HIBURAN, Kerjaya

Pelakon lagak ngeri yang menggantikan Chris Hemsworth dalam filem Thor kelihatan seiras dan sungguh sasa!

Pelakon lagak ngeri yang menggantikan Chris Hemsworth dalam filem Thor kelihatan seiras dan sungguh sasa!

Adakah anda peminat filem Thor? Anda pasti mengenali watak utama yang memainkan karakter Tuhan Petir Asgard iaitu Chris Hemsworth. Filem hebat yang mempamerkan pelbagai aksi pertarungan serta diselitkan dengan kisah kekeluargaan ini sememangnya memuaskan hati.

Namun, di sebalik aksi-aksi ngeri yang terpampang di dalam filem tersebut, terdapat seorang pelagak ngeri yang telah bekerja bersama Chris dan menjadi pengganti pelakon kacak itu dalam melakukan aksi-aksi berbahaya.

Beliau adalah sahabat Chris sendiri iaitu Bobby Holland Hanton. Semasa penggambaran filem ketiga Thor iaitu ‘Thor: Ragnarok’ dijalankan, Bobby telah kongsikan beberapa gambar eksklusif tentang dunia pekerjaan sebagai pelakon lagak ngeri di set penggambaran tersebut.

Bobby, 33 tahun telah berkongsi beberapa gambar yang diambil sewaktu berada di Gold Coast, Australia. Bobby turut dilihat menghabiskan sepanjang hari di set penggambaran bersama Chris, 34 tahun sekali gus membuatkan hubungan mereka menjadi semakin akrab bagai rakan karib.

Apa yang lebih menarik, Bobby yang juga bekas ahli gimnastik turut mendedahkan sesi latihan intensif yang membolehkannya mendapatkan bentuk badan seperti Chris Hemsworth.

Pemilihan pelakon ngeri adalah penting bagi menjayakan sesebuah filem. Pelakon lagak ngeri bukan sahaja dipilih atas keberanian serta bakatnya dalam melakukan aksi berbahaya tetapi individu tersebut juga perlu mempunyai susuk tubuh persis watak yang digantikan.

Untuk mendapatkan otot serta tubuh yang sasa seperti aktor Chris Hemsworth, Bobby terpaksa bersenam dua kali sehari dan makan sebanyak 35 hidangan setiap hari.

“Chris seperti raksasa semulajadi dan apa yang dia perlu lakukan adalah perhatikan berat badan dan perkembangannya. Ianya sangat mencabar dan saya sukakannya tetapi untuk mengekalkan bentuk badan sepertinya adalah sangat sukar,” ujar Bobby kepada BuzzFeed.

Bobby dan Chris telah bekerja bersama sejak enam tahun yang lalu dan filem pertama yang mereka jayakan adalah filem ‘Snow White and the Huntsman’. Bobby yang berasal dari London kemudiannya diambil semula sebagai pelagak ngeri bagi filem Thor yang kedua iaitu ‘Thor: The Dark World’ pada 2013 serta filem terbaru yang masih ditayangkan di pawagam.

Berdasarkan gambar-gambar tersebut, anda boleh dapati mereka hampir kelihatan mirip. Dari segi bentuk tubuh yang sasa, gaya rambut, berjambang dan yang pastinya, sungguh kacak!

Ketika ditanya tentang pengalamannya bekerja dengan aktor kelahiran Australia itu, Bobby berkata, “Chris adalah seorang yang hebat dan kelakar! Dia adalah bapa, suami dan kawan yang baik… seorang legenda. Kini kami menjadi rakan rapat, saya sayangkan dia”.

Selain menjadi pengganti aksi ngeri bagi Chris, Bobby turut bekerja dengan ramai lagi aktor kacak dan sasa seperti Christian Bale (Batman), Channing Tatum (21 Jump Street), Daniel Craig (Spectre) serta Chris Evans (Captain America).

Mencabar sungguh pekerjaan yang perlu diharungi oleh pelagak ngeri ya? Walau apa pun, Thor tetap akan ada di dalam hati setiap wanita. Hehe!

Era Baru

Kategori:HIBURAN Kerjaya

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...