Misteri & Fenomena

92 orang penumpang terbunuh, hanya seorang terselamat dalam tragedi pesawat terhempas pada tahun 1971

92 orang penumpang terbunuh, hanya seorang terselamat dalam tragedi pesawat terhempas pada tahun 1971

Pada tanggal 24 Disember 1971, Juliane Koepcke, gadis berusia 17 tahun dan ibunya, Maria telah menaiki penerbangan Lansa di Peru untuk menyambut perayaan Hari Natal bersama bapanya.

Namun, malang tidak berbau. Sebaik sahaja pesawat melakukan penerbangan, satu tragedi menyayat hati telah terjadi. Pesawat tersebut telah terhempas dan mengorbankan 91 nyawa!

Walau bagaimanapun, terdapat hanya seorang penumpang terselamat dan berjaya dibawa keluar dari hutan tebal tersebut. Individu tersebut adalah Juliane.

Dalam satu temubual bersama CNN, Juliane telah menceritakan semula pengalamannya sebelum menaiki pesawat, semasa dan selepas pesawat terhempas dari ketinggian 3,000 meter altitud!

Menurutnya, pada 25 minit yang pertama, perjalanan adalah seperti biasa namun sebaik sahaja pesawat menuju ke ketinggian 6,000 meter, pelbagai kejadian yang menggentarkan mula berlaku.

“Pesawat mula bergegar setelah terbang ke kawasan awan gelap dan keadaan pada ketika itu sangat bergelora. Bungkusan dan beg bagasi terjatuh daripada tempat penyimpanan manakala hadiah, bunga dan kek Hari Natal mula berterbangan di seluruh kabin”.

Secara tiba-tiba, satu panahan petir hinggap di sisi pesawat dan pada ketika itu, ramai penumpang mula histeria. Ada yang menjerit, menangis dan meratapi nasib yang bakal menimpa mereka.

“Inilah penghujungnya. Semuanya sudah berakhir”. Itulah kata-kata terakhir yang Juliane dengar daripada ibunya sebelum pesawat jatuh menyembah bumi.

Setelah terhempas, Juliane dikatakan berada dalam keadaan separuh sedar dengan dirinya masih terikat pada kerusi penumpang tetapi dalam posisi terbalik. Namun pada ketika itu, suasana bertukar sepi. Tragedi tersebut benar-benar mengerikan.

Apa yang Juliane dapat lihat pada ketika itu adalah keadaan hutan tebal dan bunyi deruan angin. Tiada lagi suara tangisan mahupun jeritan daripada semua 91 orang penumpang. Sunyi sepi… dan akhirnya Juliane tidak sedarkan diri.

Keesokan harinya, Juliane sedar dari tidur dan menyedari bahawa dia terselamat daripada kemalangan tragis tersebut! Dia telah menjerit memanggil ibunya namun tiada siapa yang menjawab sahutannya.

Juliane turut mengalami beberapa kecederaan dan luka tetapi masih mampu berjalan. Memandangkan kedua-dua ibu bapanya merupakan pakar pengkaji haiwan, Juliane sudah biasa berada di dalam hutan dan belajar mengenai kemandirian. Hal ini kerana pada usia 14 tahun, Juliane dan ibu bapanya pernah tinggal di dalam hutan selama setahun.

“Saya boleh mendengar bunyi enjin pesawat mencari sisa bangkai pesawat namun saya tidak dapat melihat mereka. Saya berada di dalam hutan tebal”.

Memandangkan hanya dia yang terselamat, Juliane telah membawa diri mengikuti anak sungai sambil mengisi perut dengan beberapa paket gula yang ditemuinya di tapak tragedi.

Selepas mengharungi hutan tebal tersebut seorang diri selama 10 hari, Juliane akhirnya berjaya menemui sebuah bot kecil dan menunggu di sana bagi mendapatkan bantuan. Pada ketika itu, Juliane turut menyedari luka dalam pada lengannya sudah dimasuki ulat.

“Saya teringat bapa pernah mencurahkan minyak petrol bagi mengubati luka anjingnya. Jadi, saya mencari petrol di bot tersebut dan mencurahkannya pada lengan saya. Sebanyak 30 ekor ulat sepanjang 1 sm berjaya dikeluarkan daripada lengan kanan saya”.

Ya tuhan! Bagaimana agaknya perasaan Juliane pada ketika itu. Di usia yang masih muda dan terpaksa mengharungi hutan tebal sendirian bagi menyelamatkan diri, peristiwa ini pastinya akan memberi kesan mendalam terhadap psikologi dan emosi Juliane.

Keesokan harinya, beberapa orang lelaki menemui Juliane di dalam bot mereka. Dalam keadaan terkejut, kesemua lelaki tersebut seolah-olah terpaku melihat Juliane. Setelah memperkenalkan dirinya, Juliane diberikan rawatan awal serta makan. Mereka kemudian membawa Juliane ke bandar untuk diselamatkan.

Sehari selepas diselamatkan, Juliane dibawa berjumpa dengan bapanya. Mereka hanya berpelukan tetapi tidak mampu berkata apa-apa. Beberapa hari kemudian iaitu pada tanggal 12 Januari, pasukan penyelamat berjaya menemui mayat Maria.

Juliane mendapati ibunya juga merupakan salah seorang yang terselamat dalam insiden berkenaan namun memandangkan ibunya mengalami kecederaan yang agak parah, dia telah meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Peristiwa yang sangat mengejutkan! Walaupun kemalangan ini telah berlalu, Juliane tetap akan berdoa kepada semua penumpang pesawat yang terhempas akan terselamat dan berada di bawah lindungan Tuhan.

Semoga dia terus tabah menghadapi memori pahit tersebut.

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...