Pendidikan, Ria

Pusat tuisyen di Singapura tular kerana beri iPhone dan tiket penerbangan ke luar negara kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan!

Pusat tuisyen di Singapura tular kerana beri iPhone dan tiket penerbangan ke luar negara kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan!

Bagi memastikan anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang di sekolah, ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja seperti menghantar anak-anak ke pusat tuisyen.

Namun, bukan semua pusat tuisyen mampu menjamin para pelajar untuk memperoleh keputusan yang cemerlang di dalam pelajaran. Tambahan pula, aktiviti pelajar sekolah yang padat tidak kira sama ada waktu siang mahupun malam akan menyebabkan mereka sukar untuk menetapkan komitmen.

Justeru, diri pelajar itu sendiri perlu gigih untuk meneruskan semangat dalam menelaah dan rajin mengulangkaji pelajaran.

Sebuah pusat tuisyen di Singapura nampaknya mengambil pendekatan yang sangat berbeza dalam menjamin kecemerlangan keputusan akademik para pelajar. Pemilik kepada pusat tuisyen berkenaan iaitu Eugene Toh menggalakkan motivasi pelajar dengan menawarkan ganjaran serta pelbagai jenis hadiah yang lumayan.

Namun, adakah ia merupakan satu tindakan yang bagus untuk memupuk semangat belajar dalam kalangan pelajar atau sekadar mahu menempa nama sebagai salah satu pusat tuisyen yang cemerlang?

Antara ganjaran yang pernah diberikan kepada mana-mana pelajar yang berjaya peroleh keputusan baik dalam peperiksaan adalah baucar tiket wayang, baucar buku dari Kinokuniya, iPad, telefon pintar iPhone serta tiket penerbangan ke luar negara dengan wang tambahan sehingga RM1,550!

Ya, sesiapa yang mendengar mengenai ganjaran ini pastinya akan menjadi lebih bermotivasi untuk belajar dengan bersungguh-sungguh tetapi adakah ianya dapat menjamin masa hadapan anak-anak ini?

Dalam satu temubual oleh Mothership.sg bersama Eugene, beliau menyatakan bahawa kesemua ganjaran yang diberikan kepada para pelajar pusat tuisyennya adalah hasil duit simpanannya sendiri. Tambahnya, ganjaran ini diberikan sebagai insentif kepada pelajar bagi menggalakkan mereka mendapat gred yang bagus.

“Saya telah melakukannya untuk sekian lama. Kami pernah menghadiahkan tiket penerbangan ke Bangkok, Seoul dan terbaru, Greece. Kami juga pernah memberikan iPad, iPhone, jam tangan Apple, fon telingan jenama Bose, baucar tiket wayang dan tiket ke Universal Studios Singapore (USS)”.

Eugene turut menyatakan para pelajar yang cemerlang akan dibawa menikmati hidangan makan malam yang mewah di hotel sebagai tanda penghargaan.

Di samping itu, Eugene turut melengkapkan para pelajar di pusat tuisyennya dengan kemudahan seperti sudut belajar, perpustakaan serta sofa ‘bean bag’. Bukan sahaja itu, keselesaan dan kebajikan para pelajar juga dijaga dengan menyediakan snek ringan dan makanan secara percuma seperti gula-gula, coklat, aiskrim, biskut, kek dan mi segera.

Mi segera?! Bukankah makanan ini tidak bagus untuk kecerdasan minda para pelajar?

Walaupun ramai ibu bapa yang berkemampuan tetap menghantar anak mereka ke pusat tuisyen ini, ada juga segelintir ibu bapa yang mengkritik kaedah pembelajaran yang diterapkan oleh Eugene. Hal ini demikian kerana kaedah tersebut secara asasnya tidak merangsang para pelajar untuk belajar dengan bersungguh-sungguh demi masa hadapan mereka. Tetapi mereka semua belajar kerana faktor dorongan berbentuk kebendaan.

Namun bagi sebilangan lagi ibu bapa, walau apa pun kaedah yang diaplikasikan, apa yang penting adalah anak-anak mereka memperoleh keputusan yang baik serta mampu untuk belajar dengan selesa dan gembira. Memang benar, pelajar akan menjadi lebih fokus sekiranya dikelilingi dengan suasana pembelajaran yang selesa dan menyenangkan. Sama seperti apa yang Eugene pertaruhkan pada pusat tuisyennya.

Persoalannya, sampai bila mereka harus disogokkan dengan upah dan hadiah lumayan semata-mata kerana ingin menjadikan mereka sebagai salah seorang pelajar cemerlang? Utarakan pandangan bernas anda di ruangan komen di bawah.

Bagus atau tidak, anda tentukan sendiri.

Sumber: Mothership

Kategori:Pendidikan Ria

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...