PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mendedahkan empat produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan juga tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan berkenaan dua produk daripada Progressive Mix Industries yang didapati mengandungi merkuri iaitu Nuriz Shoppe-Uv Pearl Cream dan Nuriz-D’Solve.

Sementara itu, produk Aura Gorgeous Beauty & Healthy juga iaitu Aura Gorgeous Night Cream turut dikesan mengandungi bahan merkuri manakala produk Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd iaitu NV Anti Blemish Toner 1 didapati mengandungi bahan hydroquinone dan tretinoin.

Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin merupakan produk farmaseutikal dan wajib didaftarkan dengan Pihak Bekuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Kedua-dua bahan racun itu yang sering digunakan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, pedih, menggelupas dan hipersensitif”.

Dr. Noor Hisham turut menjelaskan bahawa hydroquinone mampu menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu sekali gus meningkatkan risiko kanser kulit.

Merkuri pula merupakan bahan toksik yang harus dielakkan sama sekali kerana bahan ini boleh menyerap masuk ke dalam sistem badan serta menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

Berikutan pendedahan ini, beliau telah mengeluarkan amaran kepada pihak pengedar dan para penjual agar segera menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik yang mengandungi bahan beracun ini dengan serta-merta!

“Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984”.

Tambah beliau lagi, mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan berkenaan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, hukuman bagi syarikat yang melakukan kesalahan adalah denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan yang seterusnya.

Orang ramai dinasihati untuk berhenti menggunakan keempat-empat produk kosmetik yang disenaraikan serta segera mendapatkan nasihat daripada pakar jika mengalami sebarang ketidakselesaan.

Untuk sebarang pertanyaan berhubung produk kosmetik, anda boleh emel kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di alamat [email protected]  atau hubungi terus di talian 03-7883 5400.

Anda juga boleh melayari laman sesawang http://npra.moh.gov.my/ untuk menyemak status notifikasi sebarang produk kosmetik.

Sumber: BH Online dan NST

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds