Aneh, INSPIRASI

Kanak-kanak 2 tahun mengalami masalah keguguran rambut, angkara berdepan tekanan melayakkan diri di tadika elit!

Kanak-kanak 2 tahun mengalami masalah keguguran rambut, angkara berdepan tekanan melayakkan diri di tadika elit!

Semua ibu bapa mahukan anak mereka berjaya dengan cemerlang. Tetapi apabila mereka telah mengharapkan anak kecil yang tidak mengerti apa-apa mencapai tahap cemerlang, semestinya ia merupakan satu tahap yang agak melampau.

Seorang anak kecil yang baru berusia dua setengah tahun telah mengalami masalah keguguran rambut selepas mengalami kejutan memasuki lima kelas pra-tadika, demi untuk memastikan dirinya yang tidak mengerti apa-apa itu akan disenarai pendek untuk memasuki tadika elit dan berprestij.

Kredit: International School (gambar hiasan)

Menurut News Sina, anak kecil kasihan bernama Tong Tong ini menginap di Shanghai, China bersama ibu bapanya.

Dua bulan yang lalu, ibu Tong Tong telah menyedari beberapa helai rambut Tong Tong telah gugur dan memenuhi bantalnya. Menyedari sesuatu yang tidak kena, ibu Tong Tong telah mengawasi keadaannya selama beberapa malam dan anak lelakinya itu juga kerap berpeluh dengan banyak dan mengalami kekejangan di dalam tidurnya.

Kredit: SCMP/Sinchew

Pada mulanya, ibu Tong Tong berfikir yang anaknya ini telah mengalami kekurangan kalsium di dalam badannya. Jadi beliau telah membeli dan memberikan makanan tambahan itu kepada anaknya.

Namun keadaan menjadi lebih buruk selepas dua minggu apabila rambut Tong Tong telah luruh dengan banyak dan kepalanya kelihatan bertompok-tompok dengan kehilangan rambut sehingga ke kulit kepala.

Melihat keadaan yang sangat serius ini, ibu Tong Tong telah membawanya pulang ke kampung halaman di Wuhan untuk menemui pakar kulit di sebuah hospital.

Kredit: Sinchew

Doktor Goh telah memeriksa Tong Tong dan anak ini telah didiagnos dengan satu penyakit yang dipanggil ‘alopecia areata’, satu penyakit auto imun yang biasa dengan menyebabkan kehilangan rambut di kulit kepala dan muka.

Keadaan ini biasa dialami oleh orang dewasa dan remaja, tetapi jarang sekali berlaku kepada kanak-kanak yang masih kecil. Doktor Goh berkata Tong Tong adalah pesakit  paling muda yang pernah mendapat penyakit ini.

Kemudian, Doktor Goh bertanya kepada ibu Tong Tong, “Adakah anak ini mengalami apa-apa perubahan besar di dalam hidupnya?”

Selepas beberapa kali Doktor Goh bertanya dengan nada desakan, akhirnya ibu Tong tong telah mendedahkan bagaimana sengitnya cabaran untuk mendapatkan tempat bagi anaknya memasuki tadika elit dengan reputasi tinggi.

Pada zaman ini, semua kanak-kanak akan menjalani ujian kemasukan dan hanya yang terbaik dan bijaksana sahaja yang akan dipilih. Demi memastikan Tong Tong antara yang tergolong di kalangan pelajar tadika elit yang termasyhur itu, ibunya telah menempatkan Tong Tong di dalam 5 kelas pra- tadika iaitu Matematik, Bahasa Inggeris, Piano, Pendidikan Seni dan Tata Susila.

Kredit: teach-english-in-china.co.uk (gambar hiasan)

Nampaknya Tong Tong tiada zaman kanak-kanak yang sempurna jika begini cara ibunya mendidik demi membuat anak ini menjadi cemerlang.

Ibu ini mengakui yang kesemua mata pelajaran ini adalah perlu dan wajib bagi memastikan yang anaknya Tong Tong tidak akan ketinggalan bersama kanak-kanak elit lain. Jika ibu ini tidak memasukkan anak lelakinya ke dalam kelas tersebut, bagaimana dia boleh bersedia dengan peperiksaan kemasukan ke tadika elit tersebut.

Apabila anak kecil ini enggan untuk duduk dan mengulangkaji pelajaran, ibu ini akan memberi galakan dengan berkata, “Jika kamu tidak belajar dengan tekun dan rajin, kamu tidak akan mendapat tempat di tadika itu.”

Bagaimana perkataan kepada orang yang lebih dewasa ini tidak akan membuat anak kecil berusia 2 tahun berasa tertekan? Sememangnya Tong Tong berasa tertekan angkara perkataan dan didikan ibu bapanya.

Dan bukan Tong Tong seorang sahaja yang berasa sangat tertekan, malahan ibunya juga. Ibu Tong Tong dilaporkan tidak dapat tidur pada waktu malam dengan sempurna apabila memikirkan masa depan pendidikan anak kecilnya.

Kredit: scmp.com (gambar hiasan)

Selepas mendengar perkara sebenar apa yang telah terjadi kepada anak kecil ini, Doktor Goh telah menasihatkan ibu ini supaya mengurangkan kehadiran Tong Tong ke kelas tersebut. Ini kerana keguguran rambut Tong Tong berpunca daripada tekanan yang dialaminya semasa menghadiri kesemua kelas tersebut.

Oleh kerana penyakit ini boleh disembuhkan secara semulajadi, doktor ini telah mengingatkan ibu Tong Tong supaya menghilangkan kesemua tekanan yang dilalui oleh anak kecil ini semasa berada di rumah. Dengan sendirinya rambut itu akan tumbuh kembali.

‘Alopecia areata’ adalah satu penyakit yang biasa dialami oleh para remaja dan pelajar sekolah tinggi di China berikutan persekitaran pembelajaran yang amat tegang dan menekan. Telah dilaporkan ramai para pelajar yang telah mengalami masalah keguguran rambut malahan bulu kening mereka kerana berasa tertekan dan bimbang.

Diharap ibu bapa Tong Tong akan menyedari bahawa zaman kanak-kanak yang normal dan menyeronokkan itu lebih penting dari menghadiri kelas elit dan mendapat A dalam semua mata pelajaran. Anak ini masih kecil dan perlu mempunyai memori yang indah di dalam kehidupan kanak-kanaknya.

Era Baru

Kategori:Aneh INSPIRASI

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...