkan’.

Melalui penyiasatan yang dilakukan oleh pertubuhan tersebut, mereka mendapati bahawa golongan banduan adalah sumber utama bagi bank organ negara China. Organ-organ banduan ini akan diambil tanpa kebenaran dan untuk melakukan itu, banduan-banduan ini akan dibunuh!

Selain daripada masyarakat Uyghur, antara pihak yang menjadi mangsa pemindahan organ secara paksa adalah para pengikut Falun Gong (satu disiplin berbentuk kerohanian) dan juga masyarakat Tibet.

Satu laporan siasatan menyeluruh oleh peguam hak asasi manusia, David Matas dan bekas Setiausaha Negara Kanada (Asia-Pasifik), David Kilgour, para banduan yang ditahan di dalam penjara akan menjalani beberapa siri pemeriksaan darah yang bertujuan untuk memastikan keserasian mereka bagi melakukan pemindahan organ.

Industri pemindahan organ di China mula berkembang dengan pesat setelah bekas pemimpin negara iaitu Jiang Zemin melancarkan penganiayaan kepada semua pengamal Falun Gong pada tahun 1999. Berikutan itu, berjuta-juta pengamal telah ditangkap dan dimasukkan ke penjara.

Sementara itu pada Jun 2016, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat sebulat suara meluluskan H.Res.343, satu resolusi yang mengecam tindakan pengambilan organ para pengamal Falun Gong di China.

Lebih mengejutkan lagi, beberapa bulan kebelakangan ini, media telah melaporkan beberapa kes kehilangan warga Uyghur yang hilang tanpa dikesan.

Jelas Isa, “Kes yang terbaru melibatkan seramai 23 pelajar Uyghur yang kembali ke China dari Mesir dan sejak itu, mereka hilang. Kami mempunyai alasan yang kuat untuk mempercayai bahawa kebanyakan mereka yang hilang telah meninggal dunia dalam tahanan China dan organ mereka telah pun dijual”.

Menerusi satu laporan oleh Associated Press bertarikh 17 Disember lalu, sejak sekian lama, Mesir telah menjadi pusat utama bagi masyarakat Uyghur yang ingin mempelajari tentang Islam sebelum negara itu secara tiba-tiba mengusir semua warga Uyghur kembali semula ke China baru-baru ini.

Tambah Associated Press lagi, seorang pemuda dari bandar Korla di Xinjiang telah hilang setelah dibawa oleh pihak berkuasa China pada Februari 2017.

Pemuda ini merupakan penuntut di Universiti Al-Azhar dan telah kembali ke China pada 2016. Seorang guru dan tiga orang pelajar di Kaherah mendakwa bahawa mereka mendengar dari satu sumber di China bahawa pemuda berkenaan mungkin telah meninggal dunia sewaktu menjadi tahanan.

Dalam laporan pada 14 Disember oleh Radio Free Asia (RFA) pula, hampir 10 peratus penduduk di Bullaqsu, Xinjiang ditahan oleh kerajaan China pada tahun ini.

“Sekumpulan manusia telah ditangkap dan dihantar ke pusat tahanan setiap minggu,” tulis seorang bekas penduduk di Bullaqsu kepada RFA.

Sejak awal tahun ini, ribuan manusia telah dikumpulkan oleh pihak berkuasa China dan ditempatkan di satu kem tahanan rahsia yang terletak di Xinjiang. Kesemua mereka ditahan atas tuduhan mempunyai pemikiran ekstrimis atau mengembara ke luar negara.

Kem tahanan tersebut ditubuhkan dengan tujuan untuk menanamkan pemikiran masyarakat Uyghur dengan ‘fahaman Mandarin, perundangan, kesatuan etnik, deradikalisasi dan patriotisme”.

Namun, kebimbangan yang diraih oleh Isa membongkarkan bahawa kem ini mungkin ditubuhkan atas tujuan yang lain.

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds