NASIONAL

Perdana Menteri maklum hutang dijamin kerajaan adalah sebanyak RM217.37 bilion

Perdana Menteri maklum hutang dijamin kerajaan adalah sebanyak RM217.37 bilion

KUALA LUMPUR – Sehingga 30 Jun lalu, Kementerian Kewangan Malaysia menjelaskan bahawa hutang dijamin oleh kerajaan adalah sebanyak RM217.37 bilion.

Menurut Perdana Menteri, jaminan oleh kerajaan itu diberikan kepada empat badan berkanun dan 26 anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Pemberian jaminan kerajaan bertujuan melaksanakan projek strategik negara yang berimpak tinggi dan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan”.

“Ia terbahagi kepada sektor pendidikan, perkhidmatan, infrastruktur, kewangan, pegangan pelaburan dan utiliti,” jawab Datuk Seri Najib Razak kepada soalan yang dikemukakan oleh Dr. Lee Boon Chye (PKR Gopeng) berkenaan liabiliti yang ditanggung oleh kerajaan sehingga kini.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut menjelaskan berkenaan hutang kerajaan pada akhir bulan Jun lalu adalah sebanyak RM685.1 bilion atau 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi menjawab soalan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota).

Sejumlah RM662.4 bilion atau 96.7 peratus daripada jumlah berkenaan merupakan hutang domestik yang mewakili 49.2 peratus daripada KDNK.

“Sementara 3.3 peratus lagi atau RM22.7 bilion (1.7 peratus daripada KDNK) adalah pinjaman luar pesisir.”

“Kedudukan hutang kerajaan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana,” jelas Perdana Menteri menerusi jawapan bertulis pada 20 Jun lalu.

Berkenaan soalan Fauzi tentang kali terakhir Malaysia membayar hutang pokok dan jumlahnya, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan turut menjelaskan bahawa kerajaan telah membuat pinjaman kasar tahunan dengan mempertimbangkan keperluan membayar balik hutang yang matang.

Pinjaman kasar bagi tahun 2017 yang dibuat kerajaan adalah RM108 bilion dan ianya mencakupi bayaran pokok serta pembiayaan defisit.

Perdana Menteri berkata, “Kerajaan sentiasa memastikan bayaran pokok dan faedah dibuat secara teratur mengikut jadual yang ditetapkan. Oleh itu, kerajaan tidak pernah gagal dalam menjelaskan bayaran balik”.

Era Baru

Kategori:NASIONAL

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...