GAYA HIDUP, Kerjaya

Ditawarkan motosikal oleh ibu selepas keputusan PT3 diumumkan, tetapi kerana minat menjahit remaja lelaki ini lebih memilih mesin jahit!

Ditawarkan motosikal oleh ibu selepas keputusan PT3 diumumkan, tetapi kerana minat menjahit remaja lelaki ini lebih memilih mesin jahit!

Tidak seperti remaja lain seusianya, remaja lelaki ini awal-awal lagi sudah menunjukkan minat dan kemahirannya dalam bidang jahitan. Walaupun kerja-kerja menjahit lazimnya dipelopori oleh golongan wanita tetapi semua itu tidak membantutkan semangat dan minatnya dalam kerja-kerja jahitan. Lagi pula zaman semakin moden, di luar sana semakin ramai golongan lelaki yang muncul dengan idea-idea kreatif mereka dalam mereka dan menjahit pakaian yang berjenama dan berkualiti.

Remaja yang berasal dari Kampung Sarang Tiong, Khairul Amir Nor Azhar, 16, lebih memilih mesin jahit untuk mengisi masa lapangnya. Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemok ini mengatakan dia mula belajar menjahit sejak dia berusia 14 tahun dengan emaknya, Patimah Yatim, 52, di rumah.

Semangatnya mula berkobar-kobar selepas peperiksaan PT3 tahun lalu. Dia lantas menyatakan hasratnya kepada ayahnya, Nor Azhar Ibrahim, 52, dan meminta bantuan ayahnya untuk bertanya dengan mana-mana kedai jahit yang berhampiran.

“Ayah pergi tanya beberapa kedai tapi mereka tidak mahu ambil saya kerana saya terlalu muda. Selepas itu ayah cuba tanya dengan abang Sani, tidak sangka dia bersetuju. Rupanya dia memang suka mengajar orang menjahit dan peluang ini saya manfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Selepas dia mahir menjahit, ibu bapanya telah membelikannya mesin jahit dan dia mula mengambil upah menjahit di rumah. Pada musim perayaan dia telah mendapat tempahan yang banyak daripada orang kampung sama ada untuk membuat baju raya atau membaiki jeans.

Dia turut bersyukur kerana mendapat sokongan dan galakan daripada kedua-dua ibu bapanya, mereka bahkan membelikannya sebuah mesih jahit untuknya. Pada awalnya ibunya menawarkan sebuah motosikal kepadanya tetapi dia lebih memilih mesin jahit.

“Saya sebenarnya lebih minat menjahit daripada menunggang motosikal. Saya tidak menyesal pilih mesin jahit sebab berbaloi. Kalau pilih motor tidak datangkan hasil pun,” tambahnya lagi.

Pemilik kedai jahit yang dikenali sebagai Sani Saffar Abdul Aziz, 31, mengakui sepanjang dia terlibat dengan industri menjahit dia belum pernah lagi berjumpa remaja sebaya Khairul Amir yang mahu belajar menjahit.

Menurutnya lagi, Kahirul mula datang belajar menjahit semasa cuti sekolah. Walaupun jarak kedainya dan rumah Kahirul agak jauh menyebabkan remaja itu terpaksa menaiki bas ke sana, dia tetap bersemangat untuk terus belajar menjahit.

“Saya juga rasa terharu sebab budak sebayanya masih leka main telefon bimbit dan motosikal, tetapi dia memilih untuk belajar menjahit, dia juga menunjukkan prestasi tinggi kerana cuba menjahit dengan lebih baik dan seorang yang mendengar cakap,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Kategori:GAYA HIDUP Kerjaya

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...