GLOBAL, INSPIRASI, Pesona, Ria

Cincin pertunangan Putera Harry dan Meghan direka sendiri oleh Harry dan dianggarkan mencecah lebih RM1 juta!

Cincin pertunangan Putera Harry dan Meghan direka sendiri oleh Harry dan dianggarkan mencecah lebih RM1 juta!

Kisah percintaan antara Putera Harry dengan aktres terkenal yang membintangi drama The Suits iaitu Meghan Markle bukan lagi menjadi satu rahsia.

Semalam (27 November), pasangan sama cantik sama padan ini telah membuat pengumuman mengenai pertunangan mereka kepada pihak media yang berpusu-pusu untuk mendapatkan perkembangan mengenai majlis pertunangan mereka.

Meghan yang kelihatan anggun dengan kot putih daripada Line the Label dan gaun berwarna hijau gelap di dalamnya jenama P.A.R.O.S.H yang berharga RM2,398. Penampilan Meghan disempurnakan dengan sepasang kasut tinggi Matilde Crisscross Nude Suede Pumps rekaan Aquazzura yang mencecah RM2,025!

Antara perkara menarik lain yang menjadi perhatian wartawan dan media adalah cincin yang menjadi bukti pertunangan Putera Harry dan Meghan.

Dalam majlis sidang media tersebut, Meghan dilihat menggayakan sebentuk cincin yang direka sendiri oleh tunangnya. Dihiasi dengan sebutir batu permata dari Botswana dan dua lagi berlian daripada koleksi peribadi ibu kepada Puteri Harry iaitu Puteri Diana.

Cincin yang dihasilkan oleh Cleave and Company, Court Jewellers and Medallists ini menampilkan berlian daripada Botswana menjadi titik tumpuan utama pada cincin tersebut dengan tambahan dua lagi butir berlian daripada cincin yang pernah dipakai oleh mendiang Diana.

Dalam sesi temubual pertama pasangan ini, Putera Harry mendedahkan bahawa cincin tersebut bertemakan warna kuning kerana ia adalah warna kegemaran Meghan.

“Cincin ini diperbuat daripada emas kuning kerana itu adalah kesukaannya manakala batu permata itu adalah daripada Botswana. Berlian kecil di sisi batu utama itu pula adalah daripada koleksi barang kemas ibu saya supaya dia sentiasa bersama-sama menjalani perjalanan hidup kami”.

David Allen daripada 77 Diamonds menyatakan kualiti dan saiz cincin yang digayakan oleh Meghan bernilai sekitar RM274,431. Akan tetapi, memandangkan cincin ini turut mempamerkan berlian kecil milik Puteri Diana, harganya mungkin tiada tandingannya!

TheDiamondStore.co.uk pula menganggarkan nilai dan kos sebenar bagi cincin berkenaan adalah RM1,094,844 dan batu berlian tersebut adalah yang paling jernih dan berkualiti tinggi.

Tahun lalu, Putera Harry, 33 tahun telah mendedahkan kepada masyarakat umum bahawa dia telah jatuh cinta dengan Meghan, 36 tahun setelah enam bulan menjalinkan hubungan secara rahsia. Pada awal bulan ini, Putera Harry telah melamar Meghan di London.

Sebelum itu, Harry telah meminta kebenaran daripada neneknya, Ratu Elizabeth II untuk berkahwin dan baginda menyatakan persetujuan tersebut ketika menyambut ulangtahun perkahwinannya yang ke-70.

“Kami sangat bergembira untuk Harry dan Meghan. Perkenalan dengan Meghan adalah sangat menyeronokkan dan kami gembira melihat dia dan Harry bahagia bersama,” ujar Putera William dan Kate.

Sehingga kini, persoalan tentang di mana dan bila majlis perkahwinan mereka akan diadakan masih lagi menjadi tanda tanya. Walau bagaimanapun, pasangan diraja ini merancang untuk menunggu sehingga Putera William dan Kate Middleton melahirkan anak ketiga mereka yang dijangka pada bulan April tahun hadapan.

Sumber: Daily Mail

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...