NASIONAL

Pegawai Imigresen di Johor tersalah meletak cap di paspot, warga Singapura memberi nasihat supaya memeriksa paspot dengan teliti

Pegawai Imigresen di Johor tersalah meletak cap di paspot, warga Singapura memberi nasihat supaya memeriksa paspot dengan teliti
Pegawai imigresen tersalah meletak cap tarikh kemasukan ke Johor dengan meletak cap tarikh 4 Oktober 2017 dari tarikh sebenar 4 November 2017. (Foto komposit)

JOHOR BAHRU – Ramai warga Malaysia dan Singapura yang sudah biasa melakukan perjalanan di antara dua buah negara ini secara biasa dengan ada antara mereka yang bekerja atau melancong dan membeli belah.

Ramai warga Singapura yang menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan dan membeli-belah berikutan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia yang jauh lebih murah dan berpatutan berbanding Singapura. Jadi, bagi warga Singapura yang melawat Johor, itu adalah seperti perkara kebiasaan.

Oleh kerana menjadi seperti kebiasaan, kadangkala ada manusia yang menjadi lalai dan mengenepikan ketelitian. Perkara ini berlaku kepada seorang netizen dari Singapura dan keluarganya yang telah berkunjung ke Johor baru-baru ini.

Warga Singapura ini berkongsi kisah di Facebook  akan pengalaman yang dialaminya dengan pegawai imigresen Johor semasa memasuki Johor bersama 7 orang ahli keluarganya.

Netizen ini telah menulis, “Terdapat banyak laporan yang mengatakan adanya warga Singapura yang mengalami masalah dan isu dengan cap imigresen semasa memasuki Johor Bahru. Perkara yang sama telah berlaku kepada kami semalam, dan mujur kami menyedarinya kerana kami sentiasa peka dan berwaspada untuk memeriksa ketepatan cap imigresen tersebut.”

Selepas 8 orang ahli keluarga warga Singapura ini melepasi pemeriksaan imigresen, mereka telah menyedari yang pegawai imigresen terbabit telah tersalah meletak cap tarikh kemasukan ke Johor dengan meletak cap tarikh 4 Oktober 2017 dari tarikh sebenar 4 November 2017.

Kredit: Facebook

Selepas menyedari kesilapan tersebut, kesemua mereka dengan segera telah memberitahu kesilapan tersebut kepada pegawai imigresen terbabit yang telah tersalah meletak cap “4 Oktober 2017”. Dengan segera mereka telah membetulkan kesilapan ke atas semua 8 paspot tersebut.

Berikutan insiden terbabit, netizen Singapura ini telah mengambil keputusan untuk berkongsi kisahnya dengan warga Singapura yang lain yang sudah biasa berulang alik ke Johor. Netizen ini berharap insiden yang dialami bersama keluarganya tidak akan terjadi kepada yang lain semasa mereka berada di Jabatan Imigresen Johor.

Netizen ini mencadangkan pada semua warga Singapura yang ingin memasuki Johor supaya memastikan mereka memeriksa paspot dengan cap tarikh yang betul dari pegawai imigresen yang bertugas.

Netizen ini menasihati supaya semua warga Singapura perlu memeriksa: Tarikh cap yang betul, jenis dan warna cap itu sama ada ia berwarna biru dan berbentuk segi empat tepat semasa memasuki Johor, dan berwarna merah serta bersegi tiga apabila telah keluar dari Malaysia. Sekiranya warga Singapura menggunakan “Malaysia Automated Clearing System (MACS)”, pastikan paspot itu diimbas dengan betul.

Kredit: Asia One

Malangnya, insiden ini bukan perkara baru yang terjadi di Jabatan Imigresen Johor. Pada tahun 2013, seorang lelaki warga Singapura telah ditahan di depoh pemeriksaan selama dua jam semasa dalam percubaan untuk pulang ke negaranya, oleh kerana seorang pegawai imigresen Johor telah meletak cap tarikh secara ‘kebelakangan’  di atas paspotnya. Amat tidak adil bagi mereka yang tidak bersalah mengalami situasi tersebut berikutan kesilapan pegawai imigresen yang bertugas dengan lalai.

Warga Singapura ini memberitahu Asia One, “Saya bernasib baik kerana tiada sebarang perkara buruk yang berlaku pada kali ini. Jika saya membiarkan perkara itu berlaku dari pihak saya dengan tidak memeriksa paspot dengan betul, mungkin pengakhirannya berada dalam situasi yang lebih buruk.”

Oleh itu, tidak kira sama ada anda warga Singapura atau Malaysia, pastikan anda memeriksa paspot dengan cap tarikh yang betul apabila memasuki kedua-dua negara ini. Periksalah paspot dengan teliti bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini dari berlaku.

Era Baru

Kategori:NASIONAL

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...