Astronomi, INSPIRASI, Pesona, SAINS & TEKNOLOGI

NASA kalah dalam perebutan misi mendapatkan kembali beg yang mengandungi debu bulan pertama yang dikumpul pada tahun 1969!

NASA kalah dalam perebutan misi mendapatkan kembali beg yang mengandungi debu bulan pertama yang dikumpul pada tahun 1969!

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Nancy Lee Carlson sukar mempercayai tuah sendiri setelah dia membaca satu senarai lelongan atas talian kira-kira 2 tahun lalu. Dia sememangnya peminat ilmu alam sejak kecil. Walaupun bukan seorang pengumpul tegar, musim panas zaman kanak-kanaknya banyak dihabiskan mengeruk dan menguis batu-batan sepanjang Tasik Superior di Michigan. Jadi, semasa terlihat senarai lelongan barangan dari angkasa lepas dia yakin akan keasliannya kerana dilelong mewakili Perkhidmatan Marsyal Amerika Syarikat.

“Bagaikan bulan jatuh ke riba, saya teruja untuk mendapatkannya, “ kata Ms. Carlson sambil mengimbas zaman kanak-kanaknya dengan imej angkasawan berjalan di angkasa melintasi fikiran.

Tidak banyak maklumat yang diperolehi daripada senarai lelongan atas talian yang dikeluarkan oleh jurulelong dari Texas iaitu Gaston & Sheehan.  Penerangan barang tertera seperti berikut: ‘satu beg sampel bulan berzip yang dipulangkan bersama debu bulan (“Beg Bulan”), 11.5 inci, terkoyak di tengah. Misi Penerbangan Tidak Diketahui’.

Kredit: Sotheby

Nancy, 62, lazimnya tidak meletakkan bidaan setinggi harga anggaran sesuatu barangan lelong. Namun, kali ini dia sanggup meletakkan bidaan $995 (RM4,212) untuk beg berzip yang mengandungi debu bulan itu kerana beranggapan barangan itu pasti ada ceritanya tersendiri. Dan dia berjaya dalam lelongannya itu.

Setelah berbulan menyelongkar kisah misteri di sebalik penemuan debu bulan itu, dia percaya sebaik Neil Armstrong keluar dari kapal angkasa Apollo 11 dan menjejakkan kaki ke permukaan bulan pada tahun 1969, salah satu daripada perkara yang dilakukannya adalah membuka zip beg putih tersebut dan memasukkan lebih kurang 5 cedokan debuan dan batuan bulan. Armstrong kemudiannya menyumbat masuk beg tersebut ke dalam kocek sut angkasanya sebelum menyerahkan sut tersebut kepada pakar sains di sebuah makmal di Houston setelah mendarat di bumi.

Pada suatu ketika, beg bulan itu hilang dicuri bersama beberapa sampel lain dari angkasa. Kehilangannya dilupakan berabad lama. Malah, NASA (‘National Aeronautics and Space Administration’) juga terlupa dan terlepas pandang akan kewujudan beg putih yang mengandungi khazanah berharga itu.

Untuk memastikan ketulenan beg bulan, Ms. Carlson telah menghantar beg tersebut ke NASA untuk diperiksa. Ketika itu barulah pakar sains menyedari barangan belian Ms. Carlson itu adalah debu bulan pertama yang dikumpul manusia. Rupa-rupanya kerajaan Amerika Syarikat telah tersilap menjual beg yang dipercayai terselit diantara barangan curi yang disita pihak berkuasa. NASA enggan memulangkan beg bulan tersebut.

Kredit: Sotheby

Ms. Carlson kemudiannya mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan haknya dan dia akhirnya diisytiharkan memenangi kes tersebut.

Menurut Hakim Daerah Amerika Syarikat, Hakim Thomas Marten dalam pengadilannya bersetuju yang ‘kedudukan Ms. Carlson sebagai pembeli sebenar memberinya keutamaan berbanding tuntutan daripada NASA berhubung harta tersebut.’

Kredit: Kramer Photographers

Jurucakap NASA, William Jeffs memberitahu yang agensi tersebut sangat kecewa dengan keputusan mahkamah namun memutuskan untuk tidak membuatsebarang rayuan. Beliau menambah NASA percaya yang beg tersebut sepatutnya dipamerkan kepada orang awam kerana ‘ia merupakan kemuncak usaha besar-besaran negara yang melibatkan generasi rakyat Amerika, termasuk angkasawan yang telah bertaruh nyawa dalam usaha untuk memahat satu kejayaan paling bermakna dalam sejarah pencapaian manusia sejagat.”

Pada 27 Februari, ditemani anak lelakinya Leo dan peguamnya Christopher McHugh, Ms. Carlson menghadirkan diri ke Pusat Angkasa Lepas Johnson untuk menuntut beg debu bulan.

Dia bercadang untuk menjual beg bulan sekurang-kurangnya pada harga $2 juta (RM8.46 juta) semasa jualan berkaitan pengembaraan angkasa lepas oleh rumah lelongan Sotheby di New York yang berlangsung pada 20 Julai yang lalu.

Namun, beg yang mengandungi debu bulan tersebut berjaya dijual pada harga $1.8 juta (RM7.62 juta) kepada seorang pembeli yang dirahsiakan identitinya.

Menurut Ms. Carlson, dia berharap dapat menggunakan sebahagian daripada perolehan jualan untuk diperuntukkan kepada kajian sains dan perubatan. “Itulah sebabnya kita memulakan program angkasa lepas,” ujarnya.

“Kita mahu melangkah lebih jauh.”

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...