Aneh, INSPIRASI

Berjaya peroleh ijazah seawal usia 13 tahun, gadis pintar ini melalui kehidupan yang penuh penderitaan

Berjaya peroleh ijazah seawal usia 13 tahun, gadis pintar ini melalui kehidupan yang penuh penderitaan

“Saya tidak mahu menjadi seorang genius lagi di dunia ini. Daripada mengejar penghormatan dan menjadi kebanggaan semua orang, saya memilih untuk meluangkan masa bersama orang yang saya cintai.”

Itulah ayat yang keluar daripada mulut Promethea, seorang gadis yang memiliki kepintaran luar biasa.

Sejak kecil lagi, Promethea dikatakan mempunyai tahap IQ yang sangat tinggi dan mencapai nilai 173 melampaui 99.9% tahap IQ normal.

Ketika berusia lima tahun, Promethea mula menunjukkan minat kepada pusat pengajian terkenal dunia iaitu Universiti Stanford. Dia telah meminta ibunya untuk membawanya ke sana dan menghadiri satu taklimat oleh salah seorang pensyarah di sana.

Pada waktu itu, pensyarah berkenaan yang sedang menyampaikan pidato kepada mahasiswa dikejutkan dengan pertanyaan oleh Promethea.

“Bagaimana untuk menghalang pecutan supaya partikel-partikel tidak saling berlanggar antara satu sama lain dan mencair?”

Bayangkan soalan yang begitu spesifik ini diajukan oleh seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia lima tahun. Tentunya semua hadirin yang berada pada sesi syarahan tersebut terkedu.

Kepintaran Promethea benar-benar mengagumkan dan mendapat perhatian daripada Dr. Yearian, seorang penyelidik di universiti berkenaan yang mahu bakat dan kepintaran Promethea dikembangkan.

Sewaktu kanak-kanak pintar ini berusia lapan tahun, dia telah berjaya menyelesaikan perkiraan dan juga soalan algebra. Malah, Promethea turut terlibat di dalam sebuah filem dokumentari mengenai kanak-kanak genius dan terus dikenali ramai selepas itu.

Populariti yang diraih oleh Promethea membuatkan ramai tokoh terkenal mahu membiayai pengajiannya. Akhirnya, pada usia baru mencecah 13 tahun, Promethea berjaya menamatkan pengajian dalam sarjana matematik di Universiti Michigan. Menjelang usianya 19 tahun pula, Promethea berjaya memperoleh ijazah fizik.

Selain menjadi terkenal dan popular, Promethea turut digilai oleh ramai jejaka dan salah seorang daripada peminat fanatiknya adalah seorang pemuda bernama Thomas.

Thomas dikatakan mulai menyukai Promethea sejak berusia 15 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, Thomas sering menghadiahkan Promethea wang tunai dan sejambak bunga. Walau bagaimanapun, kebaikan hati Thomas ditolak dengan lembut.

Thomas yang pada awalnya bersikap lemah lembut mula bertindak sedikit kasar dan meminta Promethea untuk berpindah ke pusat pengajian lain seperti Harvard, Yale mahupun Cambridge.

Malah, Thomas turut menyerang dan mengugut ibu kepada Promethea dengan menyatakan bahawa wanita tersebut telah menghalang perkembangan dan masa depan Promethea selama ini.

Pada awalnya, Promethea hanya memandang remeh mengenai insiden yang berlaku kepada ibunya dan menganggap semua itu sebagai tindakan normal oleh seorang peminat.

Namun lama-kelamaan, kelakuan Thomas semakin menjadi-jadi sehingga terpaksa melibatkan pihak polis. Pada waktu itu, Promethea sedang berada di taman telah ditarik oleh Thomas secara kasar. Nasib baik menyebelahi Promethea apabila ada anggota polis yang datang untuk membantunya.

Walau bagaimanapun, tindakan Thomas tidak terhenti setakat itu. Lima hari kemudian, rumah Promethea secara tiba-tiba dirempuh oleh sebuah kereta yang dipandu oleh Thomas. Ketika itu, ibu Promethea menyangka ini hanyalah salah faham seorang peminat, maka dia pun mendekati Thomas bagi menjelaskan mengenai perkara sebenar.

Secara tiba-tiba, ibu Promethea rebah dan berlumuran dengan darah. Promethea pada ketika itu yang tersentak melihat keadaan ibunya telah menghalau Thomas daripada mendekati mereka.

“Dengan cara ini, awak sudah bebas. Kenapa awak harus bersedih?”, balas Thomas.

Disebabkan terlalu gilakan Promethea, Thomas sanggup bertindak ganas dengan mahu membunuh ibunya. Pada waktu itu, Thomas menganggap ibu Promethea sebagai penghalang kepada cinta mereka.

Beberapa detik kemudian, ibu Promethea segera dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Walaupun berjaya diselamatkan, kecederaan yang dialami olehnya agak parah sehingga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Promethea untuk menguruskan dirinya.

Peristiwa mengejutkan ini berjaya mencuri perhatian pihak media sekali gus menyebabkan ianya menjadi berita sensasi pada waktu itu. Walau bagaimanapun, ketika kepulangan mereka dari hospital dinantikan oleh para pensyarah dan rakan universiti, Promethea dan ibunya hilang dari radar.

Kehilangan mereka begitu misteri kerana tiada siapa yang tahu di mana mereka berada. Lama-kelamaan, berita mengenai kehilangan si pintar dan ibunya itu sudah dilupakan umum.

Hanya selepas lima tahun kemudian, baru Promethea memunculkan dirinya. Malah, Promethea kelihatan seperti individu normal dan menjalani kehidupan biasa dengan mengajar dan membaiki komputer.

Menurut laporan, dua beranak ini telah menetap di sebuah pedalaman yang terletak di kawasan pergunungan. Walaupun tinggal di rumah yang kecil dan tidak ramai penghuni, mereka ternyata berasa aman dan tenang tanpa gangguan luar.

Atas rasa bersalah kepada nasib yang menimpa ibunya, Promethea memutuskan untuk meninggalkan pelajaran dan melepaskan gelaran ‘Gadis Pintar’ yang disandangnya.

“Saya tidak ingin menjadi seorang genius dan tidak mahu dipuji lagi.”

Kesimpulannya, mengejar kemasyuran dunia tidak semestinya mampu memberi kebahagiaan yang abadi. Kadangkala, ianya boleh mengancam nyawa kita dan juga insan-insan sekeliling yang kita cintai. Jadi, untuk apa mengejar dunia dalam kehidupan yang sementara ini.

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Kategori:Aneh INSPIRASI

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...