INSPIRASI, Pesona, Ria

10 sebab musabab mengapa Malaysia dianggap sebagai ‘syurga dunia’

10 sebab musabab mengapa Malaysia dianggap sebagai ‘syurga dunia’

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri. Inilah pepatah hebat yang menggambarkan meskipun kemakmuran dan kemewahan berada di negeri lain, negeri sendiri juga adalah yang paling baik.

Malaysia bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian kaum dan agama, tetapi juga kaya dengan khazanah alam semulajadi yang tiada nilainya.

Anda tanyalah kepada mana-mana rakyat Malaysia yang sedang berada di luar negara, pasti nama Malaysia tetap akan berada di hati mereka.

Malahan, ada juga yang beranggapan Malaysia sebagai destinasi ‘syurga dunia’ bagi sesetengah pelancong. Ini sebabnya:

#1 Malaysia kaya dengan destinasi pelancongan menarik

Kredit: industripelancongandimalaysia

Anda cakap sahaja mahu bercuti di mana? Di pulau? Di kawasan pergunungan? Mahu menjalani aktiviti lasak? Atau mungkin mahu membeli-belah di ibu negara? Segala-galanya ada di Malaysia.

Antara lokasi yang menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar negara adalah seperti Tanah Tinggi Cameron, Pulau Langkawi, Gunung Kinabalu, Kuala Lumpur dan sebagainya.

#2 Sambutan perayaan daripada pelbagai kaum dan etnik

Kredit: hamburgergkb.blogspot

Malaysia terkenal kerana mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa, kaum, agama dan etnik. Melayu, Cina, India, kaum Iban, Kadazan, orang Asli dan lain-lain tinggal bersama dalam satu kelompok yang harmoni.

Justeru, kita berpeluang untuk merasai pengalaman menyambut perayaan kaum masing-masing. Secara langsung, kita juga dapat mempelajari budaya sesebuah kaum di Malaysia. Seronok bukan?

#3 Kita tidak perlu menghabiskan banyak wang untuk membeli pakaian bagi setiap musim

Keadaan iklim di Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun membuatkan kita sangat selesa. Kita tidak perlu membazir begitu banyak wang untuk membeli kelengkapan sebagai persediaan menghadapi musim-musim tertentu.

Di negara luar yang mengalami musim sejuk misalnya, mereka perlu memakai pakaian tebal bagi melindungi diri daripada kesejukan. Malah, aktiviti di luar juga terbatas sekiranya salji turun dengan lebat.

Tak seronok lah macam ini!

#4 Setiap makanan boleh dinikmati oleh semua kaum

Sesetengah makanan adalah berasal daripada sesebuah kaum. Misalnya Nasi Lemak daripada kaum Melayu, capati daripada kaum India, char kway teow daripada kaum Cina dan pelbagai lagi.

Namun, kesemua hidangan ini boleh dinikmati oleh semua lapisan kaum. Malah, rasanya juga lazat!

#5 Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan rakyat Malaysia

Kredit: linkedin.com/pulse/nation-branding-malaysia-truly-asia-tousif-jamal

Benar, setiap kaum mempunyai bahasa ibunda masing-masing. Namun begitu, kita masih boleh hidup dengan aman dan damai melalui penggunaan bahasa Melayu.

Dengan ini, setiap masyarakat dapat berkomunikasi antara satu sama lain tanpa mengalami sebarang masalah.

#6 Syurga makanan

Di Malaysia, anda pasti tidak akan kelaparan. Terdapat restoran makan dibuka 24 jam di samping menyajikan pelbagai hidangan enak sama ada makanan tempatan, makanan Barat dan sebagainya.

#7 Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap tenang sepanjang masa

Kredit: vice.com

Tenang… Tenang ketika menghadapi kesesakan lalu-lintas, tenang sewaktu bekerja, tenang ketika berada di pasar malam. Tidak seperti rakyat di sesetengah negara yang sentiasa bergegas ke sesuatu destinasi, rakyat Malaysia lebih ‘cool’ dan tidak cepat melenting.

Walaupun rakan anda sudah menunggu di tempat temu janji, anda masih tenang di atas katil sambil melayari Facebook dan membalas mesej rakan dengan berkata, “Saya dalam perjalanan”. Hehe!

#8 Ada perlawanan sukan, ada cuti peristiwa

Kredit: bharian

Apa salahnya kalau rakyat Malaysia diberikan cuti lebih bukan? Kita bukan sahaja dapat menikmati cuti pada hari-hari perayaan tetapi kita juga berpeluang mendapat cuti peristiwa bagi sesuatu perlawanan sukan.

Misalnya baru-baru ini, perlawanan bola antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Kedah. JDT memenangi Piala Malaysia 2017 sekali gus membolehkan semua penduduk di Johor memperoleh cuti pada keesokan harinya bagi meraikan kemenangan tersebut.

#9 Makan dengan tangan dan tiada siapa yang akan memberikan pandangan pelik kepada anda

Kredit: ingintau2.blogspot

Tidak kiralah anda berada di warung atau di restoran makanan segera seperti KFC, menikmati makanan dengan tangan adalah satu perkara normal. Tiada siapa yang akan marah atau melihat anda dengan jijik sekiranya anda makan dengan menggunakan tangan.

Apa yang pasti adalah, makanan akan menjadi lebih sedap dan nikmat jika dimakan dengan tangan.

#10 Malaysia masih aman

Mencapai 60 tahun kemerdekaan, Malaysia masih lagi aman dan makmur. Malah, negara kita juga semakin menuju kemajuan setaraf negara-negara kelas pertama seperti Amerika.

Ianya adalah satu pencapaian yang amat membanggakan buat kita semua. #malaysiatanahairku

Era Baru

Kategori:INSPIRASI Pesona Ria

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...